3 Jun 2015

KARKAS #167: PELANGI SATU WARNA

Secara harfiahnya, tiap kali mata tertancap pada separa bulat di kaki langit selepas ia menangis, perkara biasanya ialah akan terlihat tujuh warna terbias yang indah; menghias tubir di atas itu dengan apa yang diperkatakan sebagai salah satu nikmat ketika bernyawa. Spektrum warna yang bisa membuat siapa-siapa sahaja terdiam melihat agungnya seni Tuhan, artis yang boleh mencanting seni di mana-mana sahaja, meski tiada kanvas untuk dijadikan alas tempat melontar rasa.

Namun, aku adalah antara mereka-mereka yang hanya dapat melihat satu warna sahaja daripada tujuh yang tersedia. Kerana bagi aku, tiada beza antara tujuh yang bersinar sukma, melainkan apa yang diperkatakan sebagai satu jenis 'pengasingan'. Klasifikasi. Merah, begini. Kuning, begini. Hijau, begini. Sedang pada asalnya, semua itu adalah dari satu cahaya putih yang direfraksikan kepada pelbagai warna berbeza. 

Aku melihat ia sebagai warna asalnya; putih. Kerana ia adalah sumber awal -- sumber pertama, tanpa ada beza klasifikasi antara warna berbeza. Dan aku mahu sahaja pergi ke semua orang, dan berbisik; "Pelangi itu hanyalah satu warna yang tidak ada bezanya."

Pada konsepnya, manusia itu sendiri adalah pelangi satu warna. Sebelum ada yang membiaskannya kepada tiap satu yang berbeza.

***

No comments:

Post a Comment