28 May 2015

KARKAS #160: SE-TEM

"Tolong, aku merayu, kau orang amiklah duit aku, mainan aku, tapi bukan tu. Tolonglah, aku merayu sangat."

Keluh Megat tidak dipeduli, malah tubuh kecilnya yang awal tadi dipijak pijak serta ditumbuk, ditambah lagi sakit dengan dihempap pelepah sawit yang berduri. Sifat perikemanusiaan seolah tiada secebis lahir dari hati mereka; kaki pembuli kampung.

"Benda buruk ni yang beria kau nak sangat? Apahal dengan kau ni? Bodoh. Tapi, kalau dah kau kata boleh amik duit dengan mainan kau, kita orang amik la ea. Terima kasih ea budak pelik."

Maka berlalulah Halim dan rakan rakannya selepas seronok membelasah Megat dan merampas duitnya.

Mengalir air mata Megat, mulut digemam erat menahan teriak kerna kesan luka luka dek dihempap pelepah sawit. Tangan kanannya tergenggam erat sambil dia menggerakkan pelepah yang menghepapnya, dibangunkan basikal yang tumbang, dan menepuk nepuk baju seluarnya yang kotor.

Dengan baki sedu dari menahan tangis, Megat dengan perlahan membuka genggaman tangan kanannya yang digenggam erat sejak dari mula dia dikroyok dengan Halim dan rakan rakannya.

Tersenyum...

Kayuhan yang terpaksa membuatkan Megat sampai ke rumah usangnya, dan dengan perlahan dia menyorong basikal buruk milik dia yang kemek bakul depannya dek dipijak Hassan kawan si Halim sebentar tadi.

Disorong basikal itu ke bawah rumah, disandarkan pada tiang lalu diselimutkan. Dengan dengkot, dan barang yang masih digenggam, Megat berlari anak ke anak tangga depan rumahnya, bergegar seluruh rumah saat dia mula menaiki anak tangga kerna seluruh rumahnya diperbuat dari kayu.

"Mak! Ohhh mak!!! Makk! Megat dah dapat dah benda yang mak suruh beli tadi."

Matanya merayau ke seluruh pelusuk rumah mencari ibunya, Indah.

Mula Megat mencari ke dapur dan tiada jasad ibunya disitu, lalu dia ke belakang rumah dan dia jeritkan ibunya, masih juga tiada. Megat mula risau, jam jam begini, biasanya ibunya ada di dapur untuk menyiapkan makan malam untuk keluarganya.

 "Tambahan lagi, barang yang dikirim mak katanya penting gila, masakan mak boleh tiada di rumah? Mana pulak mak ni." Getus Megat bermonolog di pintu belakang rumahnya saat dia menuju ke bilik tidur ibunya.

Gerak langkahnya dilajukan, anak tangga pintu tengah yang menjadi pemisah antara ruang tamu dan dapur, dilangkau dengan sekali langkah.

Dengan sedikit peluh dan degup dada yang semakin kencang, Megat mengetuk pintu bilik ibunya dengan harapan nyautan suara dari ibunya.

"Mak, mak ada dekat dalam tak? Megat dah beli dah barang yang suruh beli tadi, ni ada dekat tangan Megat ni mak."

Sayang, tiada sebarang sautan suara ibunya dari bilik. Lantas dia membuka pintu bilik untuk menjenguk, dan seperti yang dia tidak inginkan, jasad ibunya juga tiada disitu.

Megat terduduk, air mata yang tadinya baru sahaja kering, banjir lagi, kali ini, lebih deras dan ditemani teriak suara sedunya. Tiba tiba, dirasai ada satu susuk tubuh berdiri di sebelahnya. Perlahan Megat dongakkan kepala melihat susuk itu, ternyata, itu ibunya yang sedang berdiri sambil menghulur sesuatu kepadanya sambil mulut ibunya laju terkumat kamit dengan dahi yang berkerut.

Megat kembali senyum, air mata terhenti dalam sekelip mata, laju dia menggapai benda pada huluran ibunya dan memasangnya pada telinga.

Sebaik sahaja benda itu terpasang lengkap pada telinga, maka dengarlah satu suara bergempita, "Hang dah tau hang pekak, tak dengaq, len kali hang pakai la alat pendengaran nuh! Aku nak berak pun tak senang hang tau dak?? Haa, mana barang aku suruh beli tu?"

Dengan sengih kerang dan bekas basahan air mata yang ada jelas pada pipi, Megat hulurkan barang yang digenggam erat tadi.

"Baki duit mana?"

Megat terdiam, degup jantungnya menggila.

"Baki hilang dah, mak habaq setem ni penting gila, tuh ceq bagi kat samseng kampung. Ceq perlindung setem mak. "

Kini Indah pula terduduk dan menangis melolong sambil setem yang dipegangnya tadi dilepaskan.

"Awat mak teriak?" Soal Megat.

"Awat aku teriak hang tanya? Aku bagi hang 100RM hang tau dak? Setem ni baru 30sen!"

Megat ternganga dan bisu.

Pada pagi esoknya, seluruh ahli keluarga Megat ke meja dapur untuk bersarapan, seperti pagi pagi biasa, memang keluarga mereka akan bersarapan bersama.

Setelah semua ahli keluarga duduk di meja makan, bapa Megat membuka tudung saji berwarna biru, besar tertelungkup di atas meja makan.

"Ehhh, Indah! Padia benda hat ni duk dalam bekas? Sarapan mana??"

"Haaa, harini kita semua pakat makan setem ni ja, anak awak pi bagi duit kat kawan dia, setem dia bawa balik rumah"

***

No comments:

Post a Comment