Hujan semakin lebat di luar. Kamu, petang ini kelihatan lebih cantik dari biasa. Seperti ukiran bidadari yang melenyapkan semua mimpi-mimpi ngeri. Kamu termenung sendirian di kaki lima yang hingar dengan manusia berlalu pantas dan sesak mengejar bayang-bayang mereka. Melihatmu di situ, seakan waktu terhenti dan manusia-manusia lainnya terpadam dari titik fokus mata.
Aku cuma memerhati dari sini. Sudah beberapa hari aku mengintai kamu dari jauh tanpa sedikitpun keinginan untuk menegur. Sememangnya, kamu tidak pernah menyedari kehadiranku malah kamu hilang dari alam nyata, sekadar jasadmu yang kaku di sana. Entah jasad itu atau dirimu sendiri yang kekal cantik, namun kecantikan kamu masih kekal serupa seperti saat pertama kita berkenalan di akademi beberapa tahun lalu.
Tahun-tahun itu adalah tahun yang terbaik sepanjang hidupku.
Malang sekali tahun-tahun itu telah lama lenyap dibawa derasnya arus masa. Ketika kita hampir terjatuh ke lembah emosional, kamu menghilang. Lama sekali jejakmu tidak dapat dikesan. Sehinggalah aku diberitahu akan keberadaan kamu di sini.
Kedatanganku kali ini punya niat yang berbeza. Untuk hari ini sahaja, beberapa kali sudah niatku diset semula. Rasional harus menjadi panduan. Tujuan asalku bukan mahu memperihalkan kecantikanmu. Sungguh, kecantikanmu mampu meruntuhkan tembok akal seorang lelaki. Namun berdirinya aku di sini bukan untuk kembali menagih cintamu, jauh sekali untuk merayu melutut padamu. Aku datang kerana tugas, arahan maha penting dari Majlis Tertinggi.
Kamu, salah seorang daripada 12 elit, pakar di antara pakar Skuadron Tempur Khas sub-unit Skuad Khas yang terlatih dan paling digeruni, lari dari organisasi kerana tidak sependapat dengan Majlis Tertinggi. Secara mudahnya, kamu adalah antara 12 orang terhebat di dunia, yang diiktiraf secara tidak rasmi. Organisasi kita, sebuah Pusat Penyelidikan Manusia Super (Institute of Superhuman Research) merupakan organisasi subversif bawah tanah. Diwujudkan bagi melumpuhkan pentadbiran negara yang menyeleweng namun permainan politik di dalam organisasi sendiri adalah perkara yang benar-benar tidak dapat dielakkan.
Kamu mahu mencipta revolusi sendiri. Tapi sayangnya, emosimu mempengaruhi setiap keputusan. Kemampuan analitikalmu diragui. Begitulah yang diberitahu kepadaku, tertulis di fail sulitmu berdasarkan statistik tingkahlaku. Namun kemampuanmu membaca fikiran dan emosi orang lain benar-benar menakutkan. Pasti kamu sudah mampu menduga niatku jika kamu terlihat aku di sini. Untungnya aku juga seperti kamu. Bezanya, pengkhususan aku adalah penyamaran, risikan, sabotaj dan serang hendap (espionaj). Sedang kamu, pakar memanipulasi psikologi manusia dan haiwan.
Senja, dan hujan kali ini disertai ribut yang menggila. Manusia-manusia alpa kalut berlari-lari mencari pelindung. Entah mengapa, aku dan kamu tidak pula sibuk seperti manusia-manusia itu. Sekarang hanya kita berdua, di kaki lima saat hujan gila membasahi kita.
Pandangan kita bertaut. Api membakar marak di mata. Visual pertarungan sengit kita terpancar di layar mindaku. Sewaktu di akedemi dahulu, kita adalah dua gergasi yang paling digeruni di gelanggan beladiri. Sentiasa saja, keputusan pertarungan kita menjadi seri gara-gara kita sama-sama rebah di akhir perlawanan--kepenatan. Mungkin hari ini adalah hari, di mana penentuan secara personal antara kita diputuskan--siapa yang lebih layak dinobat sebagai pelatih terbaik sebenarnya.
Jujur aku katakan, jika kamu tidak membeloti organisasi, kamu adalah bidadari paling sempurna di mataku yang pernah wujud. Namun bidadari ini harus mati di tanganku, dan aku tidak akan sekali-kali membunuhmu secara sembunyi-sembunyi seperti tikus yang menyusuri lorong-lorong sunyi.
Kamu di sana sekadar tersenyum sinis. Aku memulakan langkah. Satu tumbukkan kulepaskan namun sia-sia, sepertinya aku sekadar menumbuk illusiku sendiri. Tanpa sempat otakku memproses segala maklumat persekitaran yang diterima, tubuhku lunyai dibelasah bertubi-tubi. Berulangkali tumbukan dan tendanganku berlalu seperti angin yang bertiup kosong. Entah kamu yang semakin licah dan pantas atau aku yang sebenarnya semakin sebu dan lembab.
Aku terdampar longlai. Pelik. Sejak bila kamu menjadi begitu hebat? Kamu berdiri memerhatiku sambil tersenyum menayangkan sesuatu di tanganmu--berkilauan.
Sebelum pandanganku gelap dan pendengaranku pekak, baru aku sedar bahawa aku hanya seorang 'badut mekanikal' yang tidak punya apa-apa keistimewaan tanpa pencungkil gigi emas yang kamu curi dariku--kunci yang membuka titik kognitifku.
No comments:
Post a Comment