1 Jul 2015

KARKAS #187: LEPASKAN

Susah sungguh nak move on. Perasaannya macam ada batu besar himpap hati kau. Berat. Beban. Tapi itulah. Orang kata kalau tak move on macam mana nak teruskan hidup?

Aku ingat lagi kejadian petang itu. Sehari sebelum, Iman telefon aku ajak jumpa. Mustahak. Tak boleh tunggu-tunggu. Kami dah deal nak jumpa kat taman permainan di kawasan rumah aku selepas waktu pejabat. 

Pukul enam aku sampai. Iman dah sampai. Port biasa, kerusi batu bawah pokok. Beg aku sangkut ke bahu sebelum berjalan menghampiri dia.

Nampak aku nak sampai, dia bangun berdiri. Senyum. 

"Maaf lambat. Jalan kat KL ni tau je lah." 

"Tak apa. Saya okay. Lagipun baru sampai."

Bunyi suara kanak-kanak berlari tak mengganggu langsung perbualan kami. Hampir setengah jam bertukar cerita, aku tanya sebab dia nak jumpa aku. 

"Saya nak minta maaf."

"Sebab?"

"Saya rasa saya dah tak sayang awak lagi."

"Awak rasa? Yang saya rasa taknak tahu?"

"Lepaskanlah saya Mira. Sampai bila nak macam ni?"

"Sampai saya mati!"

Jujurnya, aku tak faham apa yang cuba dia sampaikan. Kenapa tiba-tiba dia selfish?

"Dunia awak dan dunia saya dah tak sama. Takkan sama lagi. Awak kena lepaskan saya dari hati awak. Hidup awak kena diteruskan."

Aku menggeleng perlahan. Air mata yang ditahan sejak tadi mengalir deras menuruni lekuk pipi. Aku menundukkan wajah. Membiarkan air mata mengalir jatuh terus ke bumi.

"Macam mana saya nak hidup kalau awak dah tak ada, Iman?" kataku sambil menoleh ke sisi. Dan ruang yang tadinya ada Iman dah kosong. Aku bangun berdiri. Berpusing-pusing sambil memanggil nama dia sebelum akhirnya aku jatuh terjelepok ke tanah. 

***

Bunyi dentuman yang kuat membuatkan langkahku terhenti. Tadi, aku terdengar suara dia menjerit memanggil namaku. Dan suara itu hilang serentak dengan bunyi dentuman tadi. Perlahan-lahan aku menoleh ke belakang. 

***

"Iman!!!"

Jalan raya sudah dipenuhi dengan darah. Waktu itu aku tahu yang Iman dah tinggalkan aku. Kalaulah aku tak layan rajuk aku...semua ni pasti takkan berlaku.

***

No comments:

Post a Comment