13 Jun 2015

KARKAS #182: SATU PERTANYAAN YANG KUJAWAB PANJANG

Ringkikan kuda membangunkanku, saat mentari sudah agak miring dari garis tegaknya. Sudut punca api setral itu demikian condong hingga membuat bayang kuda tampak lebih agung dari ukuran sebenar.

“Ucap sentosa buat mu, wahai orang tua!” sembari turun seorang pemuda dari kuda dengan suara sedikit menggaung, lalu menyambung, “cakap-cakap di pusat kota mendakwa kau sebagai pendita, katakan kepadaku perihal rahasia kehidupan abadi.”

“Aku yakin kau tidak mampu sabar untuk mendengarkannya,” balasku perlahan, tapi sempurna. 

“Katakan saja orang tua, aku tak punya banyak masa,” ketara keras suaranya serentak melempar satu uncang kain ke tanah. Matanya kurenung lalu kukatakan.

“Di dalam kehidupan, ada dua hal yang wajar kau tantang. Pertama samada kau waras, atau kedua kau gila. Jikalau kau waras, kau selamat. Sebaliknya jika kau gila, ada dua hal yang wajar ditantang. Pertama samada kau gila harta, atau kedua kau gila perempuan. Jikalau kau gila harta, kau selamat. Namun jika kau gila perempuan, ada dua hal yang wajar ditantang. Pertama samada kau mencintai isteri orang, atau kedua kau mencintai gadis sunti. Jikalau kau mencintai isteri orang, kau selamat. Tetapi jika kau mencintai gadis sunti, ada dua hal yang wajar kau tantang. Pertama samada ia sudah hilang keperawanan, atau kedua ia masih suci. Jikalau ia sudah hilang keperawanan, kau selamat. Sebaliknya jika ia masih suci, ada dua hal yang wajar kau tantang. Pertama samada kau mengecewakannya, atau kedua kau menikahinya. Jikalau kau mengecewakannya, kau selamat. Namun jika kau menikahinya, ada dua hal yang wajar kau tantang. Pertama samada kau menikahinya dengan cara kahwin lari, atau kedua kau menikahinya di musim panas. Jikalau kau menikahinya dengan cara kahwin lari, kau selamat. Tetapi jika kau menikahinya di musim panas, ada dua hal yang wajar kau tantang. Pertama samada kau mengadakan perjamuan makan di gurun tandus, atau kedua kau mengadakan perjamuan makan di tengah lautan. Jikalau kau mengadakan perjamuan makan di gurun tandus, kau selamat. Sebaliknya jika kau mengadakan perjamuan makan di tengah lautan, ada dua hal yang wajar kau tantang. Pertama samada kau, mempelai perempuan dan tetamu berenang, atau kedua kau, mempelai perempuan dan tetamu menaiki kapal. Jikalau kau, mempelai perempuan dan tetamu berenang, semuanya selamat. Namun jika ada kau, mempelai perempuan dan tetamu menaiki kapal, ada dua hal yang wajar kau tantang. Pertama samada kau menjadi nakhoda, atau kedua kau menjadi kelasi. Jikalau kau menjadi nakhoda, kau selamat. Tetapi jika kau menjadi kelasi ada dua hal yang wajar kau tantang....”

Pemuda dengan mendadak tertawa, serentak berkata dalam pelat desis seolah mempersenda. “Aneh sekali tuturmu orang tua, apa inti ceritamu sebenarnya?”
“Sudah kukatakan kau tidak akan sabar mendengar pemerihalanku.”

Pemuda lalu memekup mulutnya dengan tangan kiri dan tangan yang satu lagi dipagut-pagut ke udara seolah memberi isyarat akur.

"Baiklah, teruskan dongengmu orang tua!’’

“Jika kau menjadi kelasi, ada dua hal yang wajar kau tantang. Pertama samada kau membuang sauh ke dasar laut, atau kedua kau mengembangkan layar. Jikalau kau membuang sauh, kau selamat. Sebaliknya jika kau mengembangkan layar, ada dua hal yang wajar kau tantang. Pertama samada kau belayar ke barat, atau kedua kau belayar ke timur. Jika kau memilih mata angin barat, kau selamat. Namun jika kau memilih mata angin timur, ada dua hal yang wajar kau tantang. Pertama samada kau berpandukan matahari, atau kedua kau merujuk bintang. Jika kau berpandukan matahari, kau selamat. Tetapi jika kau merujuk bintang, ada dua hal yang wajar kau tantang. Pertama samada kau sendiri mencerap bintang, atau kedua kau meminta budak suruhanmu melakukannya. Jika kau sendiri yang memerhatikan bintang-bintang, kau selamat. Sebaliknya jika budak suruhanmu yang mencerap, ada dua hal yang wajar kau tantang. Pertama samada budak suruhan itu seorang lelaki yang dikembiri, atau kedua ia seorang khunsa. Jika ia lelaki yang dikembiri, kau selamat. Namun jika ia khunsa, ada dua hal yang wajar kau tantang. Pertama samada ia asyik di geladak paling bawah, atau kedua ia lebih banyak membuang waktu di haluan kapal. Jika ia lazim di geladak paling bawah, kau selamat. Tetapi kalau ia terus di haluan kapal, ada dua hal yang wajar kau tantang....”

Aku tidak meneruskan ujaran. Dalam kesenyapan, jemariku cenderung menyelidiki isi uncang yang ‘dihadiahi’ pemuda. Naluri penuh ambiguitiku tak henti menerka, seolah wanita hamil mengusap perut sembari menduga jenis kelamin bayinya ─lelaki, perempuan atau khunsa!

Ringkikan kudanya menggetarkan kebisuan serentak seluruh kumis pemuda ikut bergetar bagaikan memaksa aku lekas membereskan cerita. Aku menanggapi perlakuan kuda dan tuannya itu dengan helaan nafas panjang seolah-olah menjadi lidah yang menasihati agar mereka tidak terburu-buru.

“Ceritalah segera,” pemuda akhirnya tak tertahan lagi.

“Anak muda... jika budak suruhan bahkan diri kau sendiri di haluan kapal, ada dua perihal yang harus kau berkira-kira. Pertama samada kau berubah menjadi gila, atau kedua kau mempercayai rumah api dan kerlipan sinarnya. Jika kau memilih gila, nescaya kau bahagia.”

Pemuda ─tanpa berbicara─ melompat ke pundak binatang tunggangannya, menghentakkan tali yang mengikat leher kuda, hingga ia meringkik keras sambil mengacung kedua kaki depannya, lalu menderap tangkas membelah gurun panas.

***

KARKAS #181: GHAFLAH

Setiap kali menghampiri bulan Julai ia seakan bulan cilaka bagi aku dan kamu. Hujan tidak membasahkan malah akan sentiasa membanjiri kita. Perang dingin di antara dua insan masih berlarutan. Ternyata aku dan kamu lebih senang bertekak tanpa berkesudahan.  

Semalam sahaja aku berpaling pada ukhwah yang terbina.

Kata aku, "Don't worry, nama engko bila Tuhan tanya nanti aku kata aku tak pernah kenal!"  

Lambaian terakhir itu bakal aku genggam. Sungguh hati itu sudah mati pada butiran ghaflah yang sering kita laungkan.

*** 

KARKAS #180: HELLO KITTY

"Pergi! Pergi! Bawak benda tu pergi jauh dari aku!" Fatin terjerit-jerit macam kena histeria sebaik melihat patung Hello Kitty yang dibawa oleh sepupunya yang baru berusia lapan tahun. 

Matanya memerah dan terbuka besar seolah-olah melihat sesuatu yang menakutkan. Dia terjelepok di tepi dinding sambil menarik-narik rambutnya sendiri. 

"Aku kata pergi!!!" Jeritnya lebih kuat seraya melihat budak kecil itu masih berdiri kaku memandangnya.

"Fatin? Kenapa terjerit-jerit ni?" Emak Fatin dan makciknya datang sebaik mendengar jeritan Fatin.

Fatin menunjuk ke arah Hello Kitty di tangan Sara, sepupunya. 

"Dulu Fatin suka sangat dengan Hello Kitty, katanya dia geram dengan anak patung yang ada reben kat telinga, comel sangat!" Emak Fatin tersenyum saat mengimbau kembali kenangan lama Fatin sewaktu kanak-kanak.

"Entah di mana silapnya, satu hari Fatin meracau-racau dalam tidur, bila dia bangun dia terus tak mahu tengok patung tu lagi sampai sekarang. Kalau dia nampak dia akan jadi macam tadilah." Keluhan berat keluar dari mulut emak Fatin.

"Kakak, Kitty kata dia nak main dengan kakak, dia rindu kakak." kata Sara sambil mengunjukkan Hello Kitty di tangannya ke muka Fatin.

Kitty itu sedang tersenyum lebar dengan mata yang merah. "Hai Fatin...." Patung itu berkata-kata dalam hilaian yang panjang.

Fatin menjerit ketakutan. 

***

KARKAS #179: SAMA RATA

"Anis, jangan pergi. Ini bukan cara terbaik lagi pun buang masa je kau ikut benda ni semua." Aku meninggikan sedikit suara dengan harapan Anis akan takut lalu membatalkan niat untuk menyertai satu perhimpunan yang menuntut hak kesama-rataan antara lelaki dan perempuan. Jangkaan aku meleset, Anis tetap pergi sambil melemparkan kata yang agak kasar. 

"Lelaki pengecut seperti kau hanya layak duduk di rumah dan main bola kocek!" Semua mata yang ada di situ memandang  aku, aku hanya mampu tunduk dan berlalu dari situ. "Inilah perempuan hilang akalnya yang satu, dikuasai oleh sembilan nafsu." Omel aku sendiri.

Bagai nak gugur jantungku, apabila mendapat berita bahawa telah berlaku satu pergaduhan antara pihak polis dengan pendemonstrasi dan polis juga telah menahan beberapa orang peserta yang berperangai keterlauan. Pantas aku mencapai telefon dan mendail nombor Anis berulangkali. Aku hampa. Hampir setengah jam aku mundar-mandir di ruang tamu sambil memikirkan Anis, sembilan akal aku buntu.

"Ida!" Tiba-tiba nama gadis Dusan itu terkeluar dari mulutku. 

Laju tanganku meraba-raba semua kocek yang ada. Tak sempat aku mengesan kedudukannya, telefon aku memekik. "Zam, Anis kena tahan dengan polis. Dia di Balai Polis Bangi sekarang. Polis tak benarkan kami jumpa dia. Kau datanglah ke sini." Pantang diseru, dia pasti muncul. Terima kasih Ida.

Aku bergegas ke IGP Bangi, sambil memandu otak aku ligat mencongak jumlah duit dalam simpanan manalah tahu kalau-kalau Anis boleh diikat jamin, bolehlah aku bayarkan dahulu.

Setiba di IPG Bangi, aku lihat ada sekumpulan anak muda telah mendirikan  perkampungan di situ. "Boleh tahan juga semangat setia-kawan budak-budak  perhimpunan ni. Ini baru betul kawan." Omel  aku sendiri. Keluar dari kereta, mata aku liar mencari Ida. Tubuhnya yang kecil menyukarkan pencarian aku. Aku cuba  menghubunginya, tetapi gagal. 

"Zam! Sinilah!!!" Satu pekikkan kuat  dari sebatang pohon rendang kedengaran. Mata aku halakan ke sana dan aku nampak Ida sedang melambai-lambai. Aku berlari anak untuk menemui Ida.

"Jom, kita sembang kat warung tu, boleh minum sekali. Aku nampak kau letih semacam ni." 

Tanpa membantah Ida membontoti aku. Melihat wajahnya, aku yakin Ida masih belum makan dan sangat kehausan. Jika aku terus serbu dia dengan pelbagai persoalan pasti dia serabut. Jadi, untuk meredakan keadaan, baik minum dulu.

Usai menjamah aku memulakan sesi soal siasat, "Ida, cerita dengan aku macam mana  Anis boleh kena cekup? Aku minta kau jaga diakan tadi?" Ida diam. 

"Maaf Zam, aku gagal jaga Anis. Tadi ada arahan minta kami semua bergerak ke Dataran Merdeka, tapi kami dihalang Polis dan PRU. Anis minta agar pagar itu dibuka  tapi Polis tu buat tak layan. Tiba-tiba ada suara menjerit dengan kuat suruh kami rempuh. Anis pun rempuhlah. Berlaku tolak-menolak dan kat situ aku terpisah dengan Anis. Polis pula sembur pemedih mata, aku pun larilah. Tahu-tahu je Anis dah kat balai." 

Cerita Ida bukan sahaja didengari aku malah  seisi warung turut memberikan seratus peratus tumpuan kepada Ida. Ida ni, kalau dapat bercerita penuh dengan gaya. Maklumlah juara bercerita peringkat Sabah 5 tahun berturut-turut. Ida memandang sekeliling, mukanya merah padam menahan malu, aku gelak besar. 

Untuk memastikan keadaan Anis, aku sendiri menyamar menjadi sepupu dan berbincang  dengan pegawai polis di situ. "Kesalahan dia agak serius, dia menyerang anggota kami. Kami akan tahan dia untuk beberapa hari bagi tujuan siasatan tapi jika dia turut sama dalam  menghasut dan merancang perhimpunan itu maka hukuman yang berat akan dikenalkan." 

Aku angguk tanda faham. "Soal pengajiannya, itu luar bidang  kuasa saya. Mungkin awak boleh rujuk di universiti  tempat dia belajar." Sambung  Pegawai Polis  dengan begitu  jelas. 

"Terima  kasih, Tuan. Kalau macam tu saya beredar dulu." Aku bangun seraya menghulurkan tangan untuk bersalam. 

"Seronok duduk dalam lokap?" Perli aku. Anis memandang tajam ke arahku. Dapat  aku rasakan ledakan amarah yang  mendidih  melalui pandangan matanya. Anis telah dibebaskan selepas tiga hari ditahan. Siasatan mendapati tindakan Anis itu adalah  perbuatan tidak sengaja dan di bawah minda  sedar. Anis dihukum membuat kerja-kerja sosial sahaja. Bagi mengurangkan  kemarahan Anis, aku menghulurkan milo ais kegemarannya. 

"Sorry, nah minum ni. Anis, apa sebenarnya yang kau tuntut? Kesama-rataan apa lagi yang wanita nak? Aku tak fahamlah  dengan kaum perempuan sekarang." Anis diam, soalanku tidak dijawab malah dia mahu beredar. Aku menarik tangannya dan memberi isyarat supaya Anis duduk kembali.

"Sekarang  aku nak kau dengar cakap aku baik-baik. Setiap makhluk itu diciptakan dengan cukup sempurna tiada cacat celanya jika dia tahu fungsi dia dilahirkan. Apa lagi perempuan mahu, dilahirkan dengan naluri  keibuan, disebut sebanyak 3 kali di dalam Al-quran supaya hormati ibu dahulu baru  bapa,  boleh mengandung dan melahirkan serta mudah masuk syurga... Kenapa kau taknak  kejar ini? Tapi sibuk nak tuntut hak kat dunia." Anis membatu. Kelihatan nafasnya laju. Aku sudah mengganggu harimau yang cedera, silap  hari bulan mungkin ini pertemuan  terakhir kami.

"Anis, awak tahu tak bagaimana seorang  lelaki itu boleh berjaya, sebab adanya perempuan yang menjaganya. Sentuhan dan didikan seorang perempuan itu mampu mencorak seorang pemimpin negara yang sangat disegani. Nampak tak kuasa  perempuan itu. Negara kita tak pernah sekat perempuan nak bekerjaya atau memegang  jawatan tinggi cuma kita wujudkan kebatasan supaya perempuan itu tidak lupa tanggungjawab untuk melahirkan lebih ramai  lagi generasi yang berjaya dan elok akhlaknya. Iya, aku tak nafikan ada juga perempuan yang teraniaya tapi kita tak buat bodoh kan? Pihak berwajib tetap membantu dan memberikan  mereka ruang  untuk  hidup  seperti biasa."

"Aku nak balik!!!" Nada suara Anis sedikit menjerit. 

"Anis, bagi aku mudah saja, kejayaan  seorang perempuan itu terbukti apabila dia berjaya menjalankan dua  tugas ini dengan baik, menjadi seorang isteri dan ibu yang sempurna buat keluarganya." Anis memekup  kedua telinganya dan berlari meninggalkan aku dan aku sekadar mengejarnya dengan pandangan sahaja.

Hari ini sudah masuk seminggu, Anis membisukan aku. Panggilan tidak dijawab, mesej tidak dibalas dan paling mengejutkan rumah sewanya turut bermangga. "Barangkali  Anis pergi bercuti." Kata hatiku. Selang beberapa minit, telefon aku menjerit. Tertera nama Anis di skrin, dengan pantas aku menekan punat hijau. 

"Zam, aku kat kampung ni. Pihak Universiti gantung aku satu semester. Jadi aku  balik kampung ni nak 'clear'kan cerita dengan keluarga aku. Alhamdulillah depa boleh terima. Zam terima kasih sebab sedarkan aku." Nada sayu di hujung perbualan itu benar-benar mendebarkan hatiku. 

"Baguslah kau okey, risau aku bila kau diam saja." Balas aku. "Eloklah kalau kau dah faham apa yang aku katakan, jadi bila kau nak sandang dua jawatan tu?" Aku mencuba  nasib. 

"Jawatan apa?" Anis kebingunggan. "Jawatan paling istimewa dan mulia, jadi isteri  dan ibu kepada anak-anak kita." Anis berdekah ketawa, soalan aku dibiarkan mati lantas dia menukar  topik perbualan. Aku menepuk dahi; dalam hati menjerit mengatakan...

"Aku sayang kau, Anis."

***

KARKAS #178: KOMIK

Komik itu dihempas ke lantai. Hatinya mendidih. Mana mungkin komik sebagus ini dikritik hebat dan ditolak. Ah! Dia lempar dan memijak komik tersebut berulang kali demi melepaskan kemarahannya.

“Sakitlah bodoh! Cuba kalau aku pijak kau pulak!” Jemi terkejut.

“Siapa? Siapa?!” Jemi menjerit-jerit.

“Akulah.” Satu tepukan hinggap di bahunya. Jemi terduduk dan menggigil ketakutan.

“Sakit tahu tak.” Karakter di hadapannya mengeliat.

“Kau... Kau... Akil?”

“Yelah, akulah.” Lelaki itu mencangkung di hadapan Jemi. Hampir bertemu wajah mereka. Peluh jantan mengalir deras. Ini ketakutan dari neraka.

“Kau buat cerita macam sampah lepas tu kau nak penerbit terima komik kau. Aku pun malu jadi Akil dalam komik kau tu. Terus jadi lelaki yang tak ada maruah!” Lelaki itu memeluk tubuh. Jemi naik angin.

“Kau patutnya sokong aku! Aku yang buat kau! Aku lukis kau kacak-kacak lepas tu kau kutuk aku!”

“Rupa hensem kalau bodoh, tak guna kau tahu tak. Ada ke lepas selamatkan nenek tua tu, aku kau kahwinkan dengan nenek tu, sebab harta pulak tu. Dapat kereta idaman, rumah banglo, happy-ending kejadahnya.” Jemi hilang sabar dan melepaskan penumbuknya. Bibir lelaki itu berdarah.

“Tengok, kau buat aku lelaki lembik. Dah! Sini kau, biar aku yang buat komik!”

***

“Wah baguslah kau ni, Akil. Cerita macam real jek. Mana kau dapat jalan cerita macam ni?” Ujar Nani membelek komik Akil.

“Daripada cerita sebenarlah.” Ujar Akil bangga. Kedengaran tawa Nani memecah suasana.

“Kenapa? Kau tak percaya?” Akil merapatkan wajahnya ke wajah Nani.

“Memang pun aku keluar dari komik tu lepas si bodoh tu pijak-pijak aku. Memang pun aku yang sumbat komik bodoh tu dalam mulut Jemi sampai dia mati tercekik.” Ujar Akil separuh berbisik.

“Aku bukan manusia, Nani. Aku cuma karakter.” Akil ketawa dan berlalu pergi. Nani pula, lekas-lekas dia melempar jauh komik di tangannya.

*** 

KARKAS #177: NOTA

"Hai."
Dia senyum segaris. Macam tak sudi nak berbual.

"Lama kan kita tak jumpa?"
"Kita memang dah tak berjumpa sejak habis sekolah, lupa?"

Aku senyum. "Ya, mana pernah lupa. Kaulah terus hilang macam tu je."

"Heh!"

"Kau buat apa lepas sekolah?"

"Aku stay kat rumah uncle, kerja. Setahun lepas tu aku sambung belajar."

"Memang tak aktif kat Myspace, Friendster? Ingat tak zaman tu kita tak pakai Facebook lagi." Aku ketawa kecil.

Dia angguk sambil senyum. Mula nampak selesa nak berbual. 

"Tak."

"Kenapa?" 

"Tak ada sebab...."
"Dah lama aku cari kau."

Dia pandang aku. Lama.

"Kenapa cari aku? Kau lupa apa perjanjian kita?" Soalnya.

"Perjanjian?" Aku kerut kening.

Dia pandang aku lebih lama. Aku balas dengan pandangan tak faham maksud kata-katanya.

"Kau masih simpan ke buku nota sains kau?" Soalnya.

"Tak, dah bu.... Er, tak pasti pulak kalau masih ada dalam stor. Kenapa?" 

"Kau tak pernah baca nota kat mukasurat terakhir buku tu?"

"Err... Tak."

Dia senyum lebar. "Teja, aku rindu kau. Sangat!" Katanya.

Aku senyum sedang dalam fikiran terfikir-fikir di mana aku simpan buku nota sains tingkatan lima dahulu. Apa nota yang Ariff tinggalkan?

***

6 Jun 2015

KARKAS #176: LANTAI

Aku mundar-mandir di dalam bilik sambil tangan kanan mencapai kemeja kotak-kotak yang tergantung di belakang pintu sebelum haruman kegemaran aku semburkan ke seluruh badan.

Aku menuju ke almari solek mendapatkan cincin pemberian Azmir namun tiba-tiba tumitku terasa pedih seperti tertusuk objek tirus yang halus.

"Aduh", aku terus terduduk di atas lantai bilikku sambil membelek tumit yang berlumuran darah dengan kening berkerut.

Ada sesuatu menembusi kulitku yang penghujungnya berbentuk jarum peniti tetapi berkilau.

Aku merenung lama objek yang berbentuk jarum peniti itu sebelum perlahan-lahan aku mencabutnya keluar dari tumit.

Nah, ia bukan jarum peniti seperti yang aku sangka kerana mana mungkin jarum peniti panjangnya melebihi sejengkal!

Lama aku membelek objek di tangan sehinggalah ada sesuatu yang terdetik di hati - kenangan dulu!

Macam mana aku boleh terlepas pandang tentang itu tapi persoalannya kenapa ia terbiar di lantai sedangkan sudah aku simpan rapi di dalam kotak perhiasan lama?

Aku bingkas bangun dari duduk dan berjalan ke arah katil dengan langkah terhincut-hincut - merenung lama objek di tangan dengan helaan nafas panjang.

Tidak, aku takkan sesekali membenarkan darah aku mengalir dek luka dari senjata yang aku tusukkan ke jantung Azmir dan merenggut segenap nafas yang dia ada.

***

KARKAS #175: BUNGA

Gigitan tikus semakin berkudis. Kelopak ku gugur bertaburan.

"Ah, warna apa ni?" Sapa ku setelah meraba.

Ada tikus mencicip lagi. Perlahan aku rasakan perih. Jadi benarlah peri alam. Tidak selamanya kita hidup.

"Tanah dan tikus, kau...."

Esoknya, tikus senang lenang.

***

5 Jun 2015

KARKAS #174: HANYUT

Senja itu Ali pulang dalam keadaan keletihan. Kerja-kerja di pejabat yang tak pernah habis amat memenatkan. Namun hanya itu punca rezekinya. Dia akur. Lagipun kalau bukan dia berhempas pula untuk keluarganya, siapa lagi.

Pintu rumah diketuk berkali-kali. Senyuman tak lekang dari wajah. Kerinduan terhadap isterinya sudah menggunung rasabya. Namun tiada yang membuka pintu. Hairan. Mana Suraya? Ali berlari ke belakang rumah. Mana tahu isterinya sedang menyiapkan makan malam. Tapi ruang dapurnya gelap tanda tiada sesiapa di situ. 

Pintu dapur ditolak dari luar. Tak berkunci. Suis lampu dihidupkan. Serta merta ruang dapur itu menjadi cerah. Kelibat isterinya tiada juga di situ. Kaki diatur menuju ke ruang depan. Mungkin isterinya sedang menonton drama kegemarannya. Namun skrin TV juga gelap gelita. Kipas siling tak berpusing. Kusyen pula elok saja tersusun. Tanda-tanda tiada sesiapa yang menghuni ruang itu sebelum kepulangannya.

Ali meraup wajahnya berkali-kali. Ke mana Suraya pergi? Kenapa tak diberitahu padanya? Ah, mungkin di bilik! Bilik tidur dituju. Sebaik sahaja pintu bilik dibuka, hidungnya terbau haruman yang selalu dipakai oleh Suraya. Matanya melingas ke seluruh bilik. Tapi suasana bilik yang suram itu menghairankan Ali. Sudah dicari satu rumah namun langsung tiada kelibat isterinya. Di sini juga tiada. Tapi dari tadi telinganya seolah-olah terdengar suara isterinya memanggilnya.

"Ali, hang dah balik ke? Ni Mak Timah ada masakkan lauk untuk makan malam kamu. Ke mana kamu tadi? Mak Timah datang tengah hari tak ada orang pun?" Mak Timah jiran Ali datang membawa makan malam untuknya. Pintu rumah dibuka dari luar sebaik sahaja mendengar suara Ali menjawab salam.

"Kerja Mak Timah. Ni Mak Timah ada nampak isteri saya tak? Puas saya cari satu rumah. Tapi tak ada. Saya penat Mak Timah." Luah Ali sambil meletakkan punggung ke atas kusyen. Sambil bersandar, matanya dipejamkan. Terbayang-bayang senyuman manis isterinya. 

Mangkuk berisi sup diletakkan di atas meja kopi. Air mata yang mengalir diseka. Kasihan. Hati Mak Timah berkata sendiri.

"Sudah-sudahlah Ali. Suraya dah tiga bulan pergi. Meninggal waktu lahirkan Adam. Kamu dah lupa? Jangan terus hanyut begini." Nasihat Mak Timah. Rawan hatinya tengok Ali begini. Baginya Ali dan Suraya sudah seperti anaknya sendiri sementelah sudah hampir dua tahun mereka suami isteri berjiran dengannya.

Dan setiap hari, Ali akan begini. Dirasakan seolah-olah dia baru pulang dari kerja dan Suraya akan menyambutnya di muka pintu rumah.Dan setiap hari jugalah soalan yang sama diajukan. Ke mana Suraya?

"Saya belum puas hidup dengan dia Mak Timah. Kenapa dia tinggalkan saya?"rintih Ali dengan matanya yang masih terpejam. Rindu.

***

KARKAS #173: ANAK PATUNG

Dia memeluk erat anak patung comel miliknya. Seminggu lepas, suaminya pergi meninggalkan dia selamanya. Cuma anak patung itu, pemberian istimewa suaminya yang tinggal. Dia menjaga anak patung itu penuh perhatian.

Sudah tiga hari jiran-jiran tidak melihat dia, rumahnya sunyi. Sebelum ini, rumahnya agak riuh. Sentiasa saja kedengaran jerit tangis di situ. Ada bisik-bisik mengatakan dia telah pulang ke rumah ibunya di kampung.

Anak patung itu pernah diperlakukan dengan kasar. Adakalanya dihempas ke lantai, ditepuk tampar malah pernah dipijak-pijak gara-gara dia masih tidak mampu menerima hakikat kehilangan suaminya. Namun bila dia sedar, cepat-cepat anak patung itu dibelai dan dipujuk penuh kelembutan.

----

Riuh di taman perumahan itu bila polis menahan seorang ibu muda tersenyum sendirian memangku mayat seorang bayi--punyai kesan lebam dan hentakan--duduk di buaian depan rumah.

"Ini anak patung saya."

***

KARKAS #172: MULUT

"Macam mana boleh jadi macam ni Jah?" Tanya Ani ingin tahu selepas melihat keadaan Jah yang makin teruk.


"Tak tahu nak cakap, puas aku fikirkan puncanya." Jawab Jah perlahan sambil tangannya ligat mengupas mempelam.



"Jah, entah-entah... Ada orang nak dajal kau, manalah tahu. Musuh ni memang kita tak cari tapi datang sendiri."



Jah tersentak, tangannya perlahan mengelap lelehan yang turun dari mulutnya. Jika ditatap lelehan itu pasti menimbulkan rasa loya.



"Aku ada terfikir juga, tapi apa dosa aku. Aku tak campur hal orang." Jah melemparkan wajah kesal.



"Asalnya, aku guna satu produk ni lepas tu kelilling mulut aku gatal. Tak sampai seminggu luka abis mulut aku." Terang Jah.



"Takpe laa, sabarlah Jah." Ani mengurut belakang Jah.



"Eh, kau tahu Ani, anak si Timah tu udah mengandung. Aku bukan nak mengata tapi setahu aku dia tu belum kahwin.."Jah mula membuka gelanggang gosip di bawah pohon rendang sambil ditiup angin petang.



Dalam ketidaksedaran Jah sedang menerima balasan Tuhan atas kepetahan mulutnya.



***

KARKAS #171: PELURU EMAS

Bertemankan nyamuk, aku masih setia di dalam semak samun menanti jawapan kepada masalah yang melanda. Aku terpaksa abaikan masak lemak cili padi yang terhidang semata-mata mencari bukti.

Dua orang lelaki di sebalik pondok bercakap sesuatu yang butir bicara tak jelas di telingaku.

Aku mengatur langkah menghampiri pondok itu, sengaja aku rapatkan telingaku ke dinding agar butir bicaran mereka dapat aku tangkap. Senapang patah aku pegang erat, risau jika ada perkara tak terduga.

"Berapa lama kita nak simpan dia ni?" Soal suara garau.

"Sampai kita dapat apa yang kita naklah!" Balas suara yang lain agak meninggi nadanya. 

Aku intai dari celah-celah dinding, tapi kabur je yang aku nampak. Dada aku berombak, beribu persoalan muncul. Pantas kocek seluar aku raba, peluru tinggal dua butir. Jika tembakan tersasar, mungkin aku yang mati.

Peluru aku masukkan dalam senapang, tangan di picu, perlahan aku menapak ke muka pintu pondok sambil mengacukan mulut senapang ke muka pintu. Daun pintu aku kuak, terbuntang mataku melihat longgok pakaian di lantai.

Lelaki-lelaki itu panik melihat aku muncul dengan senapang patah di tangan.

"Siapa kau?" tanya salah seorang dari mereka.

"Jangan tanya aku siapa, persoalannya apa yang korang buat dengan baju ni, patutlah orang kampung mengadu banyak hilang pakai diampaian."

"Err.." mereka berpandangan sesama sendiri,

Kurang berpuas hati dengan jawapan itu, aku tanpa teragak-agak mengacukan senapang tepat ke muka mereka. 

PANG! 

"Lain kali, kalau nak tidur basuh kaki dulu. Dah lah mengigau lepas tu pijak perut aku pula." Aku terpinga-pinga, tampar abang buat aku berjaga sepanjang malam.

***

3 Jun 2015

KARKAS #170: NOTA

“Abang langsung tak pernah romantik. Macam kayu. Layan saya tah apa-apa!” Bentak Milah.

‘Dalam peti sejuk ni, buah-buahan kurang. Sayang perlukan buah untuk kekal sihat. Sayang nanti pergi ke kotak peti surat depan rumah.'

“Tolonglah abang. Dah 3 hari macam ni. Saya tak rasa yang abang wujud pun kat dalam rumah ni.”

‘Ambil duit yang abang kepilkan ni. Pergi ke kedai buah di hujung jalan ya Sayang.’

“Akak, apa lagi nota arwah suami akak tu tulis?” Pekedai teresak-esak kesedihan.

“Banyak sangat baca P/S I LOVE YOU. Malaikat tanya lain jawab lain agaknya.” 

***

KARKAS #169: LENA

"Balik kampung, mak nazak."

Kelmarin mak selamat dikebumikan, orang ramai cakap mak pergi mudah, dalam tidur. Aku lega sebab aku dah bantu mak mudahkan perjalanan dia, bantal yang aku buat tutup muka mak semalam aku simpan buat hilang rindu pada mak.

***

KARKAS #168: BALDU BIRU

Atap usang di pondok itu meniupkan halwa geselan bingit, setiap kali tibanya musim tengkujuh.

Lantai rumah kebasahan akibat lubang-lubang di bumbung yg bocor

Di celah-celah lubang atap, dia sering merasakan ada mata-mata yang memerhatinya—sejurus dia mula mahu memulakan kerja-kerja menjahit.

Bunyi bising mesin jahit  tak mampu memadamkan rasa tak enak di hati

"Ah! Bodoh..." Jari manis Marionette berdarah, tercucuk jarum dek paluan perasaan yang memikirkan jasad yang samar-samar di atas atap.

Habis baldu biru itu terkena tompokan darah, walau apapun terjadi, baldu biru ini harus segera dijahit.

TAK! 
TAK!! 
TAK!!!

Ada bunyi ketukan yang semakin kuat datangnya dari arah pintu pondok, lantas Marionette mengibas-ngibaskan baldu biru di atas mesin jahit.

Hati marionette kegelisahan. "Dia dah datang ke?" marionette menghabiskan saki baki kerja yang belum selesai.

Bombik akhirnya muncul di pintu pondok dan sebagai seekor ulat sutera gergasi, dia mahukan baldu itu dipulangkan segera.

Mujur saja saat Bombik muncul, persalinan pernikahan Bombik sudah Marionette siapkan. Dia menarik nafas lega lantas menyerahkan kain baldu biru itu kepada Bombik.

***

KARKAS #167: PELANGI SATU WARNA

Secara harfiahnya, tiap kali mata tertancap pada separa bulat di kaki langit selepas ia menangis, perkara biasanya ialah akan terlihat tujuh warna terbias yang indah; menghias tubir di atas itu dengan apa yang diperkatakan sebagai salah satu nikmat ketika bernyawa. Spektrum warna yang bisa membuat siapa-siapa sahaja terdiam melihat agungnya seni Tuhan, artis yang boleh mencanting seni di mana-mana sahaja, meski tiada kanvas untuk dijadikan alas tempat melontar rasa.

Namun, aku adalah antara mereka-mereka yang hanya dapat melihat satu warna sahaja daripada tujuh yang tersedia. Kerana bagi aku, tiada beza antara tujuh yang bersinar sukma, melainkan apa yang diperkatakan sebagai satu jenis 'pengasingan'. Klasifikasi. Merah, begini. Kuning, begini. Hijau, begini. Sedang pada asalnya, semua itu adalah dari satu cahaya putih yang direfraksikan kepada pelbagai warna berbeza. 

Aku melihat ia sebagai warna asalnya; putih. Kerana ia adalah sumber awal -- sumber pertama, tanpa ada beza klasifikasi antara warna berbeza. Dan aku mahu sahaja pergi ke semua orang, dan berbisik; "Pelangi itu hanyalah satu warna yang tidak ada bezanya."

Pada konsepnya, manusia itu sendiri adalah pelangi satu warna. Sebelum ada yang membiaskannya kepada tiap satu yang berbeza.

***

KARKAS #166: TALIAN HAYAT CINTA

Derasnya kemarahan Eva tak sederas pecutan keretanya. Tiupan angin subuh memecut lebih laju daripada trafik di atas jalan raya. Cekang kemarahan Eva bukanlah pada kelajuan kereta-kereta yang menyiput, dia meledak dek dikasari suara pemyampai radio yang memilih topik 'bekas kekasih' untuk segmen pagi. Senyum dan tawanya bersilih ganti. Matanya sering menjegil ke arah radio setiap kali perkataan 'bekas' itu ditutur si DJ. Jika Eva diberikan pisau, nescaya ditorehnya roman bekas kekasih yang satu lagi—selumat mungkin. 

Namun, talian hayat cinta Eva tidak kekal. 

Setibanya di selekoh paling tajam, kereta Eva dilanggar kuat dari arah hadapan. Eva tercampak keluar dari jendela pemandu serentak dilenyek lori kontena. Otak, jantung, hati; menyembur di atas jalan, kemerah-merahan. Lori kontena tenang bergerak terus. Sebagai pemandu lori, Digta menyanyi kegembiraan bertemankan alunan lagu di radio. Tiada yang lebih ceria pada pagi itu, seceria melihat bekas kekasih sendiri, dilenyapkan nyawa oleh tayar-tayar lorinya yang lebih memahami akan perasaan Digta. 

Bunyian hon yang bergelegak di stesen minyak tidak dipedulikan Digta. Lori kontena diletakkan betul-betul di bahu jalan tanpa meninggalkan sedikit ruang bagi kereta lain yang mahu lolos. Sedang asyik dia membasuh muka di sinki tandas, ada derapan kaki gadis seolah mendekati. 'Kasut tumit tinggi'. Ah, itu pasti seorang gadis genit yang pundi kencingnya telah penuh. Gadis itu membuka paip di sinki sebelah. Mahu sahaja Digta bermain ayat cinta di dalam tandas. 

Namun, talian hayat cinta Digta tidak kekal. 

Belum sempat Digta menoleh hendak mengamati wajah wanita di sisi, penglihatannya terus kabur. Bibirnya terasa dikoyak-koyak. Biji matanya dikorek sedalamnya. Jeritan Digta ditenggelamkan bunyi hon membingit di luar tandas. Kasut tumit tinggi yang berdarah itu, dilalukan air dan ditonyoh bersih dengan tisu. Sofi memakai kasutnya semula dan memandang wajah sendiri di cermin sinki. Ya, dia puas, dan masih genit. Bekas kekasihnya kini lenyap untuk selama-lamanya.

Sofi melangkah perlahan ke luar tandas agar tidak terpijak tompokan darah dan bebola mata jijik di lantai. Beberapa jam lagi pertunjukkan fesyen akan bermula, Sofi perlu memastikan dia masih memegang takhta model tercantik kota. 

"Mana baju I?" Tanya Sofi kepada penjaga baju di belakang pentas lantas diberikan baju gaun berbulu biru. 

"Bodoh! Baju ni nampak macam aku jahat sangat! Tak ada baju yang nampakkan aku gadis pecinta yang baik ke? Tolol!" 

Dengan mulut terkumat-kamit penuh makian sambil memakai barut ketat, dia mencari-mencari pin kecil di atas meja solek. Tidak semena, ada pembantu yang datang mendakap pinggangnya dari arah belakang. 

Namun, talian hayat cinta Sofi tidak kekal.  

"Cukup ketat ke barut ni Cik Sofi?" Pembantu itu menarik barut sekuat hati lantas tangannya menutup mulut Sofi yang terkial-kial menjerit sepi. Ukuran barut di perut Sofi disentak hingga sebesar saiz lehernya. Ronta Sofi semakin sunyi—kepalanya terlentok ke kerusi. 

Air liur Sofi di jari-jemari Radir dikesat dengan tuala kecilnya. Radir menanggalkan barut perlahan-lahan, lantas kesan lebam kebiruan membengkak terlihat di bahagian perut bekas kekasihnya itu. Radir menyalakan sebatang rokok lalu meninggalkan bilik persalinan di belakang pentas dengan langkahan pantas. 

Radir duduk di tepi hiasan bingkai berkaca di penjuru kafe. Usai memesan minuman, dia merapatkan kerusinya ke meja. Kafe mewah ini menyediakan logam-logam berkilat, sehebat harga santapan di menunya. Sudu besar, sudu teh, garfu besar, garfu ikan, pisau pemotong, dan pinggan kecil; semuanya berkilat—menjadi perhiasan elit di atas meja. Pilihan hati Radir adalah sudu teh. Dia menggenggam sudu teh kerana firasatnya logam ini yang paling tumpul, jadi hatinya tidak terlalu sakit.

Genggaman sudu teh diangkat separas dada, kemudian ditikam-tikam dadanya di bahagian hati, berkali-kali. Darah memancut perlahan membasahkan kemejanya. Nafasnya tercungap, dan... Dia belum mati. Ditikamnya lagi sederas mungkin. Kali ini tikamannya berselang-seli dengan torehan. Dia terbatuk-batuk menyemburkan kahak berdarah, dan... Dia masih belum mati. 

Sudu teh yang berlumat darah diletakkan semula di atas meja. Dia menyandar keletihan dan dicapainya pisau pemotong seraya melafaz tenang. "Eva, terima kasih."

Talian hayat cintanya, kekal.

***

KARKAS #165: LEGA

Sejak ada budak perempuan baru kerja kat stesen minyak Shell tepi jalan besar itu, Leman makin rajin pergi isi minyak kat situ. Setiap kali dia cuma isi rm10. Selang masa dua atau tiga hari sekali dia akan mengisi minyak semula.

Budak perempuan berkulit cerah itu suka pandang Leman atas bawah bila Leman nak bayar duit kat kaunter, tapi Leman tak peduli dengan pandangan dia tu, Leman balas je balik dengan kenyitan mata terus budak perempuan tu berhenti pandang Leman atas bawah, dia pandang duit baki yang perlu dipulangkan saja.

"Heh!" Leman sengih nakal.

Dua hari kemudian, Leman datang lagi. Kali ini dengan kawan-kawannya. Budak perempuan itu tersipu-sipu malu bila Leman memandang ke arahnya sambil berjalan ke kaunter. Habis membayar duit, mengambil duit baki dan mengenyitkan mata pada budak perempuan itu, Leman kembali ke kereta. Pian sedang mengisi tangki minyak, Opie sedang bermain candy crush game dan Leman sedang termenung sambil gigit jari. Ada sesuatu yang difikirkannya.

"Weh, aku tak tahan ar..." kata Leman bila Pian masuk kereta.

Opie dan Pian serentak memandang Leman.

"Tak tahan apa kau ni?" Soal Pian.

"Nak kencing pergilah cepat, nak gerak dah ni" kata Opie, kembali bermain game.

"Ishh... aku tak tahan dah ni!" Makin kuat Leman gigit jari. Muka Leman macam orang tak senang duduk.

"Tak tahan, tak tahan! Tu tandas kat belakang tu." Jerkah Pian

"Arghh.. aku tak tahan!" Leman terus keluar dari kereta, dia berjalan pantas ke kaunter, matanya memandang tepat ke muka budak perempuan itu yang sedang tersipu-sipu sambil memandang ke tempat lain.

Leman tak tahan. Dia memang dah tak boleh tahan nak cakap kat perempuan tu yang...

"Awak cantik!"

Terkebil-kebil budak perempuan tu dibuatnya.

"Fuhh.. lega." 

Leman terus masuk kereta, hidupkan enjin dan pergi. Dua hari kemudian dia pasti akan datang lagi.

***