29 Apr 2015

KARKAS #156: RUMAH SAKIT

Aku bertugas syif malam pada hari ini. Sebelum-sebelum ini aku memang tidak pernah ditugaskan untuk syif malam. Maklum sajalah aku pun baru beberapa bulan menjawat jawatan di rumah sakit ini. Kalau sudah namanya rumah sakit, pasti saja tidak terlepas dari cerita-cerita misteri nusantara, cerita makhluk ghaib dan cerita ngeri yang lain. Begitu jugalah halnya di sini. Cerita-cerita hantu itu sama bergentayangan dengan hantu-hantunya. Bertebaran ke seluruh ceruk rumah sakit ini. Maklumlah cerita panas seperti ini memang pantas sahaja menjadi sebutan.

Berbalik pada kisah aku. Kerja syif malam sangat menuntut kesabaran yang tinggi. Lebih-lebih lagi saat kau terbayang rakan serumah kau sedang enak dibuai mimpi sedang kau pula hanyut dibuai sakit hati. Manakan tidak, waktu tidur kau diganggu dan kau pula dipaksa melaksanakan tugas. Itulah yang aku rasa sekarang. Berjaga malam di antara pukul 11 malam hingga 7 pagi. Sedangkan aku selalu masuk tidur pukul 10 malam. Tepat dan tidak pernah lewat.Inilah bahana berkerja makan gaji. Bertabahlah.

Aku mulakan tugas rondaan tepat pukul 12 tengah malam. Berjalan menuju ke blok Wad X. Wad yang terletak di hujung dan jauh terpencil di kawasan rumah sakit ini. Pintu wad aku tolak perlahan, melangkah masuk dengan kerisauan. Cerita-cerita hantu mula berlegar satu-persatu di ruang ingatan. Pun begitu, aku cuba tenang. Keadaan dalam wad sedikit kelam. Hanya beberapa lampu utama dihidupkan. Suasana sepi. Cuma deru angin kipas jelas kedengaran.

Aku menutup semula pintu wad setelah melangkah masuk. Awal-awal masuk saja aku telah disapa seorang pesakit wanita. Wajahnya kosong tanpa rupa, berbaju putih dengan rambut yang panjang dan lurus. Aku sedikit terkejut. Sangkaku semua pesakit di sini sedang tidur. Wanita itu tersenyum dan perlahan-lahan hilang di sebalik dinding.

Aku terus saja melangkah jauh ke dalam wad. Masih ramai lagi rupanya pesakit yang belum pun tidur. Di katil no. 1- untuk pesakit kritikal, seorang lelaki tua sedang duduk sambil membelakangiku. Aku cuba mengamati apa yang dilakukannya. Aku melangkah mendekatinya. Perlahan-lahan lelaki itu menoleh, jelas terlihat wajahnya yang berkedut seribu dengan mulut yang berdarah-darah sedang menggigit kaki kirinya sendiri. Aku melihat kakinya pula hampir putus digigit. Aku tersenyum. Perlahan menyapanya;

"Pak cik tak tidur lagi ke?"

Hrrrmmm... Hrrrrmmmmm....

"Oh, tak mengapalah pak cik."

Hhhrrmmmm... Hrrmmmmm....

Hanya dengusan saja yang kedengaran. Pak cik itu menoleh semula membelakangiku dan menyambung meratah kaki kirinya.

Aku meneruskan langkah kaki. Di kiri kananku riuh dengan pelbagai aksi pesakit-pesakit di Wad X. Ada yang berjalan tidak jejak bumi, ada yang tercari-cari kepalanya yang tanggal, ada yang berjalan menembusi dinding. Yang berterbangan dan yang mengilai usah diperkatakan lagi. Bersepah. Aku tersenyum sendiri. Kadang-kadang geli hati melihat telatah pesakit di sini. Kadang-kadang kasihan pun ada. Pun, apa lagi yang mampu aku lakukan selain memberi kata-kata semangat kepada mereka.

Sedang aku meneruskan langkah kaki, aku di halang seorang gadis, bertubuh kecil memakai cermin mata. Dia berdiri betul-betul di depan laluanku. Entah bila dan dari mana dia muncul, tidak pula aku sedari. Dia merenungku, tajam. Dari kedua-dua matanya mengalir darah deras ke pipi cengkungnya. Dia tersenyum. Aku turut senyum.

"Tak tidur lagi ke? Dah lewat malam ni. Tak takut ke?" Aku bertanya.

"Andai bidadari terbang ke hulu, dimudiknya senja melurut ke bahu..."

Gadis itu senyum lagi, terlihat taringnya yang tajam dan sisa darah pada celahnya.

"Saat purnama sembunyi, lagu dendang tak lagi berbunyi... Saat gadis ini menyanyi, alam terhias tak lagi sunyi...."

Gadis itu terlihat keriangan. Tangannya diangkat-angkat seperti sedang menari, lembut. Gerak jari jemarinya terasa seperti angin yang bertiup perlahan, badannya mula melintuk-liuk mengikut irama nyanyiannya. Ringan, terlihat seperti kapas terbang di awangan. Aku semakin asyik.
 Melihat si gadis yang juga pesakit di wad ini- menyanyi dan menari tarian yang agak janggal namun harmoni.

Tiba-tiba gadis itu berhenti menyanyi, lalu menangis teresak-esak. Aku bingung seketika.

"Abang... Saya takut... Tsk... Tsk...."

"Adik takut apa dik? Cuba bagitau abang." Aku meminta kepastian.

"Hantu!!!"

Serta merta gadis itu hilang dari pandangan. Aku sedikit resah. Hantu. Ya, hantu. Subjek yang menjadi topik hangat setiap perkerja di rumah sakit ini, setiap hari. Aku mula gentar. Kulihat sekeliling, satu persatu pesakit tadi mulai lenyap ke alam mimpi. Aku semakin takut, bimbang tidak lagi ditemani pesakit-pesakit seperti tadi. Aku mempercepatkan langkah kaki. Baru kusedar, jam telah beranjak ke pukul 3 pagi. 

Aku tiba di pintu wad, saat ingin kubukakan pintu, aku semakin takut. Wajah dan ketiakku mula dibasahi peluh. Aku tahu, ada hantu di luar sana. Menunggu. Penuh setia pada mangsa yang lemah seperti aku. Aku tahu.

Lalu aku ambil keputusan untuk duduk sahaja di dalam wad ini, di temani pesakit-pesakit yang nyenyak tidur. Biarlah, aku rasa lebih selesa. Lebih berani. Kerana aku tahu aku takkan mampu menghadapi hantu-hantu di luar sana.

***

No comments:

Post a Comment