Mengenali August bukanlah perkara yang biasa. Bagi aku, mengenali August merupakan sesuatu yang luar biasa kerana dia buatkan aku rasa luar biasa. August memperkenalkan aku kepada satu magis yang dipanggil cinta. Cinta merupakan sebuah perasaan yang sangat indah jika dinikmati dengan hati dan dikongsi dengan seseorang yang merasai perkara yang sama. Cinta mampu membawa kita ke sebuah ruang rahsia yang tiada siapa tahu di mana. Di ruang rahsia itu, kita boleh jadi apa sahaja yang kita mahu. Itulah cinta.
Nama aku Jun. Aku merupakan seorang pelukis jalanan yang tidaklah terlalu terkenal. Aku mengenali August ketika berada di majlis ulang tahun kelahirannya yang ke-21. Ketika itu, aku diupah oleh rakannya untuk melukis potretnya sebagai tanda ingatan. Entah bagaimana, pertemuan itu membuahkan bibit-bibit cinta antara aku dan August. August tidaklah terlalu kaya, cuma dia hidup dalam keadaan mewah. Aku tidak kisah jika August kaya atau tidak walaupun aku ini orang sederhana. Aku cuma kisah tentang dia, hanya dia.
Seperti yang dijanjikan, kami bertemu di sebuah restoran pada malam Hari Kekasih. Aku mengenakan solekan nipis dan gaun satin berwarna biru gelap. Rambutku, aku sanggul rapi. Sengaja aku datang sedikit awal bagi meraikan keterujaan aku bersama orang yang tersayang. Aku hanya duduk tersipu sendiri sambil teringat detik-detik lalu bersama August. Tak sangka tahun ini tahun yang kelima kami bersama.
August tiba dengan senyuman. Di tangannya ada sejambak bunga kegemaranku, bunga matahari. Dia menghulurkan bunga itu dengan tangan kanannya lalu duduk berhadapan denganku. Kami mula menjamu selera. Aku tak pasti sama ada restoran ini memang terkenal dengan masakan yang sedap atau senyuman August yang menjadi penyedap rasa. Dunia bagaikan berputar dengan kelajuan yang sangat minima demi menghormati waktu aku bersama August ketika itu.
***
Aku melangkah masuk ke dalam ruangan itu. Gelap. Aku bukanlah takut akan kegelapan, cuma aku takut ditinggalkan keseorangan. Satu-satunya sumber cahaya yang aku ada semakin menghilang dan akhirnya padam. Bau yang amat busuk berlumba-lumba masuk ke rongga hidungku. Baunya bukan sahaja busuk, bahkan meloyakan. Aku termuntah berkali-kali disebabkan bau itu. Baunya mengalahkan bau bangkai kucing yang aku pernah temui di dalam stor rumahku tahun lepas.
Angin kering yang kuat menampar wajahku. Terasa bagaikan disiat-siat hujung mata pisau yang tajam. Kulitku kian kering dan merekah. Aku dapat rasa sel-sel kulitku menggelupas di wajahku menjadikan wajahku seakan-akan berdebu kasar. Entah angin jenis apa ini, aku tidak pernah jumpa. Pedih. Hanya itu yang aku dapat gambarkan ketika ini.
Aku jatuh tersungkur dan cuba meraba dalam gelap. Tiada apa-apa yang mampu membawa kepada aku satu petunjuk pun tentang pintu keluar. Yang aku tahu ialah dinding ruangan ini semakin sempit. Pergerakan dadaku terbatas dan tidak dapat bergerak membuatkan aku sukar untuk bernafas.
Nama August aku laung sekuat-kuatnya dengan harapan dia mampu dengar. Dalam fikiranku, biarlah seorang jejaka atau apa-apa watak hero muncul sekarang kerana aku sangat tidak tahan dengan tempat ini. Dan semestinya aku mengharapkan August kerana dialah yang membawa aku ke tempat ini. Katanya ini syurga dia, tapi ini neraka aku.
Kepalaku sangat sakit seperti ada yang merobek-robek segala isi di dalamnya. Kaki aku juga turut mengejang. Aku tidak mampu berbuat apa-apa kerana terlalu sempit. Urat aku pecah dan darah aku terpancut keluar tanpa henti. Tulang aku bergesel antara satu sama lain membuatkan aku rasa ngilu yang tak dapat aku gambarkan. Akhirnya, tubuhku lenyap ditelan kesempitan ruangan yang juga sudah lenyap.
***
“Awak nak tahu tak? Awaklah orang yang paling saya cinta.” Kata August sambil sebelah tangannya memegang tangan kiriku.
“Tak perlu cakap, dah tahu dah.” Balasku dengan senyuman meleret.
“Biarlah, saya suka cakap tentang ni.” Kata August sambil matanya tak lepas memandangku.
Jeda, suasana jadi senyap seketika. Lagu-lagu romantis didendangkan seorang pianis terkenal sempena Hari Kekasih. Lampu bercahaya jingga terang digabungkan dengan cahaya putih dari sudut tepi membuatkan restoran ini nampak mewah. Lampu-lampu itu jugalah yang membuatkan August nampak kacak yang tiada tara pada malam itu. Atau mungkin itu cuma ilusi mataku.
“Awak nak tahu tak? Cuma awak seorang sahaja yang ada dalam hati saya.” Kata August lagi sambil memegang tanganku sebelah lagi. Aku hanya membuat lagak tidak percaya sambil tersenyum nakal ke arahnya. Kata August, dia akan membuktikan segala kata-katanya malam itu juga. Sudah lama dia menantikan saat ini.
Kotak biru yang mengandungi sekeping kunci, dia hulur kepada aku. Katanya, itu kunci untuk membuka pintu hatinya. Sebenarnya, dia sudah lama membuka pintu hatinya sejak lima tahun lalu. Tapi inilah kali pertama dia menjemput aku masuk ke dalam. Aku membuka pintu hati itu seluas-luasnya lantas masuk ke dalam dengan teruja. August segera menutup dan mengunci aku dalam hatinya.
***
No comments:
Post a Comment