"Kau bunuh dia!" Tengking Pak Ali.
"Tak! Kenapa tuduh aku, apa bukti kau ada?"
"Kalau tidak kerana mulut kau yang kononnya nak bergurau, dia takkan mati!"
"Tak mungkin dia ambil serius, aku... Aku." Mail tertunduk kesal.
***
Pian seorang pemuda yang lurus bendul, kata orang demam panas yang dialami semasa kecil menyebabkan dia sedikit terencat dan tidak mampu berfikir panjang.
Pada kebiasaannya selepas menoreh getah, Pian akan menikmati kopi panas dan nasi lemak lima puluh sen di gerai tepi sawah namun hari ini Pian kelihatan aneh.
Dia tidak pulang dari menoreh tapi pakaiannya cukup serabai, rambut tidak bersikat serta tidak berkasut.
"Pian, hang ni kenapa?" Tegur Pak Ali.
Pian diam, setelah Pak Ali mahu berlalu baru Pian membuka mulut.
"Pian, banyak masalah. Mak sakit, adik-adik nak bawa mak ke Kolompor berubat tapi nak bawa Pian sekali. Pian tak nak."
Pak Ali duduk di sisi Pian. Ikutlah, bukan lama pun. Nanti diorang hantar balik kampung bila mak sihat."
Pian terdiam, kepalanya menggeleng.
"Kau nak hilangkan masalah senang je, p teguk racun bendang. Kau tenang, adik beradik kau tak susah." Sampuk Mail dari belakang sambil tersengih-sengih.
"Kamu ni Mail, ajar benda bukan-bukan pulak." Butang mata Pak Ali memarahi Mail.
"Dahlah, Pian pergi balik, jangan dengar cakap Mail ni." Belakang Pian ditepuk dua tiga kali.
Pian mengangguk, tetapi mulutnya asyik mengulangi kata-kata Mail tadi.
Petang itu, langit mendung, tiupan angin yang sejuk seolah cuba menceriakan sesuatu kepada Pak Ali. Entah tiba-tiba, dia teringat pada Pian.
"Pak Ali! Pian..." Jeritan seorang pemuda memeranjatkan Pak Ali.
"Pian minum racun kat kebun getah. Cepat Pak Ali!." Bingkas mereka meluru laju ke kebun getah dan Pian telah selamat ke syurga diiringi tangsan ibunya.
***
No comments:
Post a Comment