Aku mundar-mandir di dalam bilik sambil tangan kanan mencapai kemeja kotak-kotak yang tergantung di belakang pintu sebelum haruman kegemaran aku semburkan ke seluruh badan.
Aku menuju ke almari solek mendapatkan cincin pemberian Azmir namun tiba-tiba tumitku terasa pedih seperti tertusuk objek tirus yang halus.
"Aduh", aku terus terduduk di atas lantai bilikku sambil membelek tumit yang berlumuran darah dengan kening berkerut.
Ada sesuatu menembusi kulitku yang penghujungnya berbentuk jarum peniti tetapi berkilau.
Aku merenung lama objek yang berbentuk jarum peniti itu sebelum perlahan-lahan aku mencabutnya keluar dari tumit.
Nah, ia bukan jarum peniti seperti yang aku sangka kerana mana mungkin jarum peniti panjangnya melebihi sejengkal!
Lama aku membelek objek di tangan sehinggalah ada sesuatu yang terdetik di hati - kenangan dulu!
Macam mana aku boleh terlepas pandang tentang itu tapi persoalannya kenapa ia terbiar di lantai sedangkan sudah aku simpan rapi di dalam kotak perhiasan lama?
Aku bingkas bangun dari duduk dan berjalan ke arah katil dengan langkah terhincut-hincut - merenung lama objek di tangan dengan helaan nafas panjang.
Tidak, aku takkan sesekali membenarkan darah aku mengalir dek luka dari senjata yang aku tusukkan ke jantung Azmir dan merenggut segenap nafas yang dia ada.
***
No comments:
Post a Comment