Sedari tadi, aku hanya mampu merenung dalam puntung rokok terakhir yang aku janjikan pada diri sendiri beberapa hari lepas. Rokok terakhir daripada kotak terakhir yang aku beli dengan duit terakhir daripada gaji terakhir daripada kerja terakhir aku. Banyak betul terakhir, kan? Tapi nak buat macam mana. Memang yang terakhir.
Sejak aku berhenti daripada kultus itu, aku sudah tak punya sumber untuk sepuntung rokok. Kalau dulu, aku tak pernah ada masalah kesempitan rokok. Di dalam kultus itu, rokok adalah dewa. Rokok itu umpama tuhan kepada setiap ahli. Cakap sahaja rokok apa yang dimahukan, semuanya ada. Dunhill, Winston, Camel. Namakan sahaja. Ada sahaja stok di belakang bar yang dipenuhi pelbagai jenis rokok dan sigar.
Tapi, itulah. Kultus. Mereka mendewakan tiap-tiap puntung yang telah habis dihisap. Diletakkan di dalam balang kaca yang dihias indah, dikumpul hingga penuh ke bibirnya. Setelah penuh, di tanam seperti mayat-jenazah manusia juga, dengan upacara-upacara sendiri. Peh. Seram pun ada juga. Kadangkala aku terfikir. Bagaimana aku boleh terjebak dengan kultus sebegitu.
Tapi, ada juga buruknya aku keluar kultus tersebut. Sekarang, nak mencari rokok sama susahnya dengan mencari teman wanita. Pergi ke kedai, alasan sama diberikan oleh tuan kedai.
"Stok tak ada."
"Harga dah naik."
"Rokok hidup adalah. Nak?"
Haih. Tapi tu lah. Aku tak boleh terus menerus berada di dalam kultus tersebut. Aku bukan sealiran agama 'Rokokiyah' seperti mereka. Simpang 44 malaikat! Mereka-mereka adalah penyembah rokok, dan aku masih waras. Maaf!
Namun, sekali kau menyertai Kultus Perokok Tegar, kau tak boleh keluar. Sekarang, aku terpaksa menyembunyikan diri. Melarikan diri daripada pemburu-pemburu yang telah menghalalkan darah aku untuk dibuat sebagai bahan sembahan Tuhan mereka.
Shh! Aku terdengar sesuatu! Aku kena pergi dahulu.
Ingat pesan aku. Kalau ada yang datang mengetuk pintu, jangan sesekali dibuka. Bahaya!
Salam malam, orang yang tidak aku kenali.
***
No comments:
Post a Comment