24 Dec 2015

KARKAS #236: MENGUSUNG RINDU

Setiap hari, Aidil akan menunggu dia di simpang jalan. Melihat dia pergi dan pulang dari kerja. Tak pernah lewat. Hal ini menjadi rutin Aidil semenjak tiga bulan yang lalu. Aidil akan berdiri di balik tiang, merenung dia yang menunggu bas di simpang jalan. Bukan Aidil malu atau takut untuk menegur. Tetapi kenangan lalu yang menghentam perasaannya setiap kali merenung gadis itu, menghalang.

Aidil rindu. Rindu padanya takkan pernah berhenti. Sampai mati.

- - - - -

Hujan turun rintik-rintik. Payung ditangan segera dibuka. Tidak mahu kebasahan. Hari masih awal dan Ayuni taknak basah lencun bila sampai di sekolah. Beg yang tergalas dibawa ke depan. Sebelah tangan memegang payung sebelah lagi memeluk beg.

Sekolah hanya 200 meter lagi. Ayuni berlari-lari anak. Elok sampai di depan pintu pagar, loceng sekolah berbunyi. Phew! Sempat!

Ayuni berjalan melepasi pintu pagar sekolah. Ada seorang pengawas lelaki di situ.

"Lain kali jangan lambat, Ayuni."

Ayuni memberhentikan langkahnya. Dia segera berpaling. Pengawas lelaki itu buat-buat sibuk mencatit sesuatu di atas buku notanya.

"Mana awak tahu nama saya"tanya Ayuni. Dia menghampiri pengawas lelaki itu.

"Saya Aidil. Budak kelas sebelah awak."
"Oh. Maaflah. Saya tak tau. Saya pergi dulu ya."
"Next time jangan lambat sebab saya tak janji boleh lepaskan awak sekali lagi atau tak."

Ayuni tersenyum manis. Dia meninggalkan Aidil dengan tugasnya. Entah kenapa hati Ayuni berbunga-bunga pagi itu.

- - - - -

"Saya taknak awak hubungi saya lagi! Kita putus!"

"Tapi saya cintakan awak, Ayuni! Jangan tinggalkan saya. Tolonglah. Saya merayu sangat!"

Ayuni tak mengendahkan kata-kata Aidil. Dia menolak kasar kerusi yang didudukinya. Wang kertas RM10 diletakkan di atas meja

Aidil dipandangnya tanpa perasaan lagi. Sudah tiada cahaya cinta di matanya. Cuma tiga tahun. Dan cinta di hatinya telah mati buat Aidil.

"Ni semua sebab budak tu kan? Budak yang selalu hantar awak balik. Betulkan?"tanya Aidil tiba-tiba. Dia juga turut bangun berdiri. Pandangan mata pelanggan lain tak dihiraukan.

"Apa awak ni! Bukanlah. Saya yang dah bosan dengan awak! Hey, saya dah nak habis belajar. Tapi awak? SPM pun gagal! Saya taknak hidup dengan lelaki macam awak!"

Aidil tertunduk. Malu. Sampai hati Ayuni mengeluarkan kata-kata begitu terhadapnya. Tak apa Ayuni. Hari aku akan tiba nanti.

- - - - - -

Pisau ditangan menitiskan darah merah pekat. Dua jasad yang terbaring di lantai dipandang puas. Dia tersenyum sendiri.

"Bukan salah aku Ayuni. Tapi kau yang buat aku macam ni.  Kau yang salah!"

Aidil menjatuhkan lututnya di sisi jasad kaku Ayuni. Diselak rambut yang menutup wajah gadis yang telah sekian lama mencuri hatinya itu.

"Kau bodoh Ayuni! Kau mainkan perasaan aku. Kau buang aku macam aku tak ada harga. Kau tak pernah nak nampak cinta aku kat kau. Kenapa Ayuni? Kenapa buat aku macam ni?!"ratap Aidil sepenuh hati. Dia benar-benar kecewa dan kekecewaannya dibalas dengan kematian.

Pisau ditangan di angkat tinggi lalu dibenamkan di dada kiri Ayuni. Darah merah memercik ke wajahnya. Selepas itu, dia bangun berdiri lalu berjalan perlahan meninggalkan rumah kosong itu. Sarung tangan yang dipakai ditanggalkan lalu dicampakkan ke kerusi belakang kereta.

Ayuni mati. Mati ditangan bekas kekasihnya sendiri.
- - - - -

Tajuk akhbar hari ini ;

SEPASANG KEKASIH DITEMUI MATI DIBUNUH.
Bersama laporan akhbar, turut disertakan nota yang ditinggalkan oleh pembunuh.

"Setiap detik jantung berdetak,
setiap nota jiwaku berlagu.

Dan,
Bila malam hadir,
Sepi tak pernah pergi.
Memeluk diri, memujuk hati,

Dibilangnya cinta tak mati.
Cinta takkan pernah mati.
Tapi yang mati itu adalah jiwa.

Jiwa yang pernah berjanji."

No comments:

Post a Comment