13 Jun 2015

KARKAS #178: KOMIK

Komik itu dihempas ke lantai. Hatinya mendidih. Mana mungkin komik sebagus ini dikritik hebat dan ditolak. Ah! Dia lempar dan memijak komik tersebut berulang kali demi melepaskan kemarahannya.

“Sakitlah bodoh! Cuba kalau aku pijak kau pulak!” Jemi terkejut.

“Siapa? Siapa?!” Jemi menjerit-jerit.

“Akulah.” Satu tepukan hinggap di bahunya. Jemi terduduk dan menggigil ketakutan.

“Sakit tahu tak.” Karakter di hadapannya mengeliat.

“Kau... Kau... Akil?”

“Yelah, akulah.” Lelaki itu mencangkung di hadapan Jemi. Hampir bertemu wajah mereka. Peluh jantan mengalir deras. Ini ketakutan dari neraka.

“Kau buat cerita macam sampah lepas tu kau nak penerbit terima komik kau. Aku pun malu jadi Akil dalam komik kau tu. Terus jadi lelaki yang tak ada maruah!” Lelaki itu memeluk tubuh. Jemi naik angin.

“Kau patutnya sokong aku! Aku yang buat kau! Aku lukis kau kacak-kacak lepas tu kau kutuk aku!”

“Rupa hensem kalau bodoh, tak guna kau tahu tak. Ada ke lepas selamatkan nenek tua tu, aku kau kahwinkan dengan nenek tu, sebab harta pulak tu. Dapat kereta idaman, rumah banglo, happy-ending kejadahnya.” Jemi hilang sabar dan melepaskan penumbuknya. Bibir lelaki itu berdarah.

“Tengok, kau buat aku lelaki lembik. Dah! Sini kau, biar aku yang buat komik!”

***

“Wah baguslah kau ni, Akil. Cerita macam real jek. Mana kau dapat jalan cerita macam ni?” Ujar Nani membelek komik Akil.

“Daripada cerita sebenarlah.” Ujar Akil bangga. Kedengaran tawa Nani memecah suasana.

“Kenapa? Kau tak percaya?” Akil merapatkan wajahnya ke wajah Nani.

“Memang pun aku keluar dari komik tu lepas si bodoh tu pijak-pijak aku. Memang pun aku yang sumbat komik bodoh tu dalam mulut Jemi sampai dia mati tercekik.” Ujar Akil separuh berbisik.

“Aku bukan manusia, Nani. Aku cuma karakter.” Akil ketawa dan berlalu pergi. Nani pula, lekas-lekas dia melempar jauh komik di tangannya.

*** 

No comments:

Post a Comment