1 Jul 2015

KARKAS #184: CERITANYA BEGINI

“Ceritanya begini...” Dia diam sejenak. 

Irama cengkerik sedari tadi beralun senada tanpa henti di balik semak di hadapannya. Air liur direguk. Halkumnya turun naik. Kotak rokok rona putih berbelang merah jambu yang masih kemas di dalam balutan plastik diketuk padu beberapa kali di telapak tangan. 
Plastik yang membalut dicarik-koyak. Sebatang rokok ditarik suku dari kotak sebelum disua kepada rakan sekerja yang duduk di sebelahnya.

“Aku tak suka strawberi.” Sulung menolak. Nordin angguk perlahan lalu dikepilkan rokok berkenaan di bibir setelah pelawaannya ditolak.

“Ceritanya macam mana?” Tanya Sulung. 

Nordin menghembus asap rokok ke atas. Bertempiaran seketika nyamuk yang tadinya rancak merempit di sekitar muka dan hujung telinga. Bunyinya tidak ubah seperti enjin motosikal Yamaha 125Z yang ditarik panjang. Menjengkelkan tiap telinga yang mendengar.

“Ceritanya begini...”

***

Malam itu adalah hari pertamaku di hostel. Dua bilik yang telah penuh dihuni pekerja lain memaksa aku untuk tidur di ruang tamu. Di bawah kipas siling, berlapikkan tikar mengkuang aku baring termenung sendiri. 

“Esok pagi, kamu ikut Aziz pergi kerja. Dia akan tunjukkan tempat mana kamu akan jaga.” Terngiang-ngiang pesanan bos kepadaku petang tadi. 

KTAK.

Pintu dikuak. Muncul seorang lelaki di muka pintu. Dia menanggalkan kasut hitam berkilat. Sepertinya baru balik dari kerja. 

“Kau Nordin, eh? Budak baru?” Dia tanya. Aku angguk. 

“Aku Aziz. Esok kau ikut aku tau. Jangan bangun lambat pulak.” Pesannya sambil perkenalkan nama. 

Hanya itu butir bicaranya sebelum dia masuk ke dalam bilik. Pintu bilik ditutup. Aku termenung kembali sehinggalah mata lelap dengan sendirinya. 

***

Badan terasa gatal-gatal. Dalam tidur tanganku ligat menggaru di beberapa bahagian. Sesekali aku menarik seluar yang londeh sedikit demi sedikit. Dari mengiring, kini aku terlentang mengadap siling dengan mulut ternganga. Lena. 

Sekali lagi seluarku seakan ditarik-lucut. Timbul geli apabila paha disentuh sesuatu. Aku terjaga. Mataku buntang. 

“Woi! Apa ni?!” Pantas aku menepis tangannya yang cuba menyeluk ke dalam seluarku. Mukanya merah menahan malu.

Tanpa alasan, tanpa kata-kata maaf dia beredar masuk ke dalam bilik. Pintu bilik ditutup. Aku lihat jam tangan. Tiga pagi. Tidak kusangka, ada golongan sejenis di dalam rumah. Orang itu pula yang bakal aku ikut esok hari. 

Celaka. 

***

Esoknya aku lebih berhati-hati. Sempat aku dapatkan tali tebal dari kedai perkakas. Sebelum tidur, aku lilitkan di pinggang seluar sebelum ditamatkan dengan simpulan mati. Hanya itu cara yang terlintas di fikiran. 

Malam itu aku tidur dengan keyakinan yang tinggi. Jangan harap dia mampu melondehkan seluarku untuk kali yang kedua. Tali setebal itu jangankan gunting, pisau juga sukar untuk memutuskannya. 

Sedang asyik aku lena, terasa geli di hujung-hujung alat sulit. Semakin lama dibiar, semakin kuat nafsuku bergetar. Sesekali terbit sakit bagaikan digigit. Tidak semena-mena aku terjaga. Mataku buntang. Hatiku pasrah. 

Mahu melawan, diugutnya gigit. Bertambah celaka bilamana tali tebal yang aku lilitkan tidak terusik walau sedikit. Celakalah diriku pada malam itu apabila aku lupa bahawa seluar yang aku pakai mempunyai zip di bahagian kemaluan. 

Waktu itu sayup-sayup terdengar suara serak basah Hazama di corong radio yang terpasang di dalam biliknya... 

Ku relakannn jiiiwaaa...

Fak!

***

No comments:

Post a Comment