1 Jul 2015

KARKAS #192: SUKAR BENARKAH UNTUK SALING MENCINTAI?

Semenjak ini, aku perasan ada satu gadis sering memerhatiku.

'Gila la mamat tu, boleh tahan kacak juga.' Getus aku dalam hati.

Gadis itu tak adalah lawa mana tapi ada sesuatu tentang dirinya yang buat aku curiga tentang dirinya.

Macam malas je nak approach, nanti kena friendzone, buat malu aje. Nampaknya aku kena cover sikit.

Namun, beberapa hari selepas itu, gadis ini sering hadir dalam mimpiku. Kalau nak ikutkan taraf umur, aku terlalu tua untuk dia, lagipun dia kan belajar lagi. Gadis yang lebih tua memang minat aku. Aku takut kalau hubungan kami tak direstui keluarganya? Tapi apa kata ibu bapaku? Aku risau juga jika mereka tidak restu.

Biar aje lah dia, aku sakat suka-suka je, mungkin nanti dia akan bertemu jodoh dengan lebih baik.

***

KARKAS #191: GORILLA PUJAAN

Pagi itu aku bangun dengan sakit kepala. Mungkin akibat kesan sampingan alkohol yang aku teguk dengan jumlah yang banyak semasa menonton pertunjukan sarkas semalam; pening.

Entah macam mana aku sampai di rumah aku ini pun aku tidak tahu. Yang penting, samada aku sedar, mabuk atau mimpi, semalam aku saksikan mahluk yang seperti aku idam idamkan dalam khayalan zaman kanak kanak aku.

Yang lebih mengejutkan, makhluk itu berada di hadapan pintu sekarang; merenung tajam mataku.

"Mati tak mamat semalam tu?" Soal aku pada dia yang tercongok senyum di hadapan pintu.

"Bakal." Jawabnya mudah.

Dalam selingan jawabnya itu, aku renungkan setiap helai bulu yang melitupi badan dan mukanya, bagai mimpi jadi realiti. Dengan mudah dia merodok pisau ke dadaku; aku terima dengan gembiranya.

Hairannya, tidak aku melenting mahupun mengamuk, tapi aku seolah akur nyawaku berakhir di tangan Gorilla pujaan aku selama ini.

"Untuk kau gorilla. Untuk kau." Aku ucap berkali-kali, tanda setuju.

***

KARKAS #190: HOBI SAYA ADALAH...

Kelas Empat Mawar tiba-tiba bertukar suasana dari gamat dengan jeritan kepada sepi. Kedatangan guru ganti menamatkan pesta mereka.

"Selamat tengah hari, murid-murid. Cikgu Mia ada hal, jadi saya akan ganti tempat dia hari ini." Suara halus itu memecah kesunyian.

Tiga puluh dua pasang mata tertumpu ke arah guru kecil molek berasal dari Melaka.

"Hari ni, kita borak-borak je. Hmm.. Apa hobi awak semua? Kongsilah dengan saya dan kawan-kawan."

Pantas aku bangun sambil mengangkat tangan ke atas. Kini aku pula jadi tumpuan.

Aku membetulkan tali leher sebelum menyambung hujah.

"Hobi saya ni, bahaya tau kena ada orang dewasa teman. Jadi papa akan selalu ada dengan saya." Kembang hidung aku tatkala menyebut perkataan papa. Papa segalanya bagi aku.

"Jadi, apa hobi kau?" Sampuk Jidin.

Aku mengatur langkah ke hadapan kelas dengan penuh gaya. "Saya panggil hobi itu mengeraskan binatang, tapi orang dewasa panggil apa saya tak ingat." Aku menggaru kepala yang tidak gatal, reaksi ini kononnya memberi gambaran aku sedang berfikir, padahal tidak pun.

"Sabtu lepas, saya berjaya keraskan seekor tikus." Nada suara aku sedikit bangga.

"Macam mana awak buat?." Cikgu ganti menyoal seraya melabuhkan punggung comelnya itu di kerusiku. Perubahan tempat berlaku, aku jadi guru dan dia jadi murid.

"Mula-mula, bunuh tikus itu dengan kloroform kemudian cabut sikit demi sikit bulu tikus di bahagian perutnya. Gunakan gunting yang tajam untuk gunting kulit tikus tu." Aku diam, rakan-rakan semuanya fokus mendengar cerita.

"Ingat! Jangan kasar-kasar nanti terburai isi perut tikus tu." Sengaja aku meninggikan suara, rakan-rakan aku sedikit terkejut.

"Papa akan bantu saya untuk buat langkah kedua, iaitu pisahkan kulit dari daging. Buat sampai kat peha. Sementara itu, saya akan taburkan tepung jagung pada badan tikus tu supaya darah berhenti." Aku meluru ke tempat aku, air mineral aku teguk bagi menghilangkan haus.

Kawan-kawan dan guru ganti menanti dengan sabar cerita selanjutnya.

"Lepas tu, saya patahkan tulang paha tikus tu, tarik kakinya dan biarkan tergantung. Papa akan bantu lagi bila melibatkan bahagian otak, kata papa saya belum cukup teliti. Selepas badan dan kaki tikus dipisahkan, ekornya. Kemudian.."

Tak sempat aku menghabiskan cerita guru ganti itu bangun dari bangku.

"Awak buat semua ni, mak awak tak marah?" 

"Marah, tapi dulu. Mulai malam tadi, mama dah tak bising tapi mama asyik senyum saja." Jawab aku.

"Kenapa?" 

"Sebab petang Ahad lepas, saya bantu papa keraskan mama."

***

KARKAS #189: DIAM

Hujan yang masih belum turun di waktu pagi, tapi langit mendung.

Sebelah aku ada dia yang memandu, tugas aku hanya duduk dan memikirkan apa yang hendak dibualkan. Tugas paling rumit yang pernah aku lakukan bila dia memandu sebelah aku.

"Why can't we be happy?"

Mulut aku tidak mampu tuturkan jawapan, macam-macam perkara sedang menusuk kepala aku.

"I'm only telling the truth," dia tambah lagi, "and I cuma cakap benda ni dekat you je, sebab apa cara kita kena juga hadap."

Aduh. Aku langsung tiada jawapan paling tepat untuk dia. Aku tenung wajahnya, perasaan sepi dan sedih itu aku perlu ganti dengan perasaan yang lebih indah. 

Aku senyum dan berkata, "Kebenarannya kenapa perlu datang dan pergi?"

Banyak benda aku nak cakap, tapi tak tercakap. Tak boleh keluar langsung dari mulut. 

Aku tak mahu keindahan bertukar kekosongan yang membosankan. Aku tak mahu dia pergi. Aku membisik, "you don't really have to go."

"I can't."

Aku cuma mampu diam.

***

KARKAS #188: MULUT II

"Kau bunuh dia!" Tengking Pak Ali.

"Tak! Kenapa tuduh aku, apa bukti kau ada?"

"Kalau tidak kerana mulut kau yang kononnya nak bergurau, dia takkan mati!" 

"Tak mungkin dia ambil serius, aku... Aku." Mail tertunduk kesal.

***

Pian seorang pemuda yang lurus bendul, kata orang demam panas yang dialami semasa kecil menyebabkan dia sedikit terencat dan tidak mampu berfikir panjang.

Pada kebiasaannya selepas menoreh getah, Pian akan menikmati kopi panas dan nasi lemak lima puluh sen di gerai tepi sawah namun hari ini Pian kelihatan aneh.

Dia tidak pulang dari menoreh tapi pakaiannya cukup serabai, rambut tidak bersikat serta tidak berkasut.

"Pian, hang ni kenapa?" Tegur Pak Ali.

Pian diam, setelah Pak Ali mahu berlalu baru Pian membuka mulut.

"Pian, banyak masalah. Mak sakit, adik-adik nak bawa mak ke Kolompor berubat tapi nak bawa Pian sekali. Pian tak nak."

Pak Ali duduk di sisi Pian. Ikutlah, bukan lama pun. Nanti diorang hantar balik kampung bila mak sihat."

Pian terdiam, kepalanya menggeleng.

"Kau nak hilangkan masalah senang je, p teguk racun bendang. Kau tenang, adik beradik kau tak susah." Sampuk Mail dari belakang sambil tersengih-sengih.

"Kamu ni Mail, ajar benda bukan-bukan pulak." Butang mata Pak  Ali memarahi Mail.

"Dahlah, Pian pergi balik, jangan dengar cakap Mail ni." Belakang Pian ditepuk dua tiga kali.

Pian mengangguk, tetapi mulutnya asyik mengulangi kata-kata Mail tadi.

Petang itu, langit mendung, tiupan angin yang sejuk seolah cuba menceriakan sesuatu kepada Pak Ali. Entah tiba-tiba, dia teringat pada Pian.

"Pak Ali! Pian..." Jeritan seorang pemuda memeranjatkan Pak Ali.

"Pian minum racun kat kebun getah. Cepat Pak Ali!." Bingkas mereka meluru laju ke kebun getah dan Pian telah selamat ke syurga diiringi tangsan ibunya.

***

KARKAS #187: LEPASKAN

Susah sungguh nak move on. Perasaannya macam ada batu besar himpap hati kau. Berat. Beban. Tapi itulah. Orang kata kalau tak move on macam mana nak teruskan hidup?

Aku ingat lagi kejadian petang itu. Sehari sebelum, Iman telefon aku ajak jumpa. Mustahak. Tak boleh tunggu-tunggu. Kami dah deal nak jumpa kat taman permainan di kawasan rumah aku selepas waktu pejabat. 

Pukul enam aku sampai. Iman dah sampai. Port biasa, kerusi batu bawah pokok. Beg aku sangkut ke bahu sebelum berjalan menghampiri dia.

Nampak aku nak sampai, dia bangun berdiri. Senyum. 

"Maaf lambat. Jalan kat KL ni tau je lah." 

"Tak apa. Saya okay. Lagipun baru sampai."

Bunyi suara kanak-kanak berlari tak mengganggu langsung perbualan kami. Hampir setengah jam bertukar cerita, aku tanya sebab dia nak jumpa aku. 

"Saya nak minta maaf."

"Sebab?"

"Saya rasa saya dah tak sayang awak lagi."

"Awak rasa? Yang saya rasa taknak tahu?"

"Lepaskanlah saya Mira. Sampai bila nak macam ni?"

"Sampai saya mati!"

Jujurnya, aku tak faham apa yang cuba dia sampaikan. Kenapa tiba-tiba dia selfish?

"Dunia awak dan dunia saya dah tak sama. Takkan sama lagi. Awak kena lepaskan saya dari hati awak. Hidup awak kena diteruskan."

Aku menggeleng perlahan. Air mata yang ditahan sejak tadi mengalir deras menuruni lekuk pipi. Aku menundukkan wajah. Membiarkan air mata mengalir jatuh terus ke bumi.

"Macam mana saya nak hidup kalau awak dah tak ada, Iman?" kataku sambil menoleh ke sisi. Dan ruang yang tadinya ada Iman dah kosong. Aku bangun berdiri. Berpusing-pusing sambil memanggil nama dia sebelum akhirnya aku jatuh terjelepok ke tanah. 

***

Bunyi dentuman yang kuat membuatkan langkahku terhenti. Tadi, aku terdengar suara dia menjerit memanggil namaku. Dan suara itu hilang serentak dengan bunyi dentuman tadi. Perlahan-lahan aku menoleh ke belakang. 

***

"Iman!!!"

Jalan raya sudah dipenuhi dengan darah. Waktu itu aku tahu yang Iman dah tinggalkan aku. Kalaulah aku tak layan rajuk aku...semua ni pasti takkan berlaku.

***

KARKAS #186: RUTIN

Pintu lutsinar aku tolak, seat yang berdekatan dengan pintu aku tuju – duduk menghadap cermin besar di dinding. Pelayan perempuan dengan uniform merah datang hulur buku menu. Tak perlu selak buku itu aku sudah tahu apa yang aku mahu, 

“Brown....”

Seorang perempuan tiba-tiba datang tarik kerusi dan duduk. “Brownies lagi? Secret recipe ada berpuluh-puluh jenis kek untuk dimakan, kenapa mesti brownies?” Soal dia.

“Sebab saya suka.”

Dia tarik buku menu dan menyelak satu persatu. Pelayan tadi masih menunggu dengan buku nota dan pen di tangan. Memandang aku dengan kening yang dijongket.

“Biar saya pilihkan untuk awak.” Dia mengetuk-ngetuk jarinya pada dagu sambil menyelak menu. 

“Saya suka carrot cake, tapi saya tak makan carrot cake setiap kali, saya  gila cheese, tapi saya tak makan cheese cake selalu. Kadang-kadang apa yang kita suka makan bukan sebab kita memang suka, tapi sebab itu adalah benda yang kita dah biasa buat. Itu rutin.”

Aku biarkan dia membebel tentang kek yang meleret kepada entah apa benda. Aku cuma peluk tubuh dan pandang dia tak berkelip. Dia sangat comel bila berakap tanpa henti. Dia sangat jelita dengan tudung bawal yang kadang-kadang serabai bila dia stress, dan kemas bila mood dia baik. Tudung bawal tu dah macam lantunan mood dia pada satu hari itu. Yang dia tak tahu, aku selalu ‘baca’ mood dia daripada gaya tudung bawal yang dia pakai.

“.... jangan terus hidup dalam zon kawasan selamat, awak kena keluar dan cari hidup yang baru.” Dia pandang aku dengan muka sayu.

“Encik?” Pelayan perempuan itu tadi memanggil aku. Siap mengawang-awangkan tangan dia kat muka aku lagi.

Aku tersedar dan perempuan yang duduk kat kerusi depan aku ni tadi dah tak ada.

“Encik termenung?” Soal si pelayan.

Aku pandang muka si pelayan. ‘Awak kena keluar, cari hidup yang baru...’ ayat itu terngiang-ngiang di telingaku.

Aku senyum pada pelayan ini. “Dah lama awak kerja sini?” 

Aku sedang melangkah setapak, mencari ‘hidup’ aku yang baru.

***

KARKAS #185: GRADUASI

Gadis itu masih bingung. Paparan kemasukan ke menara gading itu menjadi kegelisahannya sedari tadi.
Apa benar dia bakalan berjaya? Atau usaha hanya bakal sia-sia?

Di antara kasih cinta dan impian cita-cita. Dia melepaskan satu yang paling agung disisi hatinya. Mana mungkin perempuan berpangkat lepasan sekolah menengah bakal menjadi sandaran untuk dijadikan menantu.

"Maafkan aku. Tunggu aku berjaya sayang". Kata itu dibisik halus ke dalam hatinya. Kakinya terus menggarap langkah ke depan. Titis jernih gugur seiringan menyembah bumi.

***

KARKAS #184: CERITANYA BEGINI

“Ceritanya begini...” Dia diam sejenak. 

Irama cengkerik sedari tadi beralun senada tanpa henti di balik semak di hadapannya. Air liur direguk. Halkumnya turun naik. Kotak rokok rona putih berbelang merah jambu yang masih kemas di dalam balutan plastik diketuk padu beberapa kali di telapak tangan. 
Plastik yang membalut dicarik-koyak. Sebatang rokok ditarik suku dari kotak sebelum disua kepada rakan sekerja yang duduk di sebelahnya.

“Aku tak suka strawberi.” Sulung menolak. Nordin angguk perlahan lalu dikepilkan rokok berkenaan di bibir setelah pelawaannya ditolak.

“Ceritanya macam mana?” Tanya Sulung. 

Nordin menghembus asap rokok ke atas. Bertempiaran seketika nyamuk yang tadinya rancak merempit di sekitar muka dan hujung telinga. Bunyinya tidak ubah seperti enjin motosikal Yamaha 125Z yang ditarik panjang. Menjengkelkan tiap telinga yang mendengar.

“Ceritanya begini...”

***

Malam itu adalah hari pertamaku di hostel. Dua bilik yang telah penuh dihuni pekerja lain memaksa aku untuk tidur di ruang tamu. Di bawah kipas siling, berlapikkan tikar mengkuang aku baring termenung sendiri. 

“Esok pagi, kamu ikut Aziz pergi kerja. Dia akan tunjukkan tempat mana kamu akan jaga.” Terngiang-ngiang pesanan bos kepadaku petang tadi. 

KTAK.

Pintu dikuak. Muncul seorang lelaki di muka pintu. Dia menanggalkan kasut hitam berkilat. Sepertinya baru balik dari kerja. 

“Kau Nordin, eh? Budak baru?” Dia tanya. Aku angguk. 

“Aku Aziz. Esok kau ikut aku tau. Jangan bangun lambat pulak.” Pesannya sambil perkenalkan nama. 

Hanya itu butir bicaranya sebelum dia masuk ke dalam bilik. Pintu bilik ditutup. Aku termenung kembali sehinggalah mata lelap dengan sendirinya. 

***

Badan terasa gatal-gatal. Dalam tidur tanganku ligat menggaru di beberapa bahagian. Sesekali aku menarik seluar yang londeh sedikit demi sedikit. Dari mengiring, kini aku terlentang mengadap siling dengan mulut ternganga. Lena. 

Sekali lagi seluarku seakan ditarik-lucut. Timbul geli apabila paha disentuh sesuatu. Aku terjaga. Mataku buntang. 

“Woi! Apa ni?!” Pantas aku menepis tangannya yang cuba menyeluk ke dalam seluarku. Mukanya merah menahan malu.

Tanpa alasan, tanpa kata-kata maaf dia beredar masuk ke dalam bilik. Pintu bilik ditutup. Aku lihat jam tangan. Tiga pagi. Tidak kusangka, ada golongan sejenis di dalam rumah. Orang itu pula yang bakal aku ikut esok hari. 

Celaka. 

***

Esoknya aku lebih berhati-hati. Sempat aku dapatkan tali tebal dari kedai perkakas. Sebelum tidur, aku lilitkan di pinggang seluar sebelum ditamatkan dengan simpulan mati. Hanya itu cara yang terlintas di fikiran. 

Malam itu aku tidur dengan keyakinan yang tinggi. Jangan harap dia mampu melondehkan seluarku untuk kali yang kedua. Tali setebal itu jangankan gunting, pisau juga sukar untuk memutuskannya. 

Sedang asyik aku lena, terasa geli di hujung-hujung alat sulit. Semakin lama dibiar, semakin kuat nafsuku bergetar. Sesekali terbit sakit bagaikan digigit. Tidak semena-mena aku terjaga. Mataku buntang. Hatiku pasrah. 

Mahu melawan, diugutnya gigit. Bertambah celaka bilamana tali tebal yang aku lilitkan tidak terusik walau sedikit. Celakalah diriku pada malam itu apabila aku lupa bahawa seluar yang aku pakai mempunyai zip di bahagian kemaluan. 

Waktu itu sayup-sayup terdengar suara serak basah Hazama di corong radio yang terpasang di dalam biliknya... 

Ku relakannn jiiiwaaa...

Fak!

***

KARKAS #183: LURUS

Melihat dua ekor cicak berkejar-kejaran di dinding rumah sewa, aku rasa sangat sepi lagi. Padahal baru 2 hari.


"Bodoh punya cicak, baik kau jadi orang. Ada la juga kawan."

Kesepian aku ini telah melenyapkan segala kegembiraan dari 2 tahun lepas, masa mula-mula kenal "mereka".

Aku tidak mahu tinggal dalam kesunyian ini lagi. 

Kipas berdiri berputar laju, di sebelah aku. Menghembus udara yang membawa seribu debu. Debu yang mempengaruhi kesihatan Peter Cech semasa ujian kesihatan oleh unit kesihatan Arsenal Power tempoh hari.

Ini monolog, bukan bercakap dengan meja makan seperti malam semalam.

Aku tanya diriku, "ada baiknya aku buat sesuatu daripada duduk diam?" Aku menjawab, "duduk diam pun sesuatu juga."

Aku cari penanda buku paling lama aku tak baca, The Juggler. Tiada penanda buku, tapi ada lipatan di muka surat 270. 

Aku mula baca, diam-diam. 

Aku tak ingat apa-apa, aku tutup buku dan pergi ambil telefon dan menaip, "That's not gonna happen." Dan tekan butang hantar. 

Kenangan kadang kala membawa aku terbuai dengan segala bentuk keindahan, memimpin aku dengan segala jenis angan-angan serta mengajak aku bersedih dengan sesuatu yang tak masuk akal.

Aku jadi tak keruan. Antara aku dan orang gila, Azwan Ali apa kurangnya. Sambil jalan, aku hentak kaki kuat-kuat. Sudah 4 jam aku tak keruan. 

Ada mesej Whatsapp masuk.

"Sorry lambat reply, benda tu takkan terjadi. You duduk diam-diam kat sana boleh?"

Aku menjadi tenang, seperti malam semalam.

***