Pintu lutsinar aku tolak, seat yang berdekatan dengan pintu aku tuju – duduk menghadap cermin besar di dinding. Pelayan perempuan dengan uniform merah datang hulur buku menu. Tak perlu selak buku itu aku sudah tahu apa yang aku mahu,
“Brown....”
Seorang perempuan tiba-tiba datang tarik kerusi dan duduk. “Brownies lagi? Secret recipe ada berpuluh-puluh jenis kek untuk dimakan, kenapa mesti brownies?” Soal dia.
“Sebab saya suka.”
Dia tarik buku menu dan menyelak satu persatu. Pelayan tadi masih menunggu dengan buku nota dan pen di tangan. Memandang aku dengan kening yang dijongket.
“Biar saya pilihkan untuk awak.” Dia mengetuk-ngetuk jarinya pada dagu sambil menyelak menu.
“Saya suka carrot cake, tapi saya tak makan carrot cake setiap kali, saya gila cheese, tapi saya tak makan cheese cake selalu. Kadang-kadang apa yang kita suka makan bukan sebab kita memang suka, tapi sebab itu adalah benda yang kita dah biasa buat. Itu rutin.”
Aku biarkan dia membebel tentang kek yang meleret kepada entah apa benda. Aku cuma peluk tubuh dan pandang dia tak berkelip. Dia sangat comel bila berakap tanpa henti. Dia sangat jelita dengan tudung bawal yang kadang-kadang serabai bila dia stress, dan kemas bila mood dia baik. Tudung bawal tu dah macam lantunan mood dia pada satu hari itu. Yang dia tak tahu, aku selalu ‘baca’ mood dia daripada gaya tudung bawal yang dia pakai.
“.... jangan terus hidup dalam zon kawasan selamat, awak kena keluar dan cari hidup yang baru.” Dia pandang aku dengan muka sayu.
“Encik?” Pelayan perempuan itu tadi memanggil aku. Siap mengawang-awangkan tangan dia kat muka aku lagi.
Aku tersedar dan perempuan yang duduk kat kerusi depan aku ni tadi dah tak ada.
“Encik termenung?” Soal si pelayan.
Aku pandang muka si pelayan. ‘Awak kena keluar, cari hidup yang baru...’ ayat itu terngiang-ngiang di telingaku.
Aku senyum pada pelayan ini. “Dah lama awak kerja sini?”
Aku sedang melangkah setapak, mencari ‘hidup’ aku yang baru.
***
No comments:
Post a Comment