22 Dec 2015

KARKAS #234 : MENCARI MAKNA


Orang kata saya ni pembawa sial. Siapa-siapa yang sayang saya, tak lama lepas tu dia mati. Tapi bukan saya bunuh. Ada yang mati tercekik biji durian, tertelan gula-gula getah, kemalangan dengan lori sampah. Eh, banyak lagilah! Sampai saya sendiri tak ingat. Dan orang semua tunding jari pada saya. Katanya sayalah punca mereka mati. Pembawa sial.

Sejak kebelakangan ni, saya mulai rapat dengan Ali. Pelajar tahun akhir Fakulti Komunikasi di universiti. Dia pelajar berbangsa cina. Tapi muka melayu. So saya panggil dia Ali. Nampak mesra sikit.

Setiap hari, kami akan makan bersama di kafe atau membuat latihan tutorial di perpustakaan. Berdua. Tapi, sejak dua hari lepas saya tak nampak muka Ali di kelas. Tutorial pun tak masuk. Saya cuba hubungi dia langsung tak ada balasan. Saya tak sedap hati.

Saya bimbang Ali juga mati.

Jadi malam itu, saya ke rumah Ali. Saya nak tengok sama ada Ali sihat atau tidak. Sampai sahaja di depan rumah Ali, saya menekan loceng berkali-kali. Seorang perempuan membukakan pintu untuk saya.

"Ali ada amoi?"

"Dunno. You go up and check. You know his room?"

"Yes. Thank you."

Tangga yang menghubungkan aras bawah dan aras atas itu saya panjat naik. Bilik Ali di sebelah kanan. Pintunya saya ketuk berkali-kali sambil memanggil namanya. Namun tiada yang membukanya. Saya ketuk lebih kuat. Tiba-tiba pintu bilik sebelah yang terbuka.

"Dia tak ada leh. Lu pigi tengok rumah 508. Cari itu budak nama Lilian. Itu girlfriend dia. Lu ketuk sampai pecah pun tak guna."

Pintu biliknya ditutup semula meninggalkan saya yang termanggu-manggu sendirian.

508? Lilian? Saya berlari menuruni tangga lalu terus mencapai basikal saya. Runah Lilian saya tuju. Sampai sahaja di depan rumahnya, saya menjerit memanggil namanya berkali-kali. Lima minit kemudian, wajah Lilian muncul di muka pintu.

"Where is Ali?"

"Who is Ali?"

"Wong Park Chu. Where is him?"

Lilian menggaru-garu kepalanya. Dia menggelengkan kepala laju-laju.

"I tak kenal loh. Ali or whatever Wong you said just now. Sorry ah."

Dia mula berpusing untuk berlalu. Saya cepat-cepat menahannya.

"Wait! But his housemate told me that you are Ali's girlfriend."

Dia menggaru kepalanya sekali lagi.

"I tak kenal. I tak tau siapa you cakap. I pun aaaa tak ada boyfriend oooo."

"Tak apalah. Sorry ganggu you,"kata saya sambil mencapai basikal dan terus menunggangnya pulang ke rumah. Di dalam kepala saya tertanya-tanya ke mana Ali? Ali sakitkah?

* * * * *

Dua minggu. Ali hilang tanpa jejak. Saya dah cari dia merata-rata. Bertanya kepada sahabat rapatnya juga sudah. Sampai saya rasa nak jumpa bomoh.

Saya rindu Ali. Sangat.

Petang itu, seorang perempuan datang menemui saya di perpustakaan. Dia menghulurkan sepucuk surat. Katanya daripada Ali. Sebaik sahaja perempuan itu berlalu, saya segera membuka sampulnya untuk mengetahui apa isi di dalam.

JUMPA SAYA DI DEPAN PERKARANGAN MASJID NEGARA ESOK PUKUL 10 PAGI.

ALI

Saya membaca isi surat itu berkali-kali. Esok hari Jumaat. Kebetulan saya tak ada kelas. Boleh saya ke sana.

* * * * *

"Aku naik saksi tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah dan aku naik saksi bahawa Nabi Muhammad itu pesuruh Allah."

Saya meraup wajah berkali-kali. Brsyukur ke hadrat Illahi kerana membuka hati Ali untuk memeluk agama Islam.

Saya nampak Ali berjalan menghampiri saya lalu berlutut di depan saya. Dia tersenyum. Segak. Berbaju melayu kuning air, bersongkok dan bersampin, menambahkan ketampanan yang dimilikinya.

"Assalamualaikum Maisarah. Dah lama saya nak beri salam pada awak tapi saya tau, tak boleh,"katanya sambil membetulkan duduk.

"Waalaikumussalam, Ali. Hehehe!"

"Sorry sebab hilang macam tu je. Saya pergi berguru dengan seorang ustaz di Kedah. Saya mendalami agama awak Maisarah. Saya nak kenal Islam. Awak dah tunjuk sesuatu kepada saya sehingga saya terbuka hati untuk memeluk agama awak."

"Apa yang saya buat?"

Ali mengajak aku berdiri. Kemudian kami berjalan keluar ke kaki lima masjid lalu melabuh duduk di situ.

"Awak selalu kata, awak pembawa sial. Terus terang, saya tak percayakan hal itu. Saya cari dalam Al-Quran kalau-kalau ada gelaran sebegitu ada manusia. Tapi tiada. Dan takdir menemukan saya dengan Pak Taufiq. Saya semakin mengenali Islam. Maisarah, berhentilah berfikiran seperti itu. Awak bukanlah punca kematian mereka. Kalau benar awak begitu, dah lama saya ni mati."

Saya terdiam mendengar hujahnya yang panjang lebar. Terlalu mendalam.
"Saya takut menyayangi, apa lagi disayangi. Kenangan dulu terlalu membayangi hidup saya. Tapi jujur, masa awak tak ada, merata-rata saya cari awak. Saya risau kalau-kalau terjadi sesuatu pada awak."

Ali tersenyum. Dia menanggalkan songkoknya lalu diletakkan di atas riba.

"Sebelum saya rebah di hujung jalan tanpa pegangan yang benar, saya ingin sekali menjadi seorang manusia yang punya agama. Alhamdulillah. Hari ini saya seorang Islam."

"Syukur alhamdulillah. Kalau awak tak tau apa-apa, awak tanya saya."

"InsyaAllah. Kita mula semula ya? Ehem! Assalamualaikum. Nama saya Ali Mukhriz bin Abdullah. Boleh berkenalan?"

"Ehem. Waalaikumusalam. Saya Maisarah Umairah. Boleh! Hahahaha!"

Saya rasa hari ini adalah hari yang amat membahagiakan. Lelaki yang saya sayang dan menyayangi saya sudah selangkah ke hadapan. Mungkin benar, sebelum rebah di hujung jalan dalam kesia-siaan, ada banyak hal yang perlu kita perbetulkan. Selagi mana ianya belum terlambat.

No comments:

Post a Comment