15 Mar 2016

KARKAS #247: ANGKA PEMBUNUH

Rokok terakhir itu aku sedut semahu-mahunya dan hembus ke muka ibu. Puas hati aku apabila menatap wajah ibu yang sudah tidak bermaya, dan tidak bernyawa. Biarlah orang kata aku gila kerana membunuh ibu kandung sendiri. Mereka tidak tahu apa aku rasa selama ini. Sakit hati aku setiap kali melihat ibu yang masih bernafas. Dadaku bagaikan ada sahaja benda yang mencucuk-cucuk setiap kali melihat senyuman ibu. Jiwaku terasa bagai dikoyak-koyak dan dipijak-pijak apabila terdengar suara ibu menyebut mesra namaku.

Aku bukanlah seorang anak yang derhaka pada fitrahnya. Aku asalnya seorang anak yang patuh dan taat tetapi disebabkan ibu sendiri, aku jadi tak tahan. Aku jadi sangat meluat. Aku tidak boleh melihat bayang ibu di mana-mana. Mungkin ada syaitan yang menghasutku setiap kali melihat ibu, atau mungkin ibulah syaitan itu. Persetankan saja semua itu, yang pasti selepas ini tiada lagi wajah ibu, atau suara ibu, atau bayang ibu di mana-mana. Ibu sudah mati.

***

Aku mencapai kertas peperiksaan subjek matematik tambahanku tanpa riak muka yang teruja. Keputusanku tidak berubah, masih lagi seratus peratus. Pelajar kelasku masing masing sibuk bertanyakan markah orang lain sambil malu-malu tidak mahu mengaku markah mereka. Tetapi, tidak pula pada aku, semua sudah tahu dan boleh agak markahku kerana kata mereka aku ini genius matematik.

Entah apa yang perlu dibanggakan sangat tentang aku yang genius matematik ini sedangkan subjek yang paling aku tidak minat ialah matematik. Lebih tepat lagi, aku benci pada angka. Aku cuma berjaya menjawab semuanya dengan sempurna kerana aku mahu cepat habis. Aku malas mahu hadap semua nombor-nombor itu dalam masa beberapa jam. Bagiku, masa tidak perlu disia-siakan hanya untuk soalan yang sia-sia.

Dalam dunia ini, rata-rata manusia menilai sesuatu berdasarkan angka. Dari angka negatif sehinggalah angka yang tak terjangka banyaknya, semuanya dijadikan indikator bagi mengukur atau menilai sesuatu perkara. Kebanyakan orang memandang angka ini sebagai suatu perkara yang signifikan dalam hidup mereka. Pada pandangan mereka, angka ini bagaikan sebuah magis yang sangat berharga tetapi tidak bagi aku. Pada pandangan aku, angka ini ialah sebuah ilmu hitam. Percaya atau tidak, angka ini mampu membuatkan manusia berpuak-puak dan saling berbunuhan.

Jika aku diberi pilihan untuk memilih antara 50 dan 100, aku akan tolak kedua-duanya. Semuanya bagi aku tiada makna. Siapa kata angka itu bawa bahagia dalam hidup? Bahagia aku tidak perlu pada angka walaupun melalui wang kertas atau syiling emas. Aku tidak kisah tentang berapa banyak yang ibu bapaku boleh beri kepada aku.

Mereka menggelarkan diri mereka itu kaya dan banyak harta kerana banyak angka kosong dalam akaun mereka. Tetapi, itu semua tidak bagi aku kerana aku anggap itu semua tiada apa. Mungukur tahap kekayaan bukanlah melalui berapa banyak wang yang ada. Kaya itu subjektif dan tiada pengukurnya kerana manusia tidak pernah puas. Berapa banyak wang yang yang diperlukan untuk melabelkan seseorang itu kaya?

Sesampainya aku di rumah, ibu sudah tunggu di muka pintu sambil tersenyum ke arahku. Tangannya dihulurkan kepadaku. Aku tahu ibu bukanlah menghulurkan tangan dan berharap aku mencium tangannya seperti yang selalu dilakukan oleh anak orang lain. Tetapi dia cuma mahukan kertas peperiksaan aku.

Aku sudah lali dengan sikap ibu yang terlalu obses terhadap markah aku. Sikap ibu ini bermula sejak aku berada di tadika lagi. Ibu mengumpul setiap kertas peperiksaanku yang melibatkan angka sejak ibu sedar aku genius matematik. Ibu juga turut mencanang markah keputusan aku kepada semua jiran yang dikenalinya. Entah apa yang membuatkan dia bahagia, aku tidak tahu.

Tapi semua itu tiada masalah bagiku. Aku okay dengan sikap ibu yang begitu. Aku okay dengan ibu yang sering memberi makanan sihat supaya aku kekal cerdas. Aku okay dengan sikap ibu yang terlalu pentingkan pembelajaran aku. Aku okay apabila setiap hari terpaksa berkurung sahaja di rumah untuk belajar walaupun sebenarnya dalam hati, aku memberontak. Kata ibu, orang yang pandai ini akan bahagia di masa akan datang. Aku terima sahaja semua yang ibu beri walaupun aku tahu, itu cumalah propaganda ibu sahaja.

Aku mula memberontak secara senyap-senyap apabila mengetahui agenda ibu. Mungkin aku dirancang supaya menjadi genius sejak aku kecil. Aku pernah terbaca diari ibu tentang agendanya untuk aku di masa hadapan.

Apa yang ibu perlu lakukan cumalah menjaga aku sebaik mungkin dan menjadikan aku lebih bijaksana. Yang paling penting, kepala aku perlulah selamat dan sihat sehingga aku berjaya menjadi seorang yang ternama. Mungkin setelah aku mendapat gelaran ‘Professor’. Apabila tiba saat itu, ibu mahu mengambil otak aku dan menjadikan otak itu sebagai salah satu koleksinya. Ibu aku gila!

Aku memulakan rancangan aku dengan curi-curi membeli rokok di kedai Ah Toq. Aku belajar merokok melalui sahabat baikku, Siti. Puas. Hanya itu yang aku dapat gambarkan ketika pertama kali aku menyedut sebatang tembakau walaupun rasanya agak tidak menyenangkan tekak aku. Aku tahu, bahagia itu perlukan sedikit pengorbanan.

Apalah sangat pengorbanan aku semata-mata untuk merasa bahagianya memberontak. Aku dapat lari daripada apa yang ibu perintahkan. Mungkin satu hari nanti, aku akan mula minum arak, atau hidu gam. Aku tidak sabar untuk melakukan semua itu. Membayangkan sahaja pun sudah cukup membuatkan aku teruja.

Semalam, ibu terjumpa kotak rokok kosong di dalam almari pakaianku. Memang sengaja aku letakkan di tempat yang mudah dilihat kerana aku mahu ibu tahu. Aku mahu ibu tersiksa kerana apa yang dia jaga selama ini rosak, binasa.

Sangkaan aku tepat mengenai ibu yang akan mengamuk melihat kotak itu. Malam tadi, ibu macam orang gila. Eh bukan, ibu memang sudah gila. Segala kertas peperiksaanku yang dikumpulnya selama ini, semua dia sepahkah.

Ibu datang ke arahku dan terus mencekik aku. Aku memang sudah bersedia dengan hal ini. Aku mencapai parang yang ada di sebelahku lalu memukul kepala ibu. Sengaja aku tidak menggunakan bahagian yang tajam kerana aku bencikan darah. Aku pukul kepala ibu sampai ibu yang tadinya meraung, kini terdiam.

Kini, sudah tiba masanya untuk aku jadi manusia.

***

KARKAS #246: GADIS DALAM KOTAK


Malam sunyi ditemani cahaya rembulan yang berbogel tanpa selindung. Bunyi burung hantu dari arah barat serta bunyi angin yang kuat berjaya menaikkan bulu romaku. Bayu dingin di malam hari membuatkan aku rasa mengantuk, lapar dan kurang selesa. Aku tak tahu ke mana lagi aku harus tuju setelah keluar, lari dari rumah. Papa sudah tidak sayangkan aku. Dia lebih sayangkan mama baru, bukan aku. Di persimpangan hujung jalan, aku terlihat cahaya terang, seperti ada ramai orang. Aku menuju ke arah cahaya tersebut dengan harapan ingin meminta simpati sesiapa.

Sesampainya aku di sana, aku hampa. Cahaya tersebut bukanlah seperti yang aku harapkan. Ia cuma cahaya dari kedai lama yang menjual barangan antik di tengah-tengah malam. Entahlah apa relevannya beroperasi pada waktu sebegini. Mungkin menunggu kedatangan aku kerana sebaik sahaja aku melangkah di hadapan pintu kedai tersebut, seorang lelaki tua membuka pintu, tersenyum ke arahku.

Kehadiranku disambut dengan senyuman berhiaskan janggut putih yang tebal . Bau barangan lama menerpa rongga hidungku membuatkan aku bersin berkali-kali. Lelaki yang belum pernah kukenali itu hanya ketawa melihat gelagatku. Aku cuba berbual dengan lelaki tersebut tetapi dia tersebut bisu, tidak mampu bersuara. Jadi kami hanya berdiam saja. Dia menjemput aku menikmati minuman coklat panas serta mengajakku menginap di kedai tersebut dengan menggunakan bahasa isyarat yang mudah aku faham. Aku hanya menganggukkan kepalaku lalu berterima kasih kepada dia.

Keesokan paginya, sebelum bapaku yang entah bagaimana tahu aku ada di sini datang menjemput aku, lelaki tua itu memberikan aku sebuah bungkusan. Hadiah katanya kerana sudah lama dia tidak mendapat tetamu. Aku syak dialah yang memberitahu kepada bapaku tentang keberadaan aku di sini tetapi aku sudah tidak kisah. Aku rasa tenang berada di sini.

Ketika di rumah, hampir setiap hari aku menatap pemberian lelaki tua itu. Sebuah kotak muzik lama yang reka bentuknya unik dan lagunya menenangkan. Aku cuma berkurung di bilik saja sepanjang hari memainkan kotak muzik tersebut.

***
Alunan lagu indah dimainkan setelah kekunci itu dipusingkan.Jelmaan seorang perempuan bergaun putih muncul di hadapannya. Sebelah tangan perempuan itu di perut, dan sebelah lagi tangannya di atas kepala. Bibirnya terukir senyuman yang paling menawan dan lirikan matanya sangat menggoda sesiapa sahaja yang melihatnya. Sanggul rambutnya yang berwarna keemasan rapi di kepala dan disertai karangan tiara terletak elok di atas kepalanya, menyempurnakan lagi perhiasannya.

Jelmaan itu menyanyikan sebuah lagu yang sangat memukau. Sesiapa sahaja yang mendengarnya, pasti akan terpengun dengan kelunakan suaranya dan keindahan lirik lagunya. Lirik lagunya berkisahkan tentang cinta dan kehidupan yang mati. Melodi yang dimainkan serta lenggok suara gadis itu merupakan gabungan yang paling hebat, tiada tandingan.

***
Kotak muzikku dirampasnya lalu dibaling keluar dari tingkap. Aku sedang cuba menahan air mataku. Namun, terlerai juga. Kotak muzik kesayanganku dibaling begitu saja, pasti sudah rosak. Kata papa bunyinya aneh, bising, menyakitkan telinga, seperti radio lama yang sudah rosak. Aku tahu papa cemburu melihat aku bahagia. Aku tengking papa, aku kata isterinya itu perempuan sundal, jalang. Memang benar kata-kataku. Aku ada bukti jika dia minta. Tetapi papa terus menampar pipiku.

Pedih. Telingaku berdesing, kepalaku pening, mataku berpinar, hatiku kecewa. Aku terus keluar dari rumah dan mencari semula kotak muzikku. kotak yang mampu mengkhayalkanku dan membuatku tenang. Aku berani mengaku, kotak muzik itu kekasihku, lebih daripada orang tuaku. Kotak yang bagaikan bernyawa ini saja yang faham deritaku. Aku berlari menuju ke bahagian paling atas bangunan rumahku, di tingkat 15 sambil memainkan kotak muzikku dan menari girang bersama penari di dalam kotak tersebut.

Aku tahu, apa bunyi aneh yang papa kata tapi aku tak kisah. Aku cuma teruskan tarian aku sehingga aku boleh terbang, tinggi dalam langit gelap bersama penari tersebut. Aku cuba berada di tempat paling tinggi sambil menggapai tangannya. Telingaku disumbatkan dengan bunyi yang sama aku dengar setiap hari, iaitu… bunyi kematian.

***
Johan terkaku tatkala terdengar pengakuan sebenar Maria. Kata Maria, dia sudah punya teman lelaki lain yang lebih kacak, menarik, kaya dan selalu menghiburkan dia. Johan ini membosankan katanya lagi. Di tangan Johan tersimpan kemas sebuah kotak muzik berbentuk jantung manusia. Johan ukir khas buat gadisnya, Maria. Malah, di dalam kotak muzik itu pula tersisip cincin emas rekaan Johan sendiri. Johan sangat tidak dapat menerima kata-kata Maria malam itu. Lebih-lebih lagi, Maria berkata sedemikian betul-betul selepas Johan melutut melamar Maria.

Sudah lama Johan membuat persiapan untuk melamar Maria iaitu pada hari ulangtahun kelahiran Maria. Berbulan-bulan masa diambilnya untuk mengukir bentuk jantung, persis jantung manusia demi membuktikan cintanya pada Maria. Mungkin salah Johan sendiri kerana membosankan buat Maria, tetapi dia telah menjaga Maria dengan sebaik mungkin. Apa yang Maria pinta, pasti dia laksanakan. Tak sangka begini pengakhirannya.

Malam itu juga, Johan telah ditemui bunuh diri oleh seorang kanak-kanak lelaki gila yang bisu di kawasan sekitar. Di tangan Johan ada kotak muzik berbentuk jantung yang penuh dengan darah Maria. Johan telah menghentak kepala Maria bertubi-tubi dengan menggunakan kotak muzik tersebut kerana Maria tak henti-henti memuji kekasih baharunya. Johan cuma mahu Maria diam. Tetapi, akhirnya Maria mati di tangan Johan. Johan pula bertindak terjun dari atas bangunan 15 tingkat dalam keadaan mabuk.

***

KARKAS #245: HATI YANG PENUH NODA

Mengenali August bukanlah perkara yang biasa. Bagi aku, mengenali August merupakan sesuatu yang luar biasa kerana dia buatkan aku rasa luar biasa. August memperkenalkan aku kepada satu magis yang dipanggil cinta. Cinta merupakan sebuah perasaan yang sangat indah jika dinikmati dengan hati dan dikongsi dengan seseorang yang merasai perkara yang sama. Cinta mampu membawa kita ke sebuah ruang rahsia yang tiada siapa tahu di mana. Di ruang rahsia itu, kita boleh jadi apa sahaja yang kita mahu. Itulah cinta.

Nama aku Jun. Aku merupakan seorang pelukis jalanan yang tidaklah terlalu terkenal. Aku mengenali August ketika berada di majlis ulang tahun kelahirannya yang ke-21. Ketika itu, aku diupah oleh rakannya untuk melukis potretnya sebagai tanda ingatan. Entah bagaimana, pertemuan itu membuahkan bibit-bibit cinta antara aku dan August. August tidaklah terlalu kaya, cuma dia hidup dalam keadaan mewah. Aku tidak kisah jika August kaya atau tidak walaupun aku ini orang sederhana. Aku cuma kisah tentang dia, hanya dia.

Seperti yang dijanjikan, kami bertemu di sebuah restoran pada malam Hari Kekasih. Aku mengenakan solekan nipis dan gaun satin berwarna biru gelap. Rambutku, aku sanggul rapi. Sengaja aku datang sedikit awal bagi meraikan keterujaan aku bersama orang yang tersayang. Aku hanya duduk tersipu sendiri sambil teringat detik-detik lalu bersama August. Tak sangka tahun ini tahun yang kelima kami bersama.

August tiba dengan senyuman. Di tangannya ada sejambak bunga kegemaranku, bunga matahari. Dia menghulurkan bunga itu dengan tangan kanannya lalu duduk berhadapan denganku. Kami mula menjamu selera. Aku tak pasti sama ada restoran ini memang terkenal dengan masakan yang sedap atau senyuman August yang menjadi penyedap rasa. Dunia bagaikan berputar dengan kelajuan yang sangat minima demi menghormati waktu aku bersama August ketika itu.

***

Aku melangkah masuk ke dalam ruangan itu. Gelap. Aku bukanlah takut akan kegelapan, cuma aku takut ditinggalkan keseorangan. Satu-satunya sumber cahaya yang aku ada semakin menghilang dan akhirnya padam. Bau yang amat busuk berlumba-lumba masuk ke rongga hidungku. Baunya bukan sahaja busuk, bahkan meloyakan. Aku termuntah berkali-kali disebabkan bau itu. Baunya mengalahkan bau bangkai kucing yang aku pernah temui di dalam stor rumahku tahun lepas.

Angin kering yang kuat menampar wajahku. Terasa bagaikan disiat-siat hujung mata pisau yang tajam. Kulitku kian kering dan merekah. Aku dapat rasa sel-sel kulitku menggelupas di wajahku menjadikan wajahku seakan-akan berdebu kasar. Entah angin jenis apa ini, aku tidak pernah jumpa. Pedih. Hanya itu yang aku dapat gambarkan ketika ini.

Aku jatuh tersungkur dan cuba meraba dalam gelap. Tiada apa-apa yang mampu membawa kepada aku satu petunjuk pun tentang pintu keluar. Yang aku tahu ialah dinding ruangan ini semakin sempit. Pergerakan dadaku terbatas dan tidak dapat bergerak membuatkan aku sukar untuk bernafas.

Nama August aku laung sekuat-kuatnya dengan harapan dia mampu dengar. Dalam fikiranku, biarlah seorang jejaka atau apa-apa watak hero muncul sekarang kerana aku sangat tidak tahan dengan tempat ini. Dan semestinya aku mengharapkan August kerana dialah yang membawa aku ke tempat ini. Katanya ini syurga dia, tapi ini neraka aku.

Kepalaku sangat sakit seperti ada yang merobek-robek segala isi di dalamnya. Kaki aku juga turut mengejang. Aku tidak mampu berbuat apa-apa kerana terlalu sempit. Urat aku pecah dan darah aku terpancut keluar tanpa henti. Tulang aku bergesel antara satu sama lain membuatkan aku rasa ngilu yang tak dapat aku gambarkan. Akhirnya, tubuhku lenyap ditelan kesempitan ruangan yang juga sudah lenyap.

***

“Awak nak tahu tak? Awaklah orang yang paling saya cinta.” Kata August sambil sebelah tangannya memegang tangan kiriku.

“Tak perlu cakap, dah tahu dah.” Balasku dengan senyuman meleret.

“Biarlah, saya suka cakap tentang ni.” Kata August sambil matanya tak lepas memandangku.

Jeda, suasana jadi senyap seketika. Lagu-lagu romantis didendangkan seorang pianis terkenal sempena Hari Kekasih. Lampu bercahaya jingga terang digabungkan dengan cahaya putih dari sudut tepi membuatkan restoran ini nampak mewah. Lampu-lampu itu jugalah yang membuatkan August nampak kacak yang tiada tara pada malam itu. Atau mungkin itu cuma ilusi mataku.

“Awak nak tahu tak? Cuma awak seorang sahaja yang ada dalam hati saya.” Kata August lagi sambil memegang tanganku sebelah lagi. Aku hanya membuat lagak tidak percaya sambil tersenyum nakal ke arahnya. Kata August, dia akan membuktikan segala kata-katanya malam itu juga. Sudah lama dia menantikan saat ini.

Kotak biru yang mengandungi sekeping kunci, dia hulur kepada aku. Katanya, itu kunci untuk membuka pintu hatinya. Sebenarnya, dia sudah lama membuka pintu hatinya sejak lima tahun lalu. Tapi inilah kali pertama dia menjemput aku masuk ke dalam. Aku membuka pintu hati itu seluas-luasnya lantas masuk ke dalam dengan teruja. August segera menutup dan mengunci aku dalam hatinya.

***