5 Jan 2016

KARKAS #238: RAHSIA DI TALI GANTUNG


Di hadapanku, tali gantung yang aku tunggu-tunggu setelah sekian lama. Aku mengambil satu langkah ke hadapan. Kini tali gantung itu betul-betul dekat dengan mukaku. Mukaku disarung dengan beg hitam. Menutup mukaku dari dilihat oleh orang ramai ketika aku digantung nanti. Semua memori-memori lama mula menyelinap masuk ke ruang kepala. Entah macam mana semua ini boleh berlaku. Aku rindukan ibu. Entah apa yang dibuatnya sekarang. Adakah dia sedang menangis mengenangkanku yang dituduh membunuh seseorang yang aku gelar bapa dan bakal digantung sebentar sahaja lagi? Sudah tentu ibu sedang menyalahkan dirinya. Dia seorang ibu yang baik. Menyayangi anaknya lebih dari menyayangi dirinya. Aku juga sayangkan ibu. Sebab itu aku harus lakukan semua ini dan tali gantung adalah balasan yang harus aku tanggung untuk ibu.

Kalaulah aku boleh berjumpa dengan ibu buat kali terakhir. Aku mahu memegang pipinya dan katakan padanya betapa aku mencintai dirinya. Oh Tuhan, kau jagalah ibu sebaik-baik dia menjagaku. Tali gantung diketatkan kemas di leherku. Terasa sedikit tercekik. Inilah masanya. Lantai yang aku pijak terbuka dan aku terus jatuh. Aku menutup mata menunggu roh dicabut malaikat. Tapi sudah ditakdirkan badanku bertemu lantai. Beg hitam di kepala tercabut. Aku boleh lihat semula. Di leherku masih tersemat tali gantung yang terputus. Serta-merta aku teringatkan Ibu. Aku terus mencari jalan keluar.  Beberapa orang polis cuba menghalangku melarikan diri. Dengan tubuhku yang besar, aku terus merempuh mereka dan terus lari dari situ.

Aku berlari menuju ke rumah. Disebabkan tanganku masih bergari, aku merempuh masuk rumah. Aku menjerit memanggil ibu. Tapi tiada siapa yang menyahut. Aku terus masuk ke dapur mencari kelibat ibu. Ada satu erangan kecil memecah sunyi. Rupanya suara itu milik adik yang sedang duduk di bawah sinki. Adik duduk memeluk tubuh. Matanya merah dan bengkak seperti dia menangis dengan teruk sebelum aku sampai ke sini. "Kenapa adik menangis ni?" Adik hanya diam membisu. Matanya masih memandang ke lantai. Tapi bila aku menanya tentang ibu, adik terus merenung tajam tepat ke mataku. Cuma, dia masih diam.

Aku dengar bunyi siren polis datang dari jauh. Aku perlu cari ibu dengan segera. Biarlah sebelum aku mati, aku mahu cakap dengan ibu bahawa semua ini bukan salah dia. Aku terus naik ke tingkat atas dan menjerit memanggil ibu. Aku merempuh masuk ke dalam bilik ibu. Kini, baru aku tahu kenapa adik nangis sebegitu. Baru aku tahu kenapa tiada sahutan bila aku menjerit memanggil ibu. Ibu tergantung di hadapanku. Mukanya pucat dan tubuhnya kaku tergantung di siling. Ada satu nota di atas meja berdekatan. Aku tidak perlu baca untuk mengetahui isi kandungan nota itu. Tentu ibu menyalahkan dirinya kerana aku mengambil tempatnya di tali gantung.  Kenapa kau perlu menghukum diri kau juga? Bukankah aku sudah kata yang aku akan tanggung semuanya?

No comments:

Post a Comment