5 Jan 2016

KARKAS #240: TIA TERSELIUH


Menemukan dia hampir setiap petang di hujung jalan, membuat jantungku bergendang tak berhenti. Makin hampir, paluan makin hebat. Saat berselisihan jalan dengannya, aku cuma menunduk. Malu mahu bertentang mata. Wajahnya terlalu indah. Dia memiliki sepasang mata yang amat mempersona. Saat dia melarikkan senyumannya, aku seakan terawangan.

Dialah, gadis idamanku semenjak aku mula injak ke menengah atas.

Dia anak ketua kampung. Gadis yang tak mudah untuk didekati. Sentiasa dikawal selia. Ayahnya tidak sewenang-wenangnya melepaskannya untuk keluar. Dunianya hanyalah sekolah dan rumah.

Namun satu hari itu, ketika aku melalui jalan yang serupa, aku nampak dia duduk di hujung jalan sambil memegang kakinya yang sakit. Wajahnya berkerut-kerut. Dia tidak menyedari kehadiranku. Mulutnya berdecit sambil mengurut-urut buku lalinya.

Aku cuba menegurnya.

"Tadi, aku tidak nampak lubang itu lalu kakiku termasuk ke dalamnya dan kini ia membengkak."

"Kau mahu kalau aku memapahmu pulang ke rumah?"

Dia mengangguk perlahan. Kemudian aku membantunya berdiri. Tanganku memaut pinggangnya sementara dia memaut leherku. Perjalanan ke rumahnya yang biasanya sepuluh minit menjadi tiga puluh minit.

Barulah aku tahu yang namanya Tia. Umur sebaya denganku. Kami tidak banyak berbual kerana dia menahan sakit di kakinya sejak tadi.

Sebaik saja sampai di depan rumahnya, aku membantu dia duduk di kaki tangga. Kemudian aku memanggil-manggil nama ayahnya.  Tidak lama kemudian, ayahnya muncul di muka pintu. Melihat Tia yang terduduk di kaki tangga dia pantas menerpa.

"Kaki Tia terseliuh tadi. Mujur ada dia. Dialah yang membantu Tia berjalan pulang ke rumah."

Tiba-tiba ayahnya memelukku sambil mengucapkan terima kasih. Aku hanya tersenyum senang.

Ketika aku berpaling untuk pergi dari situ, telingaku mendengar sesuatu.

"Boleh tak Tia berkawan dengannya ayah?"

"Boleh. Ayah benarkan."

Waktu itu aku rasakan bagai bulan jatuh ke riba. Bagaikan bulan menyahut panggilan pungguk saban malam. Bahagianya! Kalau aku tahu begini mudah, dari dulu aku membuat lubang jalan yang sama. Tidak perlu menunggu begini lama.

Kalau berkehendak, apa saja pasti akan dilakukan!

No comments:

Post a Comment