1 Jul 2015

KARKAS #190: HOBI SAYA ADALAH...

Kelas Empat Mawar tiba-tiba bertukar suasana dari gamat dengan jeritan kepada sepi. Kedatangan guru ganti menamatkan pesta mereka.

"Selamat tengah hari, murid-murid. Cikgu Mia ada hal, jadi saya akan ganti tempat dia hari ini." Suara halus itu memecah kesunyian.

Tiga puluh dua pasang mata tertumpu ke arah guru kecil molek berasal dari Melaka.

"Hari ni, kita borak-borak je. Hmm.. Apa hobi awak semua? Kongsilah dengan saya dan kawan-kawan."

Pantas aku bangun sambil mengangkat tangan ke atas. Kini aku pula jadi tumpuan.

Aku membetulkan tali leher sebelum menyambung hujah.

"Hobi saya ni, bahaya tau kena ada orang dewasa teman. Jadi papa akan selalu ada dengan saya." Kembang hidung aku tatkala menyebut perkataan papa. Papa segalanya bagi aku.

"Jadi, apa hobi kau?" Sampuk Jidin.

Aku mengatur langkah ke hadapan kelas dengan penuh gaya. "Saya panggil hobi itu mengeraskan binatang, tapi orang dewasa panggil apa saya tak ingat." Aku menggaru kepala yang tidak gatal, reaksi ini kononnya memberi gambaran aku sedang berfikir, padahal tidak pun.

"Sabtu lepas, saya berjaya keraskan seekor tikus." Nada suara aku sedikit bangga.

"Macam mana awak buat?." Cikgu ganti menyoal seraya melabuhkan punggung comelnya itu di kerusiku. Perubahan tempat berlaku, aku jadi guru dan dia jadi murid.

"Mula-mula, bunuh tikus itu dengan kloroform kemudian cabut sikit demi sikit bulu tikus di bahagian perutnya. Gunakan gunting yang tajam untuk gunting kulit tikus tu." Aku diam, rakan-rakan semuanya fokus mendengar cerita.

"Ingat! Jangan kasar-kasar nanti terburai isi perut tikus tu." Sengaja aku meninggikan suara, rakan-rakan aku sedikit terkejut.

"Papa akan bantu saya untuk buat langkah kedua, iaitu pisahkan kulit dari daging. Buat sampai kat peha. Sementara itu, saya akan taburkan tepung jagung pada badan tikus tu supaya darah berhenti." Aku meluru ke tempat aku, air mineral aku teguk bagi menghilangkan haus.

Kawan-kawan dan guru ganti menanti dengan sabar cerita selanjutnya.

"Lepas tu, saya patahkan tulang paha tikus tu, tarik kakinya dan biarkan tergantung. Papa akan bantu lagi bila melibatkan bahagian otak, kata papa saya belum cukup teliti. Selepas badan dan kaki tikus dipisahkan, ekornya. Kemudian.."

Tak sempat aku menghabiskan cerita guru ganti itu bangun dari bangku.

"Awak buat semua ni, mak awak tak marah?" 

"Marah, tapi dulu. Mulai malam tadi, mama dah tak bising tapi mama asyik senyum saja." Jawab aku.

"Kenapa?" 

"Sebab petang Ahad lepas, saya bantu papa keraskan mama."

***

No comments:

Post a Comment