7 Nov 2015

KARKAS #202: GADIS PURDAH

Sudah hampir dua minggu, gadis berjubah dan berpurdah hitam itu tidak aku temui.

Biasanya kami akan menaiki train yang sama dari stesen Wangsa Maju hingga ke Bangsar. Kami tidak pernah berinteraksi cuma aku selalu saja curi pandang padanya.

Matanya yang bulat dan solekan matanya yang nipis benar-benar menambat hatiku. Jadi benarlah kata orang dari mata turun ke hati.

Tapi sinar pada gadis itu makin pudar dan hilang saat kali terakhir aku melihat tempoh hari. Aku lihat ada kesedihan dan kekecewaan jelas di matanya.

Aku berharap, agar aku menemuinya hari ini dan akan aku beranikan diri untuk bertanya khabar. Jika diizinkan mahu aku menjadikan dia temanku.

Aku duduk di kerusi biasa, aku mengintai mata yang mahu aku temui. Hampa. Dia tidak kelihatan.

Sampai di Stesen KLCC, ada seorang gadis duduk di sebelahku. Gayanya persis dia yang aku cari. Aku terus menoleh dan kami bertentangan mata. Tergaris senyuman di pipiku dan aku dapat rasakan dia juga sedang tersenyum.

Aku terus menyapa tanpa malu dan kami panjang berbual dari Stesen KLCC sehingga ke Kelana Jaya patah balik ke Gombak. 

Bermacam-macam yang aku tanyakan pada dia, dari namanya hinggalah ke keluarganya, tidak lupa juga status dan juga kehilangannya selama dua minggu.

Gadis berjubah dan berpurdah itu pada awalnya malu-malu tetapi lama kelamaan dia terus  berkongsi tanpa rasa sangsi.

Selepas pertemuan itu, kami makin kerap bertemu. Kami makin selesa dan sinar di matanya sudah kembali bahkan lebih bahagia dari biasa. Aku telah berjaya membuatkan dia lupa pada bekas kekasihnya yang tidak dapat menerima satu sifat buruknya.

Aku tidak bertanya banyak tentang sifat buruknya, bagi aku teman atau kekasih yang baik harus menerima semua sisi pasangannya tidak kiralah baik atau buruk.

Sedar tak sedar, hampir dua bulan kami berteman. Kami makin mesra, jika tidak dapat berjumpa kami akan habiskan masa di berbual di telefon hingga larut malam.

Secara jujurnya, aku merasakan kami sudah menyukai satu sama lain mungkin sudah hampir kepada sayang dan jika diizinkan maka jatuh cintalah kami.

Malam ini, aku dijemput ke rumahnya untuk makan malam. Asalnya aku sedikit ragu-ragu, tetapi atas desakan aku akhirnya setuju.

Menurutnya, kami tidak makan berdua. Ada rakan serumah dan adiknya turut serta. Jadi tidaklah aku risau untuk ke rumahnya.

Hidangan malam itu nampak cukup enak. Hampir ke semua makan yang terletak di atas meja itu kegemaran aku. Aku teruja.

Setengah jam aku di rumahnya, kelibat teman serumah dan adiknya tidak aku nampak. Bila aku menyoal tentang mereka dia memberikan seribu jawapan. Sedikit gusar hati tetapi layannya yang mesra buat aku tenggelam.

Usai makan, kami duduk di ruang tamu sambil menikmati kopi. Terasa seperti aku sudah pun mengahwininya. Senyum sendiri aku.

Dia mengajak aku bermain satu permainan. Tanpa banyak  membantah aku menurut saja. Dia menutup mataku dengan kain, serta mengikat kedua tanganku di kerusi.

Aneh benar mainannya. Tetapi aku suka. Tiba-tiba aku merasa tubuhku diraba-raba dengan rakus, mukaku dicium-cium tanpa henti. Aku mula meronta. Aku cukup geli diperlakukan begitu.

Ada suara berbisik, suaranya cukup aku kenal. "Maafkan saya, nafsu rakus adalah sifat saya paling buruk. Bekas kekasih saya dulu meninggalkan saya kerana ini. Saya telah cuba menahan nafsu ini tetapi saya tak mampu. Jika saya tidak menyentuh atau meraba tubuh seorang lelaki, saya akan sasau dan murung. Maafkan saya awak, saya bukanlah sebaik yang awak sangkakan. Saya cuma mahukan tubuh ini sahaja."

Aku terpaku.

***

KARKAS #201: BUDAK ILP

Aku rapat dengan dia secara tak sengaja. Kami berkawan secara senyap-senyap.  Dia baik sangat, kalau orang kata kawan itu adalah ketika kita senang dan ketika kita susah, then dialah orangnya. Bila aku nak balik kampung, dia akan tolong belikan tiket keretapi, bila aku tak ada kawan nak pergi kl sentral dan aku si budak kampung yang tak berani nak keluar malam seorang diri, dia tawarkan diri untuk temankan, dia baik. Terlalu baik bagi aku. Setiap kali aku ucap terima kasih, dia akan jawab,

“Siapa lagi nak tolong kawan kalau bukan kawan?”

Walaupun aku percaya hati aku semacam ada rasa lain, tapi status kawan yang dia selalu ucapkan buat aku jadi keliru. Kalau betul kawan, kenapa baik sangat? Kenapa kawan-kawan lelaki aku yang lain tak pernah layan aku macam dia buat?

Dah lima tahun sejak kali terakhir kami berjumpa. Dan kami bertemu lagi di majlis perkahwinan kawan lama. Walaupun ‘perasaan’ bila jumpa dia tu dah tak sama macam dulu, tapi aku masih merindui dia sebagai seorang kawan lama yang selalu ada waktu susah aku dulu. 

“Hey, Paez!”

“Eh, hey.. budak ilp!”

Oh.

Budak ILP. Itukah perkara pertama yang ada dalam fikirannya saat melihat aku?

***

KARKAS #200: KERUNTUHAN KUALA LUMPUR

Hari ini aku pulang lebih awal dari biasa, kelas yang sepatutnya berjalan jam dua belas tadi telah dibatalkan secara mendadak. Menurut mulut-mulut murai di kelas aku, tengahari ini akan diadakan satu mesyuarat tergempar lantaran ada beberapa orang pelajar kolej yang terlibat dengan perhimpunan haram serta memijak gambar perdana menteri. Sepatutnya mengikut undang-undang mereka perlu dibuang dari menjadi penuntut tetapi kerana salah seorang dari mereka ialah anak kepada penyumbang dana untuk kolej kami maka besar kemungkinan keputusan itu perlu dipertimbangkan.

Aku tidak menunggu lama di dalam kelas, sejurus sahaja pengumuman dibuat. Aku bingkas bangun, menggalas beg lalu berjalan kaki menuju ke Stesen Taman Maluri. Semasa dalam perjalanan telinga aku dijamu dengan bunyi hon yang sangat kuat dan disulam kata-kata maki seorang lelaki. Hatinya panas apabila kenderaannya dihalang oleh kenderaan lain dan menyebabkan kenderaan tidak boleh keluar. Seorang pak cik tua keluar dari sebuah kedai dan merapati lelaki yang sedang marah tadi. Aku kira dia pemilik kenderaan yang menghalang. Berkali-kali pak cik tua itu memohon maaf namun dia tetap dimaki. Selepas kenderaan tersebut dialihkan pak cik tua itu dihadiahkan pula jari tengah oleh lelaki yang masih marah itu. Aku menggeleng dan mempercepatkan perjalanan.

Selepas membeli token, aku berjalan ke tangga dengan agak laju dan ketika itu bahu aku dilanggar oleh seorang gadis yang sibuk dengan telefon pintarnya. Habis semua buku dan kertas yang aku pegang bertaburan di lantai, aku terus tunduk dan mengutip.

"Lain kali bila berjalan tu, tengok-tengoklah sikit!"

Gadis tadi memberikan aku peringatan tetapi nadanya lebih kepada marah. Aku hanya diam. 

"Sudahlah aku dilanggarnya, jangan kata nak minta maaf atau nak kutip kertas bertabur ni tapi aku pula yang disekolahkan." Rungut aku sendiri.

Semasa di dalam train ada satu hal yang aku perhatikan. Ada sepasang kekasih sedang bermadu asmara tanpa rasa malu dengan orang sekeliling. Mereka saling berpelukan, membalas ciuman dan melakukan aksi ringan-ringan. Banyak mata yang memandang tetapi tidak seorang pun menegur termasuklah aku.

Sampai di rumah aku membuka pintu belakang seluasnya, angin yang bertiup deras turut membawa habuk serta debu-debu. Bunyi bising gerudi serta bunyi tukulan menjadi lagu buat aku hari-hari. Tanah yang dulunya hutan kini telah bertukar wajah, pembangunan giat dijalankan tanpa rasa segan pada bumi. Aku menggeleng lagi.

Aku kemudiannya menuju ke bilik, sebuah buku berkulit tebal aku ambil. Aku buka laman yang kosong lalu sepantas kilat tangan aku yang memegang sebatang pen kini menari di atasnya. Di buku itulah aku mencurahkan segalanya.

*****

Sedar atau tidak kota Kuala Lumpur sedang runtuh dan mungkin tidak lama lagi kota ini akan hilang dari dunia.

Manusia di sini sudah runtuh sosialnya, sudah hilang malunya, budi bahasa juga padam dan paling sedih adab juga sudah mati. Jika tidak pasti semua perkara yang aku lihat tadi tidak terjadi.

Aku juga sedih melihat tanah Kuala Lumpur yang semakin hari semakin sakit terpaksa menampung berat bangunan yang sangat banyak. Kesian Kuala Lumpur makin tenat dek manusia yang rakus.

***

6 Nov 2015

KARKAS #199: ARMAN

Selepas tiga minggu Arman mengurung dirinya di dalam rumah, akhirnya dia mengambil keputusan untuk memulihkan semangat dengan bersiar-siar di taman KLCC.

Arman mengenakan t-shirt kuning, berseluar biru dan berkaca mata hitam. Lari dari warna kesukarannya iaitu hitam, menurut fikirannya apabila dia memakai baju warna hitam kecendurungan untuk dia murung itu tinggi.

Arman ke KLCC menggunakan LRT sahaja, mudah dan cepat tambahan pula dia mahu mencuci mata dengan melihat karenah orang ramai yang menaiki train tersebut.

Sampai saja di stesen KLCC, Arman tidak turun dia hanya diam membatu melihat semua penumpang berpusu-pusu keluar dari perut train. Kurang lebih enam minit pintu train ditutup dan Arman masih duduk di dalamnya cuma bezanya hanya Arman seorang sahaja di dalamnya.

Arman melontarkan pandangan matanya ke luar cermin, baginya tiada apa yang aneh cuma dia bertuah kerana tidak perlu berhimpit-himpit lagi.

Ayunan train itu lebih kuat dari biasa barangkali mungkin kerana tiada orang maka train lebih ringan, ini yang ditelah oleh Arman apabila train itu bergerak lebih laju dari tadi.

Tiba-tiba train berhenti mengejut di satu stesen yang agak pelik, Arman cuba menjenguk mencari-cari nama stesen itu tetapi hampa. Muncul seorang perempuan yang sarat mengandung di pintu. Mukanya berpeluh tetapi senyum yang tergaris di bibirnya sangat cantik.

Perempuan mengandung itu, duduk di hadapan Arman dan seraya tu bau wangi memenuhi segenap perut train. Arman cuak, mahu berlari ke pintu, pintu sudah tertutup maka bermulalah perjalanan Arman dan perempuan yang sarat mengandung itu.

Kelajuan train itu semakin meningkat, sepertinya train itu akan bergerak dan tidak mahu berhenti. Arman mula risau, jantungnya berdegup kencang. Perempuan yang sarat itu juga pelik tingkah lakunya, sedari tadi mengusap perutnya dan berpeluh-peluh.

Tiba-tiba perempuan itu menjerit, kesakitan yang dirasa sudah tidak dapat di bendungnya. Arman terkejut, langsung panik. Otaknya tidak boleh lagi berfikir dan dia hanya mampu melihat saja perempuan itu mengerang kesakitan.

"Tolong akak, dik. Akak nak duduk di lantai sambil bersandar. Dah tak tahan sangat ni. Masanya dah sampai."

Arman diam, matanya juga langsung tidak berkelip.

"Dik, tolonglah..."

Arman tersentak, bingkas bangun mendapatkan perempuan itu. Selepas semua kemahuan perempuan itu dilaksanakan, Arman duduk di hadapannya. 

"Macam mana ni? Train ni tak berhenti, tak ada orang pula tu. Siapa nak bantu akak?"Arman bersuara.

"Kaulah dik." Perempuan itu memegang tangan Arman lalu di letakkan di atas perutnya. Arman merasakan ada gerakan. Pergerakan terlalu pantas sehinggakan Arman merasa geli dan cepat-cepat menarik tangannya kembali.

"Saya tak nak!" Arman bangun. Dia berlari ke setiap gerabak. Pintu dan tingkap ditendang dan ditumbuk tetapi keputusan gagal.

Perempuan yang sarat tadi makin kuat menjerit. Bajunya sudah lenjun dengan peluh. Atas rasa kasihan Arman mendekati.

"Saya tak tahu nak buat apa!" Arman sudah tidak keruan. Perempuan yang sarat itu terus melalak hingga timbul urat. Matanya terbeliak dan perutnya makin bulat dan membesar.

Pom! Satu letupan kedengaran, bau busuk menusuk hidung, tiada lagi kedengaran suara perempuan menjerit kesakitan.

Habis seluruh badan Arman dipenuhi lendir yang berwarna kuning kehijauan. Arman tidak dapat menahan rasa loya lantas muntah. 

Apabila dia memandang sekeliling, ada benda lain yang di bawa bersama dengan lendir itu. Sejenis binatang berwarna hitam dan panjang.

"Lintah! Perempuan yang sarat tadi mengandungkan lintah!"

Benar sangkaan Arman, perempuan tadi sudah mati dengan perut yang pecah dah dipenuhi ratusan lintah.

Kini lintah-lintah itu mahukan darah Arman untuk hidup.

***

KARKAS #198: HALUS SI NASI

Lelaki itu merangkak, mengesot perlahan dengan muka membawa beban tubuhnya yang berat. Lidahnya panjang kira-kira sedepa terjelir melilau ke kiri dan kanan; persis biawak. Dia kelihatan sukar. Nafas mendengus kasar. Pun, wajahnya terukir senyum manis. Seperti tidak merasa beban yang ditanggung. 

Jaka, seorang lelaki bersifat anti-hero, keding dan berperut buncit. Dia memerhati gelagat lelaki itu--sinis. Jaka berjalan menghampirinya. Hirisan daging busuk bernanah di tangan Jaka disuakan ke lelaki itu, lalu dilemparkan ke arahnya. Lelaki gempal berkepala botak yang mengesot dengan muka segera mendapatkan daging dilempari Jaka; melahap pantas. Beberapa orang lelaki yang mengesot dengan muka tiba-tiba muncul, merapati lelaki pertama tadi

Mereka cuba merebut daging itu. Jaka tersenyum. Beberapa hiris daging busuk di tangan Jaka dilemparkan satu satu ke tanah. 

Jaka mendongak. Merenung ke atas. Perut yang tadinya buncit, mula menipis setelah daging-daging dihiris. Jaka lega biarpun darah di perutnya memgalir deras. Di atas sana--beberapa orang gadis bogel bersayap putih berlegar-legar riang. Jaka tersenyum.

***

KARKAS #197: TEMPE GORENG

"Ok, one day, one word ok?" 

Angguk berseling senyum. Usai aku hulurkan piring dipenuhi Tempe goreng padanya, laju kertas nota kecil dikeluarkan dan batang pen entah bila sudah kelihatan digenggam kemas pada tangannya; masih lagi tersenyum.

Laju tiga kali matahari dan tiga kali bulan bersilih ganti, dan tiga perkataan yang diajar, lengkap menjadi sebaris ayat. Hari ini, Tempe goreng lagi yang dimahukan, sedang gerai aku punya berpuluh menu makanan lain. Cuma hari ini, tiada pula kelihatan dia memegang batang pen dan menyediakan nota kecil seperti hari hari lalu. Tidak aku tanyakan kenapa, kerna melihat senyumnya sambil meratah Tempe goreng itu sendiri melemaskan aku dalam masa; indah.

Lamunan aku terganggu dengan suaranya yang perlahan memanggil nama aku, "Ammar, you'd taught me this words but I've never hear you say it in a sentence, why?"

Soal dan dirinya aku biarkan sendiri. Bingkas aku berlalu dari mejanya dan meluru ke dapur gerai. Terduduk dan termenung. Setelah 10 minit tidak keruan aku di ruang dapur, aku menggerakkan diri ke meja tadi. Tiga langkah, dan aku menjengah mencari susuk tubuh yang bikin aku sasau sebentar tadi. Yang kelihatan cuma piring dan cawan kopi.

Sesal seakan mengapan aku dari terus bernafas, segala pergerakan jadi teliti, tiap bunyi jadi bingit. Menyesal!

Dalam sesal itu, aku terus ke meja itu untuk mengutip kemas piring dan cawan. Piring aku angkat, dan bawahnya terlipat satu kertas. Aku buka, kemas tulisannya, mudah dibaca. 

"I dont know what's wrong with you, it is not our fault. It's been a year and my father already passed away. His word and races is not the reason why we can't be in love. Kulo tresno sampean, Ammar."

Tandatangan halus mengakhiri tulisan di hujung kertas; Xi Yi.

***

KARKAS #196: DINDING-DINDING YANG BERSUARA

Skrin semakin menerang saat lampu kamar dimatikan dan dia masih setia menanti curahan idea di hadapan komputer demi sebuah cerita. Namun setiap abjad bagai dilaknat Tuhan, terapung-apung seakan roh yang tidak tenteram. Dalam zulmat, tanpa muzik yang melatari jari-jemarinya cuba mengatur tari menulis kisah-kisah bohong agar tercipta lorong pada plot-plot yang kosong.

‘Sejujurnya menipu itu indah. Mampu mengubat resah dan menghilang gundah. Asalkan kau tahu...’ Taipannya terhenti. Sejenak tubir matanya ditutup.

Memori lama kembali menerjah tentang kejadian pada suatu malam di mana dia sedang berhempas pulas menyiapkan cerita tentang si buta. Tiba-tiba serentak kesemua empat sisi dinding di kamarnya berkata dia sama sekali tidak layak menjadi pengarang. Tulisan-tulisannya lebih layak dijamah anai-anai dan dibiar reput tidak dikenang. Suara-suara itu bergema memenuhi ruang. 

Spontan secangkir kopi hangat yang pekat disimbah ke salah satu dinding. Dinding berasap-asap dan menggelembung. Dengan sendirinya ia terkopek menjadi keping-keping lalu tertanggal tiap satunya. Perkakas di atas meja berhamburan di lantai. Kebecokan dinding serta-merta bertukar bisu. Tiga rakannya saling pandang diikuti bisik-bisik tanpa serik.

“Hanya orang yang betul-betul buta layak menulis tentang perihnya hidup tanpa mata. Usah dibohongi pembaca dengan tulisan-tulisan reka.” Jelas terdengar bisik-bisik mereka yang keras. Menggelupur hatinya dek darah muda sepertinya dia yang dijirus air panas.

Marahnya meledak. Tanpa fikir dia mencungkil sebelah biji matanya hingga terkeluar bergolek di atas meja. Darah merembes laju membasahi sebelah pipi. Perlahan dia menyandar dan mendongak menahan sakit. Kesemua dinding terkesima. Tidak menyangka akan tindakannya sejauh itu.

Bertakung darah di liang matanya yang lohong. Dalam sakit setitis air jernih tumpah di dahinya. Sebelah mata yang terpejam, dibuka perlahan-lahan. Mendadak dia sebak. Sakit yang ditanggung semakin berkurang. Seolah ada malaikat yang datang membawa kesakitan itu terbang sebelum menghilang tanpa bayang-bayang.

Bersaksikan dinding, dia menatap siling yang sedang menangis kesedihan. Katanya, pengarang yang baik tidak mudah berang kerana pengarang seharusnya pemikir panjang. Dia tersentak. Dinding-dinding bungkam. Rasa bersalah mula berkepung di dada sebelum kata-kata maaf berlantun sesama mereka.

“Siapa aku pada hari ini semuanya kerana kamu.” Dia mengelus lembut dinding yang dahulunya pernah melepuh kepanasan. Hari ini ia cantik dihiasi lukisan tangan.

Malam itu jarinya lincah menaip sampaikan papan kekunci berketik tanpa henti hingga terbitnya pagi. Berbekalkan satu mata dia menyiapkan satu cerita tentang dinding-dinding yang bersuara. 

“Sejujurnya menipu itu indah. Mampu mengubat resah dan menghilang gundah. Asalkan kau tahu bila waktunya untuk berhenti.” Ucapnya saat menaip penutup cerita. 

Di dalam kamar, berenam mereka tersenyum nyaman.

***

KARKAS #195: POTRET

Berus lukisan di tangan bergerak lembut di atas kanvas putih yang sudah pun bertompok hitam di sudut kanan. Air di dalam cawan plastik yang tadinya jernih sudah bertukar warna. Tangannya masih lagi digerakkan di atas kanvas putih itu melukis sepasang mata yang sedang merenung tajam ke arahnya.

Keluhan kecil terlepas keluar dari celahan bibirnya. Rambut yang kusut-masai disebak ke belakang. Tumpuannya masih lagi pada sepasang mata yang sudah siap dilukis.

"Matamu terus menghantuiku." Bisiknya perlahan sambil tangannya dilarikan di atas kanvas - pada sepasang mata, hasil tangannya.

Mata dipejam kejap. Cuba menghadirkan raut wajah gadis di atas kanvas - sedang tersenyum manis dengan lesung pipit di pipi kanan. Aku akan pulang apabila kau menginginkan aku pulang. Kata-kata terakhirnya masih lagi terngiang-ngiang di telinga. Kata-kata Dira, gadis kesayangannya.

Sudah hampir tiga tahun sejak pertemuan di hadapan rumah Dira yang diintai oleh kakak dan adiknya dari dalam rumah. Dia tahu, kakak dan adik Dira tidak berkenan akan dirinya. Masakan tidak, baju t-shirt dan jeans lusuh yang menjadi pakaian sehariannya. Pastilah tampak jelak di mata sesiapa pun. Cuma tidak pada pandangan matanya.

"Aku harap kau faham." Tutur Dira perlahan. Dia hanya menundukkan wajahnya. Barangkali tidak mahu melihat reaksi wajahnya dengan keputusan yang dibuat.

"Berapa lama?"

Dira menggelengkan kepalanya. "Aku tidak pasti." Suaranya separa berbisik. 

Air mata lelakinya cuba ditahan untuk tidak mengalir. Tak mungkin dia menitiskan air mata di hadapan gadis kesayangannya itu. Dia memaksa dirinya untuk tersenyum. Tenanglah, sayang.

"Aku akan terus menunggu."

"Jangan. Kelak kau terseksa."

"Aku sudah lama rela membiarkannya terseksa. Demi kau." Redup pandangannya menentang sepasang mata bundar milik gadis itu. Ada kesedihan yang terpancar pada bebola matanya.

"Maafkan aku."

"Bukan kehendak kita." Jeda. "Aku harap kau pulang."

"Aku akan pulang apabila kau menginginkan aku pulang."

"Aku tidak pernah menginginkan kau untuk pergi."

Sebaik sahaja kata terakhir itu dia tuturkan, gadis itu melangkah masuk ke dalam rumah. Meninggalkannya di situ, memerhatikan setiap langkahnya yang semakin menjauh sebelum susuk tubuh itu menghilang di balik pintu yang tertutup rapat.

Kenangan itu lenyap saat telinga terdengar derap langkah yang seperti berlari dari arah luar bilik yang menjadi ruang melukis. Pandangannya dibiarkan tertancap pada daun pintu yang tertutup. Bunyi derap langkah tadi sudah tidak kedengaran. Mungkin, bayangan semata. Bisik hatinya.

Tak lama kemudian, kedengaran bunyi daun pintu dikuak perlahan. Kepala ditolehkan ke arah daun pintu yang terbuka luas. Segala kenangan tiga tahun lepas kembali terlayar di kotak fikiran. Pada senyuman itu, lesung pipit di pipi kanan - semuanya.

"Dira?"

Gadis itu mengangguk perlahan. "Bukankah aku pernah kata, aku akan pulang apabila kau menginginkan aku pulang?"

"Dan kau sudah pulang."

"Ya, pulang kepadamu."

*****

Surat yang sudah kekuningan itu dibaca entah untuk kali yang ke berapa. Matanya tertumpu lama pada tulisan berdakwat hitam itu.

Dira sudah tiada.

***

KARKAS #194: TIGA NAFAS AKHIR

Suara budak berteriak kasar mengembalikan roh yang melayang jauh kembali semula ke dalam jasad yang sedang enak berbaring beralas kepingan span panjang dan dalam keadaan separuh sedar, suara pekik memekik sepasang suami isteri muda mula aku dengarkan jelas dalam selingan tangis budak yang seakan tiada niat untuk berhenti apabila bunyi tali pinggang dilibas-libas bak tali pecut yang mengawal manusia dalam sawai sang kuda.

Pagi Ahad, berjalan malas aku ke kamar mandi dan masih lagi telinga ini dijamahkan suara suara rumah sebelah yang terpekik melolong. Dalam siraman air kolah yang pertama, hati ini seakan bertanya entah kepada siapa walhal awalnya tahu yang ia tidak akan sama sekali terjawab; 'Kenapa dihadirkan kalau wujudnya kelak hanya untuk tempat melampiaskan amarah?' 'Kenapa tidak diberi kesempatan sedang yang ini amat membutuhkan?'

Buih-buih sabun yang meliputi badan aku bilaskan dengan siraman siraman akhir. Dalam gopoh-gapah, tuala kering digapai bagi mengeringkan tubuh.

Saat kaki melangkah keluar dari kamar mandi, suara lembut kudengar dari sudut paling jauh di dalam rumah "Abang, cepatlah, nanti lambat pula kita ke klinik." Aku tersenyum.

Seluar jean lusuh yang aku pungut dari lantai, aku sarungkan. Baju melayu yang siap digosok malam tadi, aku pakaikan. Rambut yang kusut, aku rapikan.

Pintu utama rumah dibuka dan limpahan cahaya matahari berlumba lumba masuk menerawang ruang tamu, sedikit silau.

Dalam kelip kelip kelopak mata yang mula menerima cahaya mentari, pandangan yang samar mula tertumpu pada bangkai yang mereput di laman rumah. Sengaja aku biarkan ia mereput, tak akan aku alihkan.

Aku masih lagi berdiri di muka pintu, melihat bangkai itu. Setelah lama terpaku, selipar yang haus tapaknya aku sarungkan. Pintu aku tutup dan aku manggakan, kuncinya aku sembunyikan di bawah lapik pasu kosong tiada pokok. 

Dalam perjalanan keluar dari laman, aku seretkan jari lembut sepanjang  bangkai itu dari hidung hingga ke punggungnya. Masih sempurna, tiada apa yang hilang, cuma bahagian kirinya hancur teruk. 

Aku meneruskan perjalanan. Entah mengapa, bibir dan kotak suara bergerak sendiri, memaki diri sendiri bila saja mengenangkan kesilapan diri yang menjadi saksi hembusan tiga nafas akhir seorang isteri.

***

KARKAS #193: BURUNG YANG TERBANG MEMBAWA SANGKAR

Aku duduk termenung, ditemani seekor burung berkicau bahasa sunyi di celah siulan kota besar ini. Di atas puing usang, ia menyanyi riang. Namum riak wajahnya muram. Aku tahu, ia ditawan kerinduan. 

'Aku adalah yang terakhir. Mereka semua  berlalu tinggalkan aku sendiri,ditikam rindu bertubi. Kau tahu?' ujarnya.

Langit kota besar kemerah-merahan. Sepertinya langit juga malu, melihat dosa-dosa bergelimpangan. Burung tidak lagi menyanyi. Laungan azan megah kedengaran. Namun, sepi dan aku--adalah teman rapat, saling tak mahu melepaskan. Aku memandang burung, ia diam menghormati azan. Hanya aku yang jahil. Siualan kecil dari mulut cuba menghiburkan kekecewaan sendiri. Atau mungkin, cuba memanggil syaitan yang lari bertempiaran datang menemani. 

'Kota ini penuh dengan harapan. Mereka datang membawa gunung, lembah, desa dan tanah. Mengharap ada secarik mewah dan sofa selesa...'

Aku ralit memerhatikan butir bicara burung. Atau lebih tepat, paruhnya saja bergerak-gerak dan kata-kata itu datang ke dalam fikiranku. Saat-saat putus asa seperti ini, burung pun mampu jadi lawan bicara.

"Hanya untuk secubit selesa, mereka mengorbankan 90% dari kehidupan mereka sebenarnya." Sambungku.

'Benar.'

Burung itu terbang pergi membawa sangkarnya. Susah-payah. Sedikit sahaja ia menoleh ke arahku, dan menjeling penuh makna. Aku cuma memerhati, melambai dengan pandangan penuh tanda tanya. Walau jasadnya dikurung dan kakinya dipasung namun jiwanya kekal bebas. Terbangnya mungkin mencari kembali teman-teman yang telah pergi. Migrasi. 

Aku memaut pagar besi di sebelah, menopang tubuh bangkit dari duduk. Terhencut-hencut tatkala cuba untuk berjalan. Sebelah kaki yang mati, tidak lagi mematahkan azam. 

Dahulu, kota ini kulihat mewah berjalan di garis masa tuhan. Aku dan dia, gadis berwajah polos dan mata besar sama-sama datang dari desa yang mundur. Sama-sama mahu membina hidup sedikit selesa. Malangnya mungkin cuma aku yang terlebih berharap. Bermimpi untuk menyarung cincin ke jari manisnya. 

Sekian lama sudah aku berputus asa. Sejak dia bercerita tentang jejaka tampan yang pandai berkasih sayang. Dia seperti hilang panduan di hadapan jejaka itu. Juga tak seperti dia yang aku kenali. Khabar terakhir yang kudengar tentangnya; satu nyawa dicabut kejam dari tubuhnya dan dicampak ke tong sampah. 

'Kita sama sahaja. Arah mana atau apa tujuan kita bergerak, selagi kita di dunia ini matlamat kita satu; untuk mati. Cuma yang membezakan adalah cara apa dan usaha kita. Adakah kita bangkit kembali setelah tersadung atau kita terus mengalah dan rebah selamanya.'

Masih bergema butir bicara burung itu di ruang mindaku saat dia hadir semula di hadapanku. Gadis itu. Dia tersenyum tawar. Ada garis bekas linangan air mata di pipinya. Seperti burung yang datang dan pergi secara tiba-tiba, dia pun sama. Cuma kehadirannya kali ini tidak aku mengerti, untuk apa dan berapa lama. 

Teringat kata-kata arwah ayahku. 'Aku suka tinggalkanmu dengan persoalan, agar kamu berfikir dan mencari jawapan. Persoalan hidup ini subjektif. Cuma apapun jawapan kamu terhadap persoalan hidup, jangan lupa berpegang pada tali Tuhan.'

Aku menghulur tangan. Dia sambut perlahan.

Burung yang terbang membawa sangkarnya itu, tidak pernah membiarkan sangkarnya mengawal arah perjalanan hidupnya. 

***

1 Jul 2015

KARKAS #192: SUKAR BENARKAH UNTUK SALING MENCINTAI?

Semenjak ini, aku perasan ada satu gadis sering memerhatiku.

'Gila la mamat tu, boleh tahan kacak juga.' Getus aku dalam hati.

Gadis itu tak adalah lawa mana tapi ada sesuatu tentang dirinya yang buat aku curiga tentang dirinya.

Macam malas je nak approach, nanti kena friendzone, buat malu aje. Nampaknya aku kena cover sikit.

Namun, beberapa hari selepas itu, gadis ini sering hadir dalam mimpiku. Kalau nak ikutkan taraf umur, aku terlalu tua untuk dia, lagipun dia kan belajar lagi. Gadis yang lebih tua memang minat aku. Aku takut kalau hubungan kami tak direstui keluarganya? Tapi apa kata ibu bapaku? Aku risau juga jika mereka tidak restu.

Biar aje lah dia, aku sakat suka-suka je, mungkin nanti dia akan bertemu jodoh dengan lebih baik.

***

KARKAS #191: GORILLA PUJAAN

Pagi itu aku bangun dengan sakit kepala. Mungkin akibat kesan sampingan alkohol yang aku teguk dengan jumlah yang banyak semasa menonton pertunjukan sarkas semalam; pening.

Entah macam mana aku sampai di rumah aku ini pun aku tidak tahu. Yang penting, samada aku sedar, mabuk atau mimpi, semalam aku saksikan mahluk yang seperti aku idam idamkan dalam khayalan zaman kanak kanak aku.

Yang lebih mengejutkan, makhluk itu berada di hadapan pintu sekarang; merenung tajam mataku.

"Mati tak mamat semalam tu?" Soal aku pada dia yang tercongok senyum di hadapan pintu.

"Bakal." Jawabnya mudah.

Dalam selingan jawabnya itu, aku renungkan setiap helai bulu yang melitupi badan dan mukanya, bagai mimpi jadi realiti. Dengan mudah dia merodok pisau ke dadaku; aku terima dengan gembiranya.

Hairannya, tidak aku melenting mahupun mengamuk, tapi aku seolah akur nyawaku berakhir di tangan Gorilla pujaan aku selama ini.

"Untuk kau gorilla. Untuk kau." Aku ucap berkali-kali, tanda setuju.

***

KARKAS #190: HOBI SAYA ADALAH...

Kelas Empat Mawar tiba-tiba bertukar suasana dari gamat dengan jeritan kepada sepi. Kedatangan guru ganti menamatkan pesta mereka.

"Selamat tengah hari, murid-murid. Cikgu Mia ada hal, jadi saya akan ganti tempat dia hari ini." Suara halus itu memecah kesunyian.

Tiga puluh dua pasang mata tertumpu ke arah guru kecil molek berasal dari Melaka.

"Hari ni, kita borak-borak je. Hmm.. Apa hobi awak semua? Kongsilah dengan saya dan kawan-kawan."

Pantas aku bangun sambil mengangkat tangan ke atas. Kini aku pula jadi tumpuan.

Aku membetulkan tali leher sebelum menyambung hujah.

"Hobi saya ni, bahaya tau kena ada orang dewasa teman. Jadi papa akan selalu ada dengan saya." Kembang hidung aku tatkala menyebut perkataan papa. Papa segalanya bagi aku.

"Jadi, apa hobi kau?" Sampuk Jidin.

Aku mengatur langkah ke hadapan kelas dengan penuh gaya. "Saya panggil hobi itu mengeraskan binatang, tapi orang dewasa panggil apa saya tak ingat." Aku menggaru kepala yang tidak gatal, reaksi ini kononnya memberi gambaran aku sedang berfikir, padahal tidak pun.

"Sabtu lepas, saya berjaya keraskan seekor tikus." Nada suara aku sedikit bangga.

"Macam mana awak buat?." Cikgu ganti menyoal seraya melabuhkan punggung comelnya itu di kerusiku. Perubahan tempat berlaku, aku jadi guru dan dia jadi murid.

"Mula-mula, bunuh tikus itu dengan kloroform kemudian cabut sikit demi sikit bulu tikus di bahagian perutnya. Gunakan gunting yang tajam untuk gunting kulit tikus tu." Aku diam, rakan-rakan semuanya fokus mendengar cerita.

"Ingat! Jangan kasar-kasar nanti terburai isi perut tikus tu." Sengaja aku meninggikan suara, rakan-rakan aku sedikit terkejut.

"Papa akan bantu saya untuk buat langkah kedua, iaitu pisahkan kulit dari daging. Buat sampai kat peha. Sementara itu, saya akan taburkan tepung jagung pada badan tikus tu supaya darah berhenti." Aku meluru ke tempat aku, air mineral aku teguk bagi menghilangkan haus.

Kawan-kawan dan guru ganti menanti dengan sabar cerita selanjutnya.

"Lepas tu, saya patahkan tulang paha tikus tu, tarik kakinya dan biarkan tergantung. Papa akan bantu lagi bila melibatkan bahagian otak, kata papa saya belum cukup teliti. Selepas badan dan kaki tikus dipisahkan, ekornya. Kemudian.."

Tak sempat aku menghabiskan cerita guru ganti itu bangun dari bangku.

"Awak buat semua ni, mak awak tak marah?" 

"Marah, tapi dulu. Mulai malam tadi, mama dah tak bising tapi mama asyik senyum saja." Jawab aku.

"Kenapa?" 

"Sebab petang Ahad lepas, saya bantu papa keraskan mama."

***

KARKAS #189: DIAM

Hujan yang masih belum turun di waktu pagi, tapi langit mendung.

Sebelah aku ada dia yang memandu, tugas aku hanya duduk dan memikirkan apa yang hendak dibualkan. Tugas paling rumit yang pernah aku lakukan bila dia memandu sebelah aku.

"Why can't we be happy?"

Mulut aku tidak mampu tuturkan jawapan, macam-macam perkara sedang menusuk kepala aku.

"I'm only telling the truth," dia tambah lagi, "and I cuma cakap benda ni dekat you je, sebab apa cara kita kena juga hadap."

Aduh. Aku langsung tiada jawapan paling tepat untuk dia. Aku tenung wajahnya, perasaan sepi dan sedih itu aku perlu ganti dengan perasaan yang lebih indah. 

Aku senyum dan berkata, "Kebenarannya kenapa perlu datang dan pergi?"

Banyak benda aku nak cakap, tapi tak tercakap. Tak boleh keluar langsung dari mulut. 

Aku tak mahu keindahan bertukar kekosongan yang membosankan. Aku tak mahu dia pergi. Aku membisik, "you don't really have to go."

"I can't."

Aku cuma mampu diam.

***

KARKAS #188: MULUT II

"Kau bunuh dia!" Tengking Pak Ali.

"Tak! Kenapa tuduh aku, apa bukti kau ada?"

"Kalau tidak kerana mulut kau yang kononnya nak bergurau, dia takkan mati!" 

"Tak mungkin dia ambil serius, aku... Aku." Mail tertunduk kesal.

***

Pian seorang pemuda yang lurus bendul, kata orang demam panas yang dialami semasa kecil menyebabkan dia sedikit terencat dan tidak mampu berfikir panjang.

Pada kebiasaannya selepas menoreh getah, Pian akan menikmati kopi panas dan nasi lemak lima puluh sen di gerai tepi sawah namun hari ini Pian kelihatan aneh.

Dia tidak pulang dari menoreh tapi pakaiannya cukup serabai, rambut tidak bersikat serta tidak berkasut.

"Pian, hang ni kenapa?" Tegur Pak Ali.

Pian diam, setelah Pak Ali mahu berlalu baru Pian membuka mulut.

"Pian, banyak masalah. Mak sakit, adik-adik nak bawa mak ke Kolompor berubat tapi nak bawa Pian sekali. Pian tak nak."

Pak Ali duduk di sisi Pian. Ikutlah, bukan lama pun. Nanti diorang hantar balik kampung bila mak sihat."

Pian terdiam, kepalanya menggeleng.

"Kau nak hilangkan masalah senang je, p teguk racun bendang. Kau tenang, adik beradik kau tak susah." Sampuk Mail dari belakang sambil tersengih-sengih.

"Kamu ni Mail, ajar benda bukan-bukan pulak." Butang mata Pak  Ali memarahi Mail.

"Dahlah, Pian pergi balik, jangan dengar cakap Mail ni." Belakang Pian ditepuk dua tiga kali.

Pian mengangguk, tetapi mulutnya asyik mengulangi kata-kata Mail tadi.

Petang itu, langit mendung, tiupan angin yang sejuk seolah cuba menceriakan sesuatu kepada Pak Ali. Entah tiba-tiba, dia teringat pada Pian.

"Pak Ali! Pian..." Jeritan seorang pemuda memeranjatkan Pak Ali.

"Pian minum racun kat kebun getah. Cepat Pak Ali!." Bingkas mereka meluru laju ke kebun getah dan Pian telah selamat ke syurga diiringi tangsan ibunya.

***

KARKAS #187: LEPASKAN

Susah sungguh nak move on. Perasaannya macam ada batu besar himpap hati kau. Berat. Beban. Tapi itulah. Orang kata kalau tak move on macam mana nak teruskan hidup?

Aku ingat lagi kejadian petang itu. Sehari sebelum, Iman telefon aku ajak jumpa. Mustahak. Tak boleh tunggu-tunggu. Kami dah deal nak jumpa kat taman permainan di kawasan rumah aku selepas waktu pejabat. 

Pukul enam aku sampai. Iman dah sampai. Port biasa, kerusi batu bawah pokok. Beg aku sangkut ke bahu sebelum berjalan menghampiri dia.

Nampak aku nak sampai, dia bangun berdiri. Senyum. 

"Maaf lambat. Jalan kat KL ni tau je lah." 

"Tak apa. Saya okay. Lagipun baru sampai."

Bunyi suara kanak-kanak berlari tak mengganggu langsung perbualan kami. Hampir setengah jam bertukar cerita, aku tanya sebab dia nak jumpa aku. 

"Saya nak minta maaf."

"Sebab?"

"Saya rasa saya dah tak sayang awak lagi."

"Awak rasa? Yang saya rasa taknak tahu?"

"Lepaskanlah saya Mira. Sampai bila nak macam ni?"

"Sampai saya mati!"

Jujurnya, aku tak faham apa yang cuba dia sampaikan. Kenapa tiba-tiba dia selfish?

"Dunia awak dan dunia saya dah tak sama. Takkan sama lagi. Awak kena lepaskan saya dari hati awak. Hidup awak kena diteruskan."

Aku menggeleng perlahan. Air mata yang ditahan sejak tadi mengalir deras menuruni lekuk pipi. Aku menundukkan wajah. Membiarkan air mata mengalir jatuh terus ke bumi.

"Macam mana saya nak hidup kalau awak dah tak ada, Iman?" kataku sambil menoleh ke sisi. Dan ruang yang tadinya ada Iman dah kosong. Aku bangun berdiri. Berpusing-pusing sambil memanggil nama dia sebelum akhirnya aku jatuh terjelepok ke tanah. 

***

Bunyi dentuman yang kuat membuatkan langkahku terhenti. Tadi, aku terdengar suara dia menjerit memanggil namaku. Dan suara itu hilang serentak dengan bunyi dentuman tadi. Perlahan-lahan aku menoleh ke belakang. 

***

"Iman!!!"

Jalan raya sudah dipenuhi dengan darah. Waktu itu aku tahu yang Iman dah tinggalkan aku. Kalaulah aku tak layan rajuk aku...semua ni pasti takkan berlaku.

***

KARKAS #186: RUTIN

Pintu lutsinar aku tolak, seat yang berdekatan dengan pintu aku tuju – duduk menghadap cermin besar di dinding. Pelayan perempuan dengan uniform merah datang hulur buku menu. Tak perlu selak buku itu aku sudah tahu apa yang aku mahu, 

“Brown....”

Seorang perempuan tiba-tiba datang tarik kerusi dan duduk. “Brownies lagi? Secret recipe ada berpuluh-puluh jenis kek untuk dimakan, kenapa mesti brownies?” Soal dia.

“Sebab saya suka.”

Dia tarik buku menu dan menyelak satu persatu. Pelayan tadi masih menunggu dengan buku nota dan pen di tangan. Memandang aku dengan kening yang dijongket.

“Biar saya pilihkan untuk awak.” Dia mengetuk-ngetuk jarinya pada dagu sambil menyelak menu. 

“Saya suka carrot cake, tapi saya tak makan carrot cake setiap kali, saya  gila cheese, tapi saya tak makan cheese cake selalu. Kadang-kadang apa yang kita suka makan bukan sebab kita memang suka, tapi sebab itu adalah benda yang kita dah biasa buat. Itu rutin.”

Aku biarkan dia membebel tentang kek yang meleret kepada entah apa benda. Aku cuma peluk tubuh dan pandang dia tak berkelip. Dia sangat comel bila berakap tanpa henti. Dia sangat jelita dengan tudung bawal yang kadang-kadang serabai bila dia stress, dan kemas bila mood dia baik. Tudung bawal tu dah macam lantunan mood dia pada satu hari itu. Yang dia tak tahu, aku selalu ‘baca’ mood dia daripada gaya tudung bawal yang dia pakai.

“.... jangan terus hidup dalam zon kawasan selamat, awak kena keluar dan cari hidup yang baru.” Dia pandang aku dengan muka sayu.

“Encik?” Pelayan perempuan itu tadi memanggil aku. Siap mengawang-awangkan tangan dia kat muka aku lagi.

Aku tersedar dan perempuan yang duduk kat kerusi depan aku ni tadi dah tak ada.

“Encik termenung?” Soal si pelayan.

Aku pandang muka si pelayan. ‘Awak kena keluar, cari hidup yang baru...’ ayat itu terngiang-ngiang di telingaku.

Aku senyum pada pelayan ini. “Dah lama awak kerja sini?” 

Aku sedang melangkah setapak, mencari ‘hidup’ aku yang baru.

***

KARKAS #185: GRADUASI

Gadis itu masih bingung. Paparan kemasukan ke menara gading itu menjadi kegelisahannya sedari tadi.
Apa benar dia bakalan berjaya? Atau usaha hanya bakal sia-sia?

Di antara kasih cinta dan impian cita-cita. Dia melepaskan satu yang paling agung disisi hatinya. Mana mungkin perempuan berpangkat lepasan sekolah menengah bakal menjadi sandaran untuk dijadikan menantu.

"Maafkan aku. Tunggu aku berjaya sayang". Kata itu dibisik halus ke dalam hatinya. Kakinya terus menggarap langkah ke depan. Titis jernih gugur seiringan menyembah bumi.

***

KARKAS #184: CERITANYA BEGINI

“Ceritanya begini...” Dia diam sejenak. 

Irama cengkerik sedari tadi beralun senada tanpa henti di balik semak di hadapannya. Air liur direguk. Halkumnya turun naik. Kotak rokok rona putih berbelang merah jambu yang masih kemas di dalam balutan plastik diketuk padu beberapa kali di telapak tangan. 
Plastik yang membalut dicarik-koyak. Sebatang rokok ditarik suku dari kotak sebelum disua kepada rakan sekerja yang duduk di sebelahnya.

“Aku tak suka strawberi.” Sulung menolak. Nordin angguk perlahan lalu dikepilkan rokok berkenaan di bibir setelah pelawaannya ditolak.

“Ceritanya macam mana?” Tanya Sulung. 

Nordin menghembus asap rokok ke atas. Bertempiaran seketika nyamuk yang tadinya rancak merempit di sekitar muka dan hujung telinga. Bunyinya tidak ubah seperti enjin motosikal Yamaha 125Z yang ditarik panjang. Menjengkelkan tiap telinga yang mendengar.

“Ceritanya begini...”

***

Malam itu adalah hari pertamaku di hostel. Dua bilik yang telah penuh dihuni pekerja lain memaksa aku untuk tidur di ruang tamu. Di bawah kipas siling, berlapikkan tikar mengkuang aku baring termenung sendiri. 

“Esok pagi, kamu ikut Aziz pergi kerja. Dia akan tunjukkan tempat mana kamu akan jaga.” Terngiang-ngiang pesanan bos kepadaku petang tadi. 

KTAK.

Pintu dikuak. Muncul seorang lelaki di muka pintu. Dia menanggalkan kasut hitam berkilat. Sepertinya baru balik dari kerja. 

“Kau Nordin, eh? Budak baru?” Dia tanya. Aku angguk. 

“Aku Aziz. Esok kau ikut aku tau. Jangan bangun lambat pulak.” Pesannya sambil perkenalkan nama. 

Hanya itu butir bicaranya sebelum dia masuk ke dalam bilik. Pintu bilik ditutup. Aku termenung kembali sehinggalah mata lelap dengan sendirinya. 

***

Badan terasa gatal-gatal. Dalam tidur tanganku ligat menggaru di beberapa bahagian. Sesekali aku menarik seluar yang londeh sedikit demi sedikit. Dari mengiring, kini aku terlentang mengadap siling dengan mulut ternganga. Lena. 

Sekali lagi seluarku seakan ditarik-lucut. Timbul geli apabila paha disentuh sesuatu. Aku terjaga. Mataku buntang. 

“Woi! Apa ni?!” Pantas aku menepis tangannya yang cuba menyeluk ke dalam seluarku. Mukanya merah menahan malu.

Tanpa alasan, tanpa kata-kata maaf dia beredar masuk ke dalam bilik. Pintu bilik ditutup. Aku lihat jam tangan. Tiga pagi. Tidak kusangka, ada golongan sejenis di dalam rumah. Orang itu pula yang bakal aku ikut esok hari. 

Celaka. 

***

Esoknya aku lebih berhati-hati. Sempat aku dapatkan tali tebal dari kedai perkakas. Sebelum tidur, aku lilitkan di pinggang seluar sebelum ditamatkan dengan simpulan mati. Hanya itu cara yang terlintas di fikiran. 

Malam itu aku tidur dengan keyakinan yang tinggi. Jangan harap dia mampu melondehkan seluarku untuk kali yang kedua. Tali setebal itu jangankan gunting, pisau juga sukar untuk memutuskannya. 

Sedang asyik aku lena, terasa geli di hujung-hujung alat sulit. Semakin lama dibiar, semakin kuat nafsuku bergetar. Sesekali terbit sakit bagaikan digigit. Tidak semena-mena aku terjaga. Mataku buntang. Hatiku pasrah. 

Mahu melawan, diugutnya gigit. Bertambah celaka bilamana tali tebal yang aku lilitkan tidak terusik walau sedikit. Celakalah diriku pada malam itu apabila aku lupa bahawa seluar yang aku pakai mempunyai zip di bahagian kemaluan. 

Waktu itu sayup-sayup terdengar suara serak basah Hazama di corong radio yang terpasang di dalam biliknya... 

Ku relakannn jiiiwaaa...

Fak!

***

KARKAS #183: LURUS

Melihat dua ekor cicak berkejar-kejaran di dinding rumah sewa, aku rasa sangat sepi lagi. Padahal baru 2 hari.


"Bodoh punya cicak, baik kau jadi orang. Ada la juga kawan."

Kesepian aku ini telah melenyapkan segala kegembiraan dari 2 tahun lepas, masa mula-mula kenal "mereka".

Aku tidak mahu tinggal dalam kesunyian ini lagi. 

Kipas berdiri berputar laju, di sebelah aku. Menghembus udara yang membawa seribu debu. Debu yang mempengaruhi kesihatan Peter Cech semasa ujian kesihatan oleh unit kesihatan Arsenal Power tempoh hari.

Ini monolog, bukan bercakap dengan meja makan seperti malam semalam.

Aku tanya diriku, "ada baiknya aku buat sesuatu daripada duduk diam?" Aku menjawab, "duduk diam pun sesuatu juga."

Aku cari penanda buku paling lama aku tak baca, The Juggler. Tiada penanda buku, tapi ada lipatan di muka surat 270. 

Aku mula baca, diam-diam. 

Aku tak ingat apa-apa, aku tutup buku dan pergi ambil telefon dan menaip, "That's not gonna happen." Dan tekan butang hantar. 

Kenangan kadang kala membawa aku terbuai dengan segala bentuk keindahan, memimpin aku dengan segala jenis angan-angan serta mengajak aku bersedih dengan sesuatu yang tak masuk akal.

Aku jadi tak keruan. Antara aku dan orang gila, Azwan Ali apa kurangnya. Sambil jalan, aku hentak kaki kuat-kuat. Sudah 4 jam aku tak keruan. 

Ada mesej Whatsapp masuk.

"Sorry lambat reply, benda tu takkan terjadi. You duduk diam-diam kat sana boleh?"

Aku menjadi tenang, seperti malam semalam.

***