24 Feb 2023

KARKAS #256 : PADA SUATU MALAM SEMASA HARI HUJAN

 


“Betul kamu tak ingat apa-apa?”

Geleng. Cahaya kilat memancar membuat aku membuang pandang ke luar jendela. Langit gelap, padahal jam di telefon bimbitku baru menunjukkan pukul 2.10 minit petang.

Saat aku buka mata lima belas minit yang lalu, aku sedar yang aku bukan berada di dalam bilik tidur di rumahku, sebaliknya di katil hospital dengan seorang lelaki yang memperkenalkan dirinya Inspektor Sahak, sedang berdiri di sisi katil.

“Kamu dijumpai tak sedarkan diri di lorong belakang Jalan Kenari malam tadi. Apa yang kamu buat kat situ di malam hari?’’

Aku garu kepala. Geleng lagi. Bingung. Tak ingat apa yang berlaku beberapa jam sebelumnya.

“Saya tak pernah ikut laluan lorong belakang. Saya biasanya turun bas terus ikut laluan pejalan kaki nak balik ke rumah. Apa sebenarnya yang berlaku?’’

“Kami jumpa kamu terbaring tak sedarkan diri tak jauh dari lokasi pembunuhan.” Dia mendekatkan badannya ke telingaku. “Kamu mungkin adalah saksi utama kes pembunuhan itu.”

Mata aku hampir terjojol keluar mendengarkan itu. “Pem… pembunuhan?” Mata aku mencari kesahihan di riak wajahnya yang tenang.

Inspektor Sahak mengeluarkan sesuatu dari fail yang dibawa. Sekeping gambar di tayangkan depan muka aku dimana ada seseorang sedang terbaring dengan tompokan merah di bahagian perut. Terus aku alihkan pandangan, ngeri nak melihat terlalu lama. Aku kira mangsa itu adalah seorang perempuan berdasarkan kain yang menutupi kepala mangsa, walaupun hanya melihat sekali imbas.

“Jadi kamu memang tak ingat macammana kamu boleh pengsan kat situ?” Gambar itu kembali disimpan dalam fail.

“Tak, saya tak ingat langsung! Macam ada ingatan dalam kepala saya yang tak wujud. Hilang.”

Inspektor itu merenung muka aku seolah-olah ingin menduga adakah aku sedang berkata benar atau menipu dia. Aku alihkan pandangan. Renungannya yang tajam seperti sedang membogelkan semua buah fikiran dalam kepalaku.

 “Kalau kamu tiba-tiba teringat sesuatu, cepat cepat beritahu saya.” Kad namanya dihulur.

Aku sambut, tapi pegangan kad masih tidak dilepaskan. Aku pandang matanya, seraya dia berkata “ingat, kamu saksi utama kes ini. Kamu kena ingat sesuatu.” Seusai pesanan itu dia sampaikan, kad beralih tangan.

Inspektor Sahak menjinjit fail maklumat tadi dan beredar dari katil sambil bersiul.

Siulan yang mendayu-dayu, akan tetapi terasa seperti pernah didengari.

Langit yang tadinya gelap kini mula memuntahkan hujan. Guruh tiba-tiba berdentum. Saling bersahut-sahutan dengan bunyi siulan tadi menerpa masuk ke gegendang telingaku.

Aku kembali ke masa itu.

 Malam dimana kilat dan guruh saling berdentum dan memancarkan cahayanya diiringi hujan lebat. Aku yang ketika itu turun dari perut bas hanya beralaskan beg sebagai penutup kepala, berdiri seorang diri di hentian bas, berniat untuk menunggu sehingga hujan reda sebelum berjalan pulang ke rumah.

Tiba-tiba aku terdengar suara jeritan perempuan seperti meminta tolong. Pandang sekeliling, tak ada seorang manusia pun kelihatan di sekitar.

Aku seharusnya tunggu sahaja dimana aku berada sehingga hujan reda. Tapi kali kedua aku mendengar jeritan yang panjang dan seperti merayu agar ditolong itu, aku jadi tak sampai hati untuk abaikan apa yang aku dengar.

Sejak kecil aku memang mempunyai deria pendengaran yang sangat tajam. Ibu kata aku seperti manusia yang mempunyai deria keenam yang boleh mendengar bunyi yang tidak didengari manusia lain.

Aku mencari arah jeritan itu di lorong belakang kedai yang tak jauh dari tempat hentian bas. Mungkin ada sesiapa yang terjatuh ke dalam longkang atau ditimpa musibah dalam hujan lebat ini. Walaupun aku terpaksa berbasah lencun, sekurang-kurangnya aku mungkin boleh menyelamatkan nyawa seseorang.

 Kadang kala aku benci dengan kelebihanku yang satu ini. Ia membuatkan aku perlu terjebak dalam masalah orang lain.

Pada ketika itu, aku ternampak seseorang seperti sedang terbaring dengan tangan terkapai-kapai, aku lajukan langkah ke arah itu. Semakin hampir, baru aku perasan ada seseorang lagi yang sedang berdiri dalam pakaian baju hujan menutupi dari kepala sampai ke lutut, hanya berdiri memandang manusia yang terbaring di hadapannya.

Situasi itu sangat mengelirukan aku yang tidak dapat melihat dengan jelas asbab air hujan menerpa ke muka. Tapi saat kilat memancar, aku terpandang sesuatu di tangan orang yang berdiri itu. Sesuatu yang bersinar, seperti….

Pisau!

Saat sel-sel otak aku sudah memahami situasi ketika itu, kaki aku terus berlari mencari tempat perlindungan. Malangnya kewujudan aku disitu telah disedari oleh si pemegang pisau. Aku tahu aku diekori, tapi tak ada tempat lain lagi untuk aku bersembunyi selain membenamkan diriku dalam longgokan sampah sarap di tepi dinding ini walaupun peratusan untuk dijumpai sangatlah tinggi.

 Sayup-sayup kedengaran bunyi siulan mendayu-dayu seperti mendengar panggilan maut. Semakin lama semakin jelas kedengaran. Seluruh badan aku menggigil, entah ketakutan atau kesejukan.

Satu persatu bunjut sampah terasa dialihkan seseorang. Aku hanya berfikir untuk berlari sekuat hati saat bungkusan sampah di badan aku ini diangkat si pembunuh itu. Dalam kiraan lima, empat, tiga, dua…

Satu!

Aku terus berdiri dan melangkah beberapa tapak, buk! Belakang kepala aku dihentak dengan sesuatu yang keras dan tumpul.

Gelap.

Dentuman guruh mengembalikan aku ke alam realiti.

Celaka! Aku sepatutnya terus buang ingatan itu selama-lamanya!


22 Feb 2023

KARKAS #255 : ARCA KRISTAL TWO SISTERS

 Aku bangun daripada tidur. Rasa sengal seluruh badan akibat main badminton tanpa pemanasan. Badan dah lama dalam zon selesa, terkejut dengan aktiviti fizikal yang mendadak. Aku lemau. Tiba-tiba aku teringat mimpi aku malam tadi, _epic_!


Aku cuba mengingat setiap perincian dalam mimpiku. Watakku bernama Aisy, ada dua perempuan yang asalnya baik tapi bertukar jadi ahli sihir yang membuat satu ritual menidurkan manusia untuk dijadikan arca. Ada lelaki yang, dia tidak bisu tapi dia tidak bercakap dan namanya Muhd Yusuf. Dia sentiasa memakai _hoodie_ dan tak lekang dengan _headphone_. Dia selalu bersendirian tanpa seorang kawan pun. Macam mana aku tahu nama dia Muhd Yusuf? Dia tanyakan nama aku dengan menulis di sekeping papan menggunakan sebiji batu;

- Siapa nama?

- Aisy. Siapa nama awak?

- Muhd Yusuf. 

Itu sahaja, sesi perkenalan kami. 


Suasana dalam mimpi aku sejuk dan bersalji, mungkin pengaruh daripada keadaan sebenar aku yang kesejukan tanpa selimut. 


_Okay_, aku mulakan dengan pertemuan aku dan dua perempuan yang sangat baik pada awalnya. Perempuan berdua ini ada sebuah kedai makan yang katanya semua menu di situ sedap-sedap belaka. Aku di sini sudah hampir 9 tahun tapi aku tidak pernah kenal perempuan berdua itu dan tidak pernah singgah di kedai makan mereka. Kata penduduk setempat, mereka adalah ikon masyarakat. Mereka akan hadir semua jenis majlis dan memberi pelbagai bentuk sumbangan serta mereka kenal baik dengan semua orang. 


"Aisy, esok marilah makan tengah hari di kedai akak."

"Akak buka kedai siang sahaja ke?"

"Akak buka kedai sampai pukul 10 malam. Tapi menu siang dah tak adalah. Malam, menu istimewa." Dia kenyit mata.

"Kalau macam tu, saya pergi kedai akak malam ni lah ye."

"Pukul berapa tu Aisy?" Aku jadi pelik, kenapa perlu aku beritahu pukul berapa.

"Saya tak pasti kak."

"Oklah, tak apa. Akak tunggu, jangan tak datang ye."


Ah, sejuk, berangin dan bersalji. Cari pasal sungguh berjanji untuk datang malam. 

---

Aku pergi ke kedai makan 'kakak' itu. Tapi aku tidak terus masuk, aku mengintai dari luar. Senyap. Di sebalik dinding, aku nampak semua pelanggan rebah di atas meja, seolah-olah mereka sedang tidur termasuklah Muhd Yusuf. Aku tidak nampak sesiapa melainkan pelanggan sahaja. Aku terus masuk untuk mendapatkan Muhd Yusuf.


"Yusuf, Yusuf." Aku berbisik sambil menggerakkannya. Dia bangun dan meletakkan telunjuk ke bibirnya. Aku cuba menggerakkan pelanggan di meja sebelah. Namun Muhd Yusuf menggelengkan kepalanya lalu kami terus keluar.


"Kenapa? Mereka, awak?" Muhd Yusuf cuma menyentuh _headphonenya_ dan aku faham.

"Ada mantera?" Dia mengangguk.

"Untuk apa." Dia menunjuk ke arah tasik. Tasik kosong lagi beku.

"Apa?" Aku tidak faham. Dia mengajak aku ke tasik tersebut. Bila aku jenguk ke dalam tasik, ada beberapa arca kristal yang aku tidak pasti haiwan atau manusia. 

"Satu arca memerlukan tulang temulang daripada tiga manusia." Aku berpaling. Kelihatan perempuan berdua itu memandu satu kereta kuda salji. Mereka kelihatan seperti ratu salji jahat dalam filem Narnia. Aku tergelak sekuat-kuat hatiku. Tiba-tiba mereka terkumat-kamit membaca sesuatu dan Muhd Yusuf memakaikan aku _headphonenya_. Tiada lagu melainkan bunyi seperti notifikasi yang bertalu-talu. 


Notifikasi? Ya betul. Aku terjaga dek notifikasi yang bertalu-talu daripada telefonku. 20 mesej? Ah, _spam_ daripada satu nombor. Ada gambar dan mesej yang berbunyi;


_Jemput datang ke kedai makan Two Sisters. Ada banyak menu menarik. Buka sampai pukul 10 malam. Psst, menu malam, menu istimewa tau. Jangan tak datang ya, kami tunggu!_


Aku _click_ pada gambar. _Loading_ agak lama, dan gambar di paparan adalah perempuan berdua tersebut.


Aku menampar pipiku, sakit!

_Ah, sudah!_

KARKAS #254 : ANTARA TANGGAPAN DAN KENYATAAN

 


Hari itu, seisi wilayah Timur terkejut dek gempa yang terjadi di wilayah Barat. Boleh dibilang, seluruh wilayah Barat nyaris-nyaris menjadi puing. Begitu hebat gempa yang melanda. Sampaikan penduduk di Timur turut merasakan sisa-sisa goncangan. Semuanya buru-buru keluar ke tengah jalan menjauh dari bangunan. Siapa sangka, wilayah Barat yang selalu dicanang sebagai wilayah di mana penduduknya kuat agama malah dilanda hal-hal sedemikian.


“Tuhan sudah tidak peduli siapa pun. Bala tidak kenal siapa-siapa!” laung seorang penduduk di Timur.


Lorong-lorong dan jalan-jalan raya di wilayah Timur padat dengan manusia. Gegak gempita tangisan anak kecil dan teriakan orang-orang bagaikan hari itu ada perayaan besar-besaran. Tidak ada seorang pun yang berani pulang ke rumah. Takut kalau-kalau ada goncangan susulan. Hampir semua penduduk yang rumahnya di tingkat paling bawah menarik wayar panjang ke luar rumah dan mengeluarkan TV. Begitu juga dengan kedai-kedai makan. TV dinyalakan dan beramai-ramai mereka menonton siaran langsung berita tentang gempa yang terjadi di wilayah Barat seperti menonton kejohanan Piala Dunia.


Usaha pencarian dan menyelamat giat dilakukan. Satu per satu mayat berhasil ditemukan. Menjelang petang, jumlah mayat menjadi ribuan. Semua penduduk, baik di wilayah Timur dan sisa-sisa penduduk di Barat semuanya berdoa agar menemukan setidak-tidaknya seorang yang masih hidup. Barangkali, itulah doa mereka yang paling bersungguh-sungguh pernah dipanjatkan. Saat peluang menemukan yang hidup terasa kian menipis, mendadak seekor anjing menyalak diikuti seorang penyelamat yang berteriak, “Ada seorang nenek masih hidup!”


Para penyelamat yang lain buru-buru ke arah yang dimaksudkan. Begitu juga dengan para media yang berlumba-lumba mahu mendapatkan rakaman pertama si nenek itu. Nenek itu berhasil ditemukan di antara reruntuhan batu-batu bangunan. Beliau terhimpit dan sama sekali tidak boleh bergerak. Dengan suaranya yang terdengar perlahan dan terketar-ketar, beliau meminta air untuk solat. Sejenak semua orang yang ada di situ bergeming bagaikan baru melihat hantu. Tidak ada yang menyangka bahawa itulah permintaan pertama si nenek. Mereka semua jadi kagum kerana sebegitu kuatnya pegangan agama si nenek. Alih-alih minta diselamatkan, malah beliau meminta air terlebih dulu.


Wajah si nenek disoroti cahaya lampu kamera oleh para media bagaikan terjadi kilat berulang kali di depan wajahnya. Sebotol air diberikan dan beliau solat dengan air mata yang bercucuran. Di dalam hati, si nenek berazam andai dirinya diberikan kesempatan untuk hidup lagi setelah hari itu, dia tidak mahu mengabaikan solat lagi.

KARKAS #253 : NASI AYAM JELUTONG

 


Tidak pernah berlaku yang awak bercuti pada hari Jumaat. Maka nasi ayam di hadapan saya sekarang telah pun lenyap kelazatannya. Setelah  lima bulan menyantap di sini, senja ini saya akan beranikan diri mempelawa awak keluar, atau setidaknya saya bertanyakan nama awak apa? Keberanian saya disebabkan oleh, itu, lelaki tua di kaunter bayaran. Semua kata-katanya kekal terkedap dalam kepala saya. 


“Setakat abang yang gemuk ni, jangan kata dia, makcik tua pun tak nak dekat abang!”

“Abang, orderlah nasi dan ayam separuh, lekas sikit kurus, baru boleh dapat dia, dapat marka.”


Keberanian yang menyinggah di bahu saya, ditambah dengan kata-kata bangsat lelaki tua itu, membuatkan saya rajin senaman. Saya tekan-tubi kira-kira 200 kali sehari. Dari hujung lorong kecil di Jelutong ini, saya berlari-pecut setiap kali hendak makan di kedai awak. Hari ini sepatutnya hari kemuncak! Dengan nasi ayam yang tersisa tiga-suku, air sirap limau masih penuh hingga permukaan gelas, saya tangguhkan bibit cinta manis kita. Esok, ya? 


Hari ini, Sabtu, saya tekan-tubi 400 kali. Saya mengenakan kasut larian saya yang baharu. Logo bayang harimau, tidak ubah seperti semangat saya. Saya akan berlari-pecut dari dua lorong sebelum tiba untuk nasi ayam. Saya fikir, usaha yang saya ganda-duakan, pasti didengari oleh Tuhan lalu Tuhan tiada lagi ruang selain memberikan ruang itu kepada limpahan romantis saya dan awak. Ah, baru sahaja selesai satu lorong, saya hilang pernafasan. Sial! 


Ini, bakal Tuhan tutup kembali ruang kita. Saya perlukan pendesak dan pemangkin. Saya jalan ke belakang lorong. Ada dua ekor anjing sedang mengawan. Saya capai batu kerikil bersaiz tiga jari, saya campak tepat ke tubuh anjing yang sedang berdiri dengan dua kaki. Taktik ini ampuh. Anjing itu mengejar saya, seterusnya saya berlari separuh mati tanpa melihat sekeliling, menuju destinasi cinta. 


Setibanya di kedai makan, seperti yang saya duga, anjing itu hanya mampu menyalak di luar kedai. Terima kasih, anjing. Khidmatnya tamat di sini. Anjing! Penat juga saya! Kepenatan terus bertukar menjadi keberanian apabila melihat awak bekerja hari ini.


“Nasi ayam Jelutong, satu! Sirap limau ais, satu!” 


Saya pun duduk. Perwatakan seorang gadis yang pendiam, awak tidak lekang menderma lirikan dan senyuman. Terlenggang-lenggok tubuh kerengga awak menatang dulang hidangan saya. Selesai sahaja awak meletakkan juadah di meja, saya pura-pura tersentuh kelengkeng awak. 


“Maaf, maaf. Nama siapa?” 


Ayam bahagian paha terpelanting ke udara. Nasi bertaburan di lantai. Sirap limau hanya tinggal limaunya di dalam gelas. Awak tidak semena menjerit. 


“ABANGGG!!! Tengok lelaki miang ni. Gatal! Pegang tangan kami!” 


Lelaki tua di kaunter bayaran terus melompat seperti bayang harimau kasut saya. Menerkam saya. 


“Woi gemuk. Hang buat apa ni kacau bini aku?” 


Itu adalah hari terakhir, senaman dan makan nasi ayam, untuk seumur hidup saya. Saya sekarang lebih tenang, membela dua ekor anjing yang pernah mengejar saya. Setiap kali anjing-anjing saya berjalan di hadapan Nasi Ayam Jelutong, saya akan paksa mereka mengeluarkan najis atau setidaknya kencing di sekeliling kedai. Tuhan memberikan saya ruang baharu bahawa menyintai anjing lebih berkuasa daripada bayang harimau, lebih bermakna daripada mengejar wanita. 


*****