''Kira-kira 10, 000 ekor lipas mengerumuni Lebuh Raya Utara Selatan menghala ke utara tanah air sejak dua puluh lima minit yang lalu?'' Megat mengulangi semula berita yang baru didengarinya sebentar tadi dengan tonasi suara yang perlahan. Dia mulai cemas kerana dia bercadang untuk bertemu Medina buat kali pertama setelah menjalinkan hubungan cinta selama 6 bulan yang lalu.
''Sayang, ada tengok berita pukul 1.30 petang tadi tak?'' Megat menghubungi kekasihnya yang berada jauh di utara.
''Tak tengok pun. Kenapa?'' soal Medina yang kepenatan baru pulang dari bertemu pelanggan-pelanggannya.
''Saya rasa kita tak dapat jumpa la malam ni, sebab saya baru tengok berita tadi. Lebuh Raya Utara Selatan dipenuhi ribuan ekor lipas.'' Suara Megat sedikit terkucil membayangkan lipas-lipas tersebut sedang mencumbui kakinya lalu memenuhi batang tubuhnya.
Medina menghamburkan ketawa. Walhal, dia sudah sedia maklum bahawa Megat sememangnya geli terhadap serangga itu.
''Awak, bukan ke awak naik kereta? Lenyek je lah lipas-lipas tu. Kalau geli sangat, awak tukar laluan menuju lebuh raya ke hati saya. Aman sejahtera.'' Medina menyambung tawa sehingga anak matanya tidak kelihatan.
''Sayang, awak ni...'' Panggilan dimatikan. Megat berang. Tawa Medina sebentar tadi seakan mencabarnya. Dia pantas mencapai kunci kereta di atas meja dan sebotol penyembur serangga lalu memulakan perjalanan.
Keretanya telah melepasi tol Port Docksin. Pada bila-bila masa sahaja, Megat akan tiba di kawasan ribuan ekor lipas yang dilaporkan oleh pemberita sebentar tadi. Dia juga sudah bersiap siaga untuk berperang dengan serangga tersebut demi menemui Medina.
''Lautan lipas sanggupku redahi demimu... Medinaaa...'' Jeritan Megat yang berkobar kobar pada mulanya menjadi sayup setelah dia ternampak seperti logamaya hitam bergerak di atas lebuh raya. Megat memperlahankan kenderaannya supaya dia berada dalam keadaan yang tenang sekiranya apa yang berlegar-legar di fikirannya itu benar.
Butir-butir peluh kian dirasai di permukaan dahinya. Keretanya semakin menghampiri entiti tersebut.
''Ya Allah! Aku dah agak dah! Lipas! Gelinya woi!!! Buat apalah korang banyak-banyak kat sini?! Ini kawasan manusialah, wey!'' Bebel Megat dengan riak badan yang menggelejat. Kenderaan-kenderaan lain mula menghimpit ke lorong paling kanan setelah dua lorong yang lainnya sudah dipenuhi oleh ribuan ekor lipas tersebut. Masing-masing memperlahankan kenderaan untuk melihat keajaiban yang berlaku. Sejarah pertama dalam dunia!
Kerumunan lipas tersebut tidak menyerang dan mengganggu manusia seperti dalam imaginasinya. Malah, ia kelihatannya sedang menghurung sesuatu. Tidak kurang juga yang memberhentikan kenderaan untuk merakam momen aneh seperti itu supaya boleh dihebahkan ke serata dunia dan menjadi tapak tinggalan sejarah suatu hari nanti atau memuat naik gambar serta video dengan tajuk 'Dunia sedang Berakhir!'
Megat turut terpengaruh untuk menghentikan kenderaannya dan memberanikan diri mendekati kerumunan tersebut. Dia juga tidak mahu ketinggalan merakam kejadian itu untuk dikirimkan kepada Medina dengan kadar segera sebelum dia sempat bercerita. Biarlah rakaman ini menjadi bukti kesungguhan cinta dan keberaniannya terhadap Medina dalam merempuh kesesakan sang lipas.
Usai tiba ditempat kejadian, ada sebatang tubuh lengkap berpakaian badut telah kaku dengan hanya dipertonton tanpa tindakan. Manakala di sekitarnya terdapat lambakan makanan ringan yang bertaburan. Ia seakan menjadi medan makanan serangga-serangga itu memenuhi selera.
Rakamannya sepanjang melihat keadaan yang mengerikan dan menggelikan tadi, telah berjaya dihantar oleh Megat kepada Medina. Belum pun sempat dia berada jauh dari tempat kejadian, tiba-tiba dia terdengar seperti ada orang yang menyebut-nyebut namanya.
''Pesanan daripada Megat... Pesanan daripada Megat... Pesanan daripada Megat...'' Suara itu memeranjatkan seluruh penonton yang berada di situ termasuk dirinya dan kebetulan nama yang disebut tanpa henti itu serupa dengan namanya. Hatinya berkecamuk. Megat lekas melihat rakaman yang dihantar kepada Medina melalui aplikasi 'Whatsup' tetapi masih belum mendapat respon daripada Medina. Megat cuba menghantar beberapa pesanan lagi kerana dia seakan dapat merasai sesuatu yang tidak kena.
''Pesanan daripada Megat... Pesanan daripada Megat... Pes...'' Megat meluru ke arah badut tersebut lalu menekan butang yang terdapat pada batang tubuh badut itu untuk menghentikan suaranya. Dia kemudiannya memilih menu 'pesanan' yang terdapat di dada badut mekanikal itu. Ianya dipenuhi dengan pesanan dan log panggilan antara mereka berdua. Megat memilih pula menu 'draf'. Ada pesanan yang tidak sempat ditamatkan dan di hantar.
'Meg, Sorry gelakkan awak tadi. Saya pergi kerja dulu. Ada dua tempat saya nak pergi petang ni. Malam nanti…'
Jantung Megat berdegup deras. Tangannya menggeletar. Kelopak matanya berkaca menanti pecah. Megat mengeluarkan kad memori berbentuk pencungkil gigi daripada dada kiri Medina yang tertera di atasnya 'Med'.
''Mangsa cedera parah. Kepalanya hancur. Van yang menyediakan perkhidmatan parti dan badut mekanikal telah dilanggar lari. Jumlah bilangan lipas yang mengerumuni kawasan kejadian juga beransur kurang.'' Lapor seorang wartawan ke unit berita utama.
''Terima kasih untuk wasiat ini, sayang.'' Kad memori itu digenggamnya erat dan pipi aluminium Medina yang berkecai dari muka diciumnya rapat. Cebisan serpihan bibir Medina diambilnya senyap.
No comments:
Post a Comment