4 Apr 2018

KARKAS #248 : MASIH MENUNGGUMU DENGAN SEKAKI PAYUNG



Bunyi guruh yang berdentum di langit, buat jantung aku berdegup sangat kencang. Nafas jadi sesak dan jika tidak dikawal mungkin aku sudah hilang nyawa. Kalaulah waktu ini, aku berada di rumah, pastinya sudah menyorok di bawah katil sambil menutup telinga. Benar, guruh buat aku rasa terancam dan ketakutan tapi demi dia, aku lawan perasaan takut ini.

Guruh tidak akan datang sendiri, selalu ada hujan yang mememani sama seperti petang ini. Hujan turun dengan lebatnya bagaikan tiada hari esok. Aku sudah basah kuyup biarpun berpayung, tetapi demi dia aku sanggup berbasah.

Hari sudah lewat dan bas juga sudah silih berganti, namun dia tetap tidak kelihatan. Aku sudah mula mundar mandir di stesten bas, tempat aku menunggu dia. Risau mula menghantui dan hati mula diduga dengan pelbagai andaian yang kurang baik. Aku cuba menghubunginya tetapi tiada jawapan, makin bertambah gusar di hati.

"Dik, tunggu siapa ni? Habis basah kuyup."
"Tunggu mak, patutnya dah sampai ni."
"Mak? Kamu patut balik, mandi dan berehat. Nanti kamu demam, berhujan lama-lama"
"Takpe pak cik, adik nak tunggu mak. Mak lagi tak boleh berhujan. Nanti dia demam, macam hari tu"
"Baliklah, mak kamu sudah lama pulang. Bersabarlah dik, ini semua ujian. Baliklah."

Selepas dipujuk, akhirnya aku bersetuju untuk balik ke rumah. Aku berjalan perlahan-lahan, entah kenapa hujan petang itu begitu sayu lantas air mata aku jatuh tiba-tiba dan sebak memenuhi dada. 

"Maafkan adik, mak. Kalau masa hujan lebat hari itu, adik jemput mak mesti mak tak jatuh sakit dan pergi tinggalkan adikkan? "

Sejak kejadian itu, setiap kali hujan, aku akan bergegas menunggu mak dengan sekaki payung di stesten bas itu. Aku berharap, tuhan akan menghantar mak pulang kepada aku.

No comments:

Post a Comment