22 Feb 2023

KARKAS #253 : NASI AYAM JELUTONG

 


Tidak pernah berlaku yang awak bercuti pada hari Jumaat. Maka nasi ayam di hadapan saya sekarang telah pun lenyap kelazatannya. Setelah  lima bulan menyantap di sini, senja ini saya akan beranikan diri mempelawa awak keluar, atau setidaknya saya bertanyakan nama awak apa? Keberanian saya disebabkan oleh, itu, lelaki tua di kaunter bayaran. Semua kata-katanya kekal terkedap dalam kepala saya. 


“Setakat abang yang gemuk ni, jangan kata dia, makcik tua pun tak nak dekat abang!”

“Abang, orderlah nasi dan ayam separuh, lekas sikit kurus, baru boleh dapat dia, dapat marka.”


Keberanian yang menyinggah di bahu saya, ditambah dengan kata-kata bangsat lelaki tua itu, membuatkan saya rajin senaman. Saya tekan-tubi kira-kira 200 kali sehari. Dari hujung lorong kecil di Jelutong ini, saya berlari-pecut setiap kali hendak makan di kedai awak. Hari ini sepatutnya hari kemuncak! Dengan nasi ayam yang tersisa tiga-suku, air sirap limau masih penuh hingga permukaan gelas, saya tangguhkan bibit cinta manis kita. Esok, ya? 


Hari ini, Sabtu, saya tekan-tubi 400 kali. Saya mengenakan kasut larian saya yang baharu. Logo bayang harimau, tidak ubah seperti semangat saya. Saya akan berlari-pecut dari dua lorong sebelum tiba untuk nasi ayam. Saya fikir, usaha yang saya ganda-duakan, pasti didengari oleh Tuhan lalu Tuhan tiada lagi ruang selain memberikan ruang itu kepada limpahan romantis saya dan awak. Ah, baru sahaja selesai satu lorong, saya hilang pernafasan. Sial! 


Ini, bakal Tuhan tutup kembali ruang kita. Saya perlukan pendesak dan pemangkin. Saya jalan ke belakang lorong. Ada dua ekor anjing sedang mengawan. Saya capai batu kerikil bersaiz tiga jari, saya campak tepat ke tubuh anjing yang sedang berdiri dengan dua kaki. Taktik ini ampuh. Anjing itu mengejar saya, seterusnya saya berlari separuh mati tanpa melihat sekeliling, menuju destinasi cinta. 


Setibanya di kedai makan, seperti yang saya duga, anjing itu hanya mampu menyalak di luar kedai. Terima kasih, anjing. Khidmatnya tamat di sini. Anjing! Penat juga saya! Kepenatan terus bertukar menjadi keberanian apabila melihat awak bekerja hari ini.


“Nasi ayam Jelutong, satu! Sirap limau ais, satu!” 


Saya pun duduk. Perwatakan seorang gadis yang pendiam, awak tidak lekang menderma lirikan dan senyuman. Terlenggang-lenggok tubuh kerengga awak menatang dulang hidangan saya. Selesai sahaja awak meletakkan juadah di meja, saya pura-pura tersentuh kelengkeng awak. 


“Maaf, maaf. Nama siapa?” 


Ayam bahagian paha terpelanting ke udara. Nasi bertaburan di lantai. Sirap limau hanya tinggal limaunya di dalam gelas. Awak tidak semena menjerit. 


“ABANGGG!!! Tengok lelaki miang ni. Gatal! Pegang tangan kami!” 


Lelaki tua di kaunter bayaran terus melompat seperti bayang harimau kasut saya. Menerkam saya. 


“Woi gemuk. Hang buat apa ni kacau bini aku?” 


Itu adalah hari terakhir, senaman dan makan nasi ayam, untuk seumur hidup saya. Saya sekarang lebih tenang, membela dua ekor anjing yang pernah mengejar saya. Setiap kali anjing-anjing saya berjalan di hadapan Nasi Ayam Jelutong, saya akan paksa mereka mengeluarkan najis atau setidaknya kencing di sekeliling kedai. Tuhan memberikan saya ruang baharu bahawa menyintai anjing lebih berkuasa daripada bayang harimau, lebih bermakna daripada mengejar wanita. 


*****

No comments:

Post a Comment