24 Feb 2023

KARKAS #256 : PADA SUATU MALAM SEMASA HARI HUJAN

 


“Betul kamu tak ingat apa-apa?”

Geleng. Cahaya kilat memancar membuat aku membuang pandang ke luar jendela. Langit gelap, padahal jam di telefon bimbitku baru menunjukkan pukul 2.10 minit petang.

Saat aku buka mata lima belas minit yang lalu, aku sedar yang aku bukan berada di dalam bilik tidur di rumahku, sebaliknya di katil hospital dengan seorang lelaki yang memperkenalkan dirinya Inspektor Sahak, sedang berdiri di sisi katil.

“Kamu dijumpai tak sedarkan diri di lorong belakang Jalan Kenari malam tadi. Apa yang kamu buat kat situ di malam hari?’’

Aku garu kepala. Geleng lagi. Bingung. Tak ingat apa yang berlaku beberapa jam sebelumnya.

“Saya tak pernah ikut laluan lorong belakang. Saya biasanya turun bas terus ikut laluan pejalan kaki nak balik ke rumah. Apa sebenarnya yang berlaku?’’

“Kami jumpa kamu terbaring tak sedarkan diri tak jauh dari lokasi pembunuhan.” Dia mendekatkan badannya ke telingaku. “Kamu mungkin adalah saksi utama kes pembunuhan itu.”

Mata aku hampir terjojol keluar mendengarkan itu. “Pem… pembunuhan?” Mata aku mencari kesahihan di riak wajahnya yang tenang.

Inspektor Sahak mengeluarkan sesuatu dari fail yang dibawa. Sekeping gambar di tayangkan depan muka aku dimana ada seseorang sedang terbaring dengan tompokan merah di bahagian perut. Terus aku alihkan pandangan, ngeri nak melihat terlalu lama. Aku kira mangsa itu adalah seorang perempuan berdasarkan kain yang menutupi kepala mangsa, walaupun hanya melihat sekali imbas.

“Jadi kamu memang tak ingat macammana kamu boleh pengsan kat situ?” Gambar itu kembali disimpan dalam fail.

“Tak, saya tak ingat langsung! Macam ada ingatan dalam kepala saya yang tak wujud. Hilang.”

Inspektor itu merenung muka aku seolah-olah ingin menduga adakah aku sedang berkata benar atau menipu dia. Aku alihkan pandangan. Renungannya yang tajam seperti sedang membogelkan semua buah fikiran dalam kepalaku.

 “Kalau kamu tiba-tiba teringat sesuatu, cepat cepat beritahu saya.” Kad namanya dihulur.

Aku sambut, tapi pegangan kad masih tidak dilepaskan. Aku pandang matanya, seraya dia berkata “ingat, kamu saksi utama kes ini. Kamu kena ingat sesuatu.” Seusai pesanan itu dia sampaikan, kad beralih tangan.

Inspektor Sahak menjinjit fail maklumat tadi dan beredar dari katil sambil bersiul.

Siulan yang mendayu-dayu, akan tetapi terasa seperti pernah didengari.

Langit yang tadinya gelap kini mula memuntahkan hujan. Guruh tiba-tiba berdentum. Saling bersahut-sahutan dengan bunyi siulan tadi menerpa masuk ke gegendang telingaku.

Aku kembali ke masa itu.

 Malam dimana kilat dan guruh saling berdentum dan memancarkan cahayanya diiringi hujan lebat. Aku yang ketika itu turun dari perut bas hanya beralaskan beg sebagai penutup kepala, berdiri seorang diri di hentian bas, berniat untuk menunggu sehingga hujan reda sebelum berjalan pulang ke rumah.

Tiba-tiba aku terdengar suara jeritan perempuan seperti meminta tolong. Pandang sekeliling, tak ada seorang manusia pun kelihatan di sekitar.

Aku seharusnya tunggu sahaja dimana aku berada sehingga hujan reda. Tapi kali kedua aku mendengar jeritan yang panjang dan seperti merayu agar ditolong itu, aku jadi tak sampai hati untuk abaikan apa yang aku dengar.

Sejak kecil aku memang mempunyai deria pendengaran yang sangat tajam. Ibu kata aku seperti manusia yang mempunyai deria keenam yang boleh mendengar bunyi yang tidak didengari manusia lain.

Aku mencari arah jeritan itu di lorong belakang kedai yang tak jauh dari tempat hentian bas. Mungkin ada sesiapa yang terjatuh ke dalam longkang atau ditimpa musibah dalam hujan lebat ini. Walaupun aku terpaksa berbasah lencun, sekurang-kurangnya aku mungkin boleh menyelamatkan nyawa seseorang.

 Kadang kala aku benci dengan kelebihanku yang satu ini. Ia membuatkan aku perlu terjebak dalam masalah orang lain.

Pada ketika itu, aku ternampak seseorang seperti sedang terbaring dengan tangan terkapai-kapai, aku lajukan langkah ke arah itu. Semakin hampir, baru aku perasan ada seseorang lagi yang sedang berdiri dalam pakaian baju hujan menutupi dari kepala sampai ke lutut, hanya berdiri memandang manusia yang terbaring di hadapannya.

Situasi itu sangat mengelirukan aku yang tidak dapat melihat dengan jelas asbab air hujan menerpa ke muka. Tapi saat kilat memancar, aku terpandang sesuatu di tangan orang yang berdiri itu. Sesuatu yang bersinar, seperti….

Pisau!

Saat sel-sel otak aku sudah memahami situasi ketika itu, kaki aku terus berlari mencari tempat perlindungan. Malangnya kewujudan aku disitu telah disedari oleh si pemegang pisau. Aku tahu aku diekori, tapi tak ada tempat lain lagi untuk aku bersembunyi selain membenamkan diriku dalam longgokan sampah sarap di tepi dinding ini walaupun peratusan untuk dijumpai sangatlah tinggi.

 Sayup-sayup kedengaran bunyi siulan mendayu-dayu seperti mendengar panggilan maut. Semakin lama semakin jelas kedengaran. Seluruh badan aku menggigil, entah ketakutan atau kesejukan.

Satu persatu bunjut sampah terasa dialihkan seseorang. Aku hanya berfikir untuk berlari sekuat hati saat bungkusan sampah di badan aku ini diangkat si pembunuh itu. Dalam kiraan lima, empat, tiga, dua…

Satu!

Aku terus berdiri dan melangkah beberapa tapak, buk! Belakang kepala aku dihentak dengan sesuatu yang keras dan tumpul.

Gelap.

Dentuman guruh mengembalikan aku ke alam realiti.

Celaka! Aku sepatutnya terus buang ingatan itu selama-lamanya!


1 comment: