5 Jan 2016

KARKAS #241: CATATAN SYURGA

Pening. Aku bangun dari lantai rumah semasa anak sekolah rendah pulang dari penjara mereka. Baju yang sedikit comot, aku buka dan aku campakkan di depan pintu mandi; berseluar aku berjalan dengan kepala yang berat dan rambut yang kusut menuju singki dapur.

Saat lama aku tenungkan tembus cermin di singki, bahu kanan tiba berdenyut laju. Tanpa fikir, aku cabut dan aku buang ke bawah singki.

Lama termenung, aku terus bogel membuka seluar dan berjalan tanpa seurat benang ke kamar mandi, bersiap untuk satu lagi parti seperti malam semalam.

Parti, apa lagi selain wanita, arak, zina dan musik keras dimainkan sepanjang malam? Seperti semalam, aku juga turut mabuk dek disuap hirup air todi dan vodka oleh perempuan-perempuan cantik berbikini.

Ini syurga!

"Mungkin mereka juga sudah buang bahu kanan mereka di bawah singki." Otak separa waras aku membuatkan aku bermonolog di tengah lantai tari.

******

Ayam jantan sedang menggeliat dalam rebannya, dan parti telah tamat dengan rebahan manusia mabuk di setiap penjuru lantai tari.

Aku gagahkan diri untuk memandu pulang ke rumah, tidak selesa tidur bersama bau muntah yang merata.

Sampai di rumah, aku menghempaskan diri pada lantai rumah. Seperti semalam, aku akan terus hanyut di lantai ini. Dalam aku terdampar hampir hanyut, aku terdengar satu erangan di bawah singki.

Lantas hati hitam sendiri bersuara, "Mungkin Roqib sedang memanggil aku untuk mencatat sesuatu buat aku ke syurga kelak."

No comments:

Post a Comment