3 Jun 2015

KARKAS #166: TALIAN HAYAT CINTA

Derasnya kemarahan Eva tak sederas pecutan keretanya. Tiupan angin subuh memecut lebih laju daripada trafik di atas jalan raya. Cekang kemarahan Eva bukanlah pada kelajuan kereta-kereta yang menyiput, dia meledak dek dikasari suara pemyampai radio yang memilih topik 'bekas kekasih' untuk segmen pagi. Senyum dan tawanya bersilih ganti. Matanya sering menjegil ke arah radio setiap kali perkataan 'bekas' itu ditutur si DJ. Jika Eva diberikan pisau, nescaya ditorehnya roman bekas kekasih yang satu lagi—selumat mungkin. 

Namun, talian hayat cinta Eva tidak kekal. 

Setibanya di selekoh paling tajam, kereta Eva dilanggar kuat dari arah hadapan. Eva tercampak keluar dari jendela pemandu serentak dilenyek lori kontena. Otak, jantung, hati; menyembur di atas jalan, kemerah-merahan. Lori kontena tenang bergerak terus. Sebagai pemandu lori, Digta menyanyi kegembiraan bertemankan alunan lagu di radio. Tiada yang lebih ceria pada pagi itu, seceria melihat bekas kekasih sendiri, dilenyapkan nyawa oleh tayar-tayar lorinya yang lebih memahami akan perasaan Digta. 

Bunyian hon yang bergelegak di stesen minyak tidak dipedulikan Digta. Lori kontena diletakkan betul-betul di bahu jalan tanpa meninggalkan sedikit ruang bagi kereta lain yang mahu lolos. Sedang asyik dia membasuh muka di sinki tandas, ada derapan kaki gadis seolah mendekati. 'Kasut tumit tinggi'. Ah, itu pasti seorang gadis genit yang pundi kencingnya telah penuh. Gadis itu membuka paip di sinki sebelah. Mahu sahaja Digta bermain ayat cinta di dalam tandas. 

Namun, talian hayat cinta Digta tidak kekal. 

Belum sempat Digta menoleh hendak mengamati wajah wanita di sisi, penglihatannya terus kabur. Bibirnya terasa dikoyak-koyak. Biji matanya dikorek sedalamnya. Jeritan Digta ditenggelamkan bunyi hon membingit di luar tandas. Kasut tumit tinggi yang berdarah itu, dilalukan air dan ditonyoh bersih dengan tisu. Sofi memakai kasutnya semula dan memandang wajah sendiri di cermin sinki. Ya, dia puas, dan masih genit. Bekas kekasihnya kini lenyap untuk selama-lamanya.

Sofi melangkah perlahan ke luar tandas agar tidak terpijak tompokan darah dan bebola mata jijik di lantai. Beberapa jam lagi pertunjukkan fesyen akan bermula, Sofi perlu memastikan dia masih memegang takhta model tercantik kota. 

"Mana baju I?" Tanya Sofi kepada penjaga baju di belakang pentas lantas diberikan baju gaun berbulu biru. 

"Bodoh! Baju ni nampak macam aku jahat sangat! Tak ada baju yang nampakkan aku gadis pecinta yang baik ke? Tolol!" 

Dengan mulut terkumat-kamit penuh makian sambil memakai barut ketat, dia mencari-mencari pin kecil di atas meja solek. Tidak semena, ada pembantu yang datang mendakap pinggangnya dari arah belakang. 

Namun, talian hayat cinta Sofi tidak kekal.  

"Cukup ketat ke barut ni Cik Sofi?" Pembantu itu menarik barut sekuat hati lantas tangannya menutup mulut Sofi yang terkial-kial menjerit sepi. Ukuran barut di perut Sofi disentak hingga sebesar saiz lehernya. Ronta Sofi semakin sunyi—kepalanya terlentok ke kerusi. 

Air liur Sofi di jari-jemari Radir dikesat dengan tuala kecilnya. Radir menanggalkan barut perlahan-lahan, lantas kesan lebam kebiruan membengkak terlihat di bahagian perut bekas kekasihnya itu. Radir menyalakan sebatang rokok lalu meninggalkan bilik persalinan di belakang pentas dengan langkahan pantas. 

Radir duduk di tepi hiasan bingkai berkaca di penjuru kafe. Usai memesan minuman, dia merapatkan kerusinya ke meja. Kafe mewah ini menyediakan logam-logam berkilat, sehebat harga santapan di menunya. Sudu besar, sudu teh, garfu besar, garfu ikan, pisau pemotong, dan pinggan kecil; semuanya berkilat—menjadi perhiasan elit di atas meja. Pilihan hati Radir adalah sudu teh. Dia menggenggam sudu teh kerana firasatnya logam ini yang paling tumpul, jadi hatinya tidak terlalu sakit.

Genggaman sudu teh diangkat separas dada, kemudian ditikam-tikam dadanya di bahagian hati, berkali-kali. Darah memancut perlahan membasahkan kemejanya. Nafasnya tercungap, dan... Dia belum mati. Ditikamnya lagi sederas mungkin. Kali ini tikamannya berselang-seli dengan torehan. Dia terbatuk-batuk menyemburkan kahak berdarah, dan... Dia masih belum mati. 

Sudu teh yang berlumat darah diletakkan semula di atas meja. Dia menyandar keletihan dan dicapainya pisau pemotong seraya melafaz tenang. "Eva, terima kasih."

Talian hayat cintanya, kekal.

***

No comments:

Post a Comment