4 Apr 2018

KARKAS #250 : AKU, KAU & MATAHARI MAC

Aku, Kau & Matahari Mac

Pagi ini aku bangun lebih awal daripada biasa, perkara rutin setiap kali Mac menjelma. Aku akan duduk di balkoni sambil menyaksikan matahari perlahan-lahan mendaki langit.  Gemar aku, menikmati kecantikan warnanya, merasai habanya selesa serta menghirup baunya yang sangat harum. Sungguh, matahari pada bulan Mac ini sangat sempurna.

Jika mampu, mahu saja aku hentikan masa dan terus tinggal dalam suasana begini sampai bila-bila. Tenang dan damai tanpa perlu peduli tentang realiti yang membunuh. Aku tidak mahu meraikan matahari Mac ini sendiri, lalu aku berlari ke kamar dan mengejutkan dia yang sedang lena.

"Selamat pagi, sayang. Jom, kita raikan Mac"

Dia menolak, selimut ditarik hingga kepala. Aku senyum lalu langsir bilik, aku buka luas. Aku tarik selimutnya semula dan aku bisik,

"Mari, teman saya merenung matahari Mac. Cuba awak amati dan dalami, cahaya matahari bulan ini sangat berlainan."

"Lain? Maksud awak?"

"Cahaya matahari bulan Mac ini tidak hadir sendiri, ia hadir dengan limpahan kasih sayang, cinta dan harapan."

"Macam mana?"

"Macam kita, Mac tahun lepas saya sendiri dan Mac tahun ini, awak ada di sisi. Kita berharap agar Mac tahun berikutnya mungkin sehingga tua, kita masih bersama. Begitulah."

"Tapi, awak tahukan itu tak mungkin terjadi?"

"Awak bukan tuhan dan tolong jangan ambil kerja tuhan, biarkan Dia buat kerja dan kita terima seadanya. Kita boleh berharap, tapi biarlah harapan itu kita seiring dengan doa dan usaha. Percayalah pada dia, dan semua akan baik-baik saja."

"Tapi..."

"Jangan ada perkataan 'tapi' yang keluar dari mulut awak, buat masa sekarang kita raikan apa yang kita lalui. Syukur dengan apa saja termasuklah sakit yang awak alami ini. Ingat, jika saya tiada disisi, berbahagialah sebab Dia akan sentiasa menemani dalam apa jua posisi."


Dia mendakap aku erat, terasa hangat air matanya. Matahari Mac kali ini benar-benar berbeza, datangnya membunuh sepi dan menghidupkan cinta serta harapan.

No comments:

Post a Comment