"Anis, jangan pergi. Ini bukan cara terbaik lagi pun buang masa je kau ikut benda ni semua." Aku meninggikan sedikit suara dengan harapan Anis akan takut lalu membatalkan niat untuk menyertai satu perhimpunan yang menuntut hak kesama-rataan antara lelaki dan perempuan. Jangkaan aku meleset, Anis tetap pergi sambil melemparkan kata yang agak kasar.
"Lelaki pengecut seperti kau hanya layak duduk di rumah dan main bola kocek!" Semua mata yang ada di situ memandang aku, aku hanya mampu tunduk dan berlalu dari situ. "Inilah perempuan hilang akalnya yang satu, dikuasai oleh sembilan nafsu." Omel aku sendiri.
Bagai nak gugur jantungku, apabila mendapat berita bahawa telah berlaku satu pergaduhan antara pihak polis dengan pendemonstrasi dan polis juga telah menahan beberapa orang peserta yang berperangai keterlauan. Pantas aku mencapai telefon dan mendail nombor Anis berulangkali. Aku hampa. Hampir setengah jam aku mundar-mandir di ruang tamu sambil memikirkan Anis, sembilan akal aku buntu.
"Ida!" Tiba-tiba nama gadis Dusan itu terkeluar dari mulutku.
Laju tanganku meraba-raba semua kocek yang ada. Tak sempat aku mengesan kedudukannya, telefon aku memekik. "Zam, Anis kena tahan dengan polis. Dia di Balai Polis Bangi sekarang. Polis tak benarkan kami jumpa dia. Kau datanglah ke sini." Pantang diseru, dia pasti muncul. Terima kasih Ida.
Aku bergegas ke IGP Bangi, sambil memandu otak aku ligat mencongak jumlah duit dalam simpanan manalah tahu kalau-kalau Anis boleh diikat jamin, bolehlah aku bayarkan dahulu.
Setiba di IPG Bangi, aku lihat ada sekumpulan anak muda telah mendirikan perkampungan di situ. "Boleh tahan juga semangat setia-kawan budak-budak perhimpunan ni. Ini baru betul kawan." Omel aku sendiri. Keluar dari kereta, mata aku liar mencari Ida. Tubuhnya yang kecil menyukarkan pencarian aku. Aku cuba menghubunginya, tetapi gagal.
"Zam! Sinilah!!!" Satu pekikkan kuat dari sebatang pohon rendang kedengaran. Mata aku halakan ke sana dan aku nampak Ida sedang melambai-lambai. Aku berlari anak untuk menemui Ida.
"Jom, kita sembang kat warung tu, boleh minum sekali. Aku nampak kau letih semacam ni."
Tanpa membantah Ida membontoti aku. Melihat wajahnya, aku yakin Ida masih belum makan dan sangat kehausan. Jika aku terus serbu dia dengan pelbagai persoalan pasti dia serabut. Jadi, untuk meredakan keadaan, baik minum dulu.
Usai menjamah aku memulakan sesi soal siasat, "Ida, cerita dengan aku macam mana Anis boleh kena cekup? Aku minta kau jaga diakan tadi?" Ida diam.
"Maaf Zam, aku gagal jaga Anis. Tadi ada arahan minta kami semua bergerak ke Dataran Merdeka, tapi kami dihalang Polis dan PRU. Anis minta agar pagar itu dibuka tapi Polis tu buat tak layan. Tiba-tiba ada suara menjerit dengan kuat suruh kami rempuh. Anis pun rempuhlah. Berlaku tolak-menolak dan kat situ aku terpisah dengan Anis. Polis pula sembur pemedih mata, aku pun larilah. Tahu-tahu je Anis dah kat balai."
Cerita Ida bukan sahaja didengari aku malah seisi warung turut memberikan seratus peratus tumpuan kepada Ida. Ida ni, kalau dapat bercerita penuh dengan gaya. Maklumlah juara bercerita peringkat Sabah 5 tahun berturut-turut. Ida memandang sekeliling, mukanya merah padam menahan malu, aku gelak besar.
Untuk memastikan keadaan Anis, aku sendiri menyamar menjadi sepupu dan berbincang dengan pegawai polis di situ. "Kesalahan dia agak serius, dia menyerang anggota kami. Kami akan tahan dia untuk beberapa hari bagi tujuan siasatan tapi jika dia turut sama dalam menghasut dan merancang perhimpunan itu maka hukuman yang berat akan dikenalkan."
Aku angguk tanda faham. "Soal pengajiannya, itu luar bidang kuasa saya. Mungkin awak boleh rujuk di universiti tempat dia belajar." Sambung Pegawai Polis dengan begitu jelas.
"Terima kasih, Tuan. Kalau macam tu saya beredar dulu." Aku bangun seraya menghulurkan tangan untuk bersalam.
"Seronok duduk dalam lokap?" Perli aku. Anis memandang tajam ke arahku. Dapat aku rasakan ledakan amarah yang mendidih melalui pandangan matanya. Anis telah dibebaskan selepas tiga hari ditahan. Siasatan mendapati tindakan Anis itu adalah perbuatan tidak sengaja dan di bawah minda sedar. Anis dihukum membuat kerja-kerja sosial sahaja. Bagi mengurangkan kemarahan Anis, aku menghulurkan milo ais kegemarannya.
"Sorry, nah minum ni. Anis, apa sebenarnya yang kau tuntut? Kesama-rataan apa lagi yang wanita nak? Aku tak fahamlah dengan kaum perempuan sekarang." Anis diam, soalanku tidak dijawab malah dia mahu beredar. Aku menarik tangannya dan memberi isyarat supaya Anis duduk kembali.
"Sekarang aku nak kau dengar cakap aku baik-baik. Setiap makhluk itu diciptakan dengan cukup sempurna tiada cacat celanya jika dia tahu fungsi dia dilahirkan. Apa lagi perempuan mahu, dilahirkan dengan naluri keibuan, disebut sebanyak 3 kali di dalam Al-quran supaya hormati ibu dahulu baru bapa, boleh mengandung dan melahirkan serta mudah masuk syurga... Kenapa kau taknak kejar ini? Tapi sibuk nak tuntut hak kat dunia." Anis membatu. Kelihatan nafasnya laju. Aku sudah mengganggu harimau yang cedera, silap hari bulan mungkin ini pertemuan terakhir kami.
"Anis, awak tahu tak bagaimana seorang lelaki itu boleh berjaya, sebab adanya perempuan yang menjaganya. Sentuhan dan didikan seorang perempuan itu mampu mencorak seorang pemimpin negara yang sangat disegani. Nampak tak kuasa perempuan itu. Negara kita tak pernah sekat perempuan nak bekerjaya atau memegang jawatan tinggi cuma kita wujudkan kebatasan supaya perempuan itu tidak lupa tanggungjawab untuk melahirkan lebih ramai lagi generasi yang berjaya dan elok akhlaknya. Iya, aku tak nafikan ada juga perempuan yang teraniaya tapi kita tak buat bodoh kan? Pihak berwajib tetap membantu dan memberikan mereka ruang untuk hidup seperti biasa."
"Aku nak balik!!!" Nada suara Anis sedikit menjerit.
"Anis, bagi aku mudah saja, kejayaan seorang perempuan itu terbukti apabila dia berjaya menjalankan dua tugas ini dengan baik, menjadi seorang isteri dan ibu yang sempurna buat keluarganya." Anis memekup kedua telinganya dan berlari meninggalkan aku dan aku sekadar mengejarnya dengan pandangan sahaja.
Hari ini sudah masuk seminggu, Anis membisukan aku. Panggilan tidak dijawab, mesej tidak dibalas dan paling mengejutkan rumah sewanya turut bermangga. "Barangkali Anis pergi bercuti." Kata hatiku. Selang beberapa minit, telefon aku menjerit. Tertera nama Anis di skrin, dengan pantas aku menekan punat hijau.
"Zam, aku kat kampung ni. Pihak Universiti gantung aku satu semester. Jadi aku balik kampung ni nak 'clear'kan cerita dengan keluarga aku. Alhamdulillah depa boleh terima. Zam terima kasih sebab sedarkan aku." Nada sayu di hujung perbualan itu benar-benar mendebarkan hatiku.
"Baguslah kau okey, risau aku bila kau diam saja." Balas aku. "Eloklah kalau kau dah faham apa yang aku katakan, jadi bila kau nak sandang dua jawatan tu?" Aku mencuba nasib.
"Jawatan apa?" Anis kebingunggan. "Jawatan paling istimewa dan mulia, jadi isteri dan ibu kepada anak-anak kita." Anis berdekah ketawa, soalan aku dibiarkan mati lantas dia menukar topik perbualan. Aku menepuk dahi; dalam hati menjerit mengatakan...
"Aku sayang kau, Anis."
***
No comments:
Post a Comment