'Rintik hujan gugur bersama rindu,
Lalu aku tersungkur depan pintu hatimu.'
Fatin meneliti semula surat yang ditulisnya itu. Dia gusar. Masih ragu-ragu untuk memberikan surat yang ditulis ringkas kepada si pencuri hati. Kadang-kadang, Fatin tersenyum sendiri, kadang-kadang pula, dia menangis, memikirkan apakah reaksi jejaka yang dipuja. Namun, surat yang terlipat itu masih dipegang kemas.
'Gegar di bumi jejak terasa,
Debar di hati tak siapa menyangka.'
Jantung Fatin semakin berdebar. Malah, saat dia berdiri bersebelahan jejaka itu, jantung Fatin seakan mahu melompat keluar dari dada. Apatah lagi saat Fatin melihat jejaka itu tersenyum, hampir-hampir saja Fatin pengsan di situ.
'Kupulangkan semula hati ke tanah,
Kerna di situlah tempat ia rebah.'
Fatin menangis. Dia berlari-lari anak sambil tangannya menyeka bulir-bulir air mata di pipinya. Sungguh tidak disangka, jejaka itu mengecewakannya.
Masih teriang-iang di telinga Fatin kata-kata jejaka tersebut saat surat bertukar tangan. Fatin benar-benar kecewa. Kalau sekadar menolak dengan alasan 'kita masih muda' atau 'saya sudah berpunya', Fatin masih boleh terima. Namun alasan yang diberi itu sangat tidak logik. Sampai mati pun alasan itu tetap tidak mampu diterima!
"Maaf, saya datang dari masa depan."
***
No comments:
Post a Comment