5 Jun 2015

KARKAS #174: HANYUT

Senja itu Ali pulang dalam keadaan keletihan. Kerja-kerja di pejabat yang tak pernah habis amat memenatkan. Namun hanya itu punca rezekinya. Dia akur. Lagipun kalau bukan dia berhempas pula untuk keluarganya, siapa lagi.

Pintu rumah diketuk berkali-kali. Senyuman tak lekang dari wajah. Kerinduan terhadap isterinya sudah menggunung rasabya. Namun tiada yang membuka pintu. Hairan. Mana Suraya? Ali berlari ke belakang rumah. Mana tahu isterinya sedang menyiapkan makan malam. Tapi ruang dapurnya gelap tanda tiada sesiapa di situ. 

Pintu dapur ditolak dari luar. Tak berkunci. Suis lampu dihidupkan. Serta merta ruang dapur itu menjadi cerah. Kelibat isterinya tiada juga di situ. Kaki diatur menuju ke ruang depan. Mungkin isterinya sedang menonton drama kegemarannya. Namun skrin TV juga gelap gelita. Kipas siling tak berpusing. Kusyen pula elok saja tersusun. Tanda-tanda tiada sesiapa yang menghuni ruang itu sebelum kepulangannya.

Ali meraup wajahnya berkali-kali. Ke mana Suraya pergi? Kenapa tak diberitahu padanya? Ah, mungkin di bilik! Bilik tidur dituju. Sebaik sahaja pintu bilik dibuka, hidungnya terbau haruman yang selalu dipakai oleh Suraya. Matanya melingas ke seluruh bilik. Tapi suasana bilik yang suram itu menghairankan Ali. Sudah dicari satu rumah namun langsung tiada kelibat isterinya. Di sini juga tiada. Tapi dari tadi telinganya seolah-olah terdengar suara isterinya memanggilnya.

"Ali, hang dah balik ke? Ni Mak Timah ada masakkan lauk untuk makan malam kamu. Ke mana kamu tadi? Mak Timah datang tengah hari tak ada orang pun?" Mak Timah jiran Ali datang membawa makan malam untuknya. Pintu rumah dibuka dari luar sebaik sahaja mendengar suara Ali menjawab salam.

"Kerja Mak Timah. Ni Mak Timah ada nampak isteri saya tak? Puas saya cari satu rumah. Tapi tak ada. Saya penat Mak Timah." Luah Ali sambil meletakkan punggung ke atas kusyen. Sambil bersandar, matanya dipejamkan. Terbayang-bayang senyuman manis isterinya. 

Mangkuk berisi sup diletakkan di atas meja kopi. Air mata yang mengalir diseka. Kasihan. Hati Mak Timah berkata sendiri.

"Sudah-sudahlah Ali. Suraya dah tiga bulan pergi. Meninggal waktu lahirkan Adam. Kamu dah lupa? Jangan terus hanyut begini." Nasihat Mak Timah. Rawan hatinya tengok Ali begini. Baginya Ali dan Suraya sudah seperti anaknya sendiri sementelah sudah hampir dua tahun mereka suami isteri berjiran dengannya.

Dan setiap hari, Ali akan begini. Dirasakan seolah-olah dia baru pulang dari kerja dan Suraya akan menyambutnya di muka pintu rumah.Dan setiap hari jugalah soalan yang sama diajukan. Ke mana Suraya?

"Saya belum puas hidup dengan dia Mak Timah. Kenapa dia tinggalkan saya?"rintih Ali dengan matanya yang masih terpejam. Rindu.

***

No comments:

Post a Comment